Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kena zakat wang yang diterima daripada insuran akibat kemalangan maut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, terdapat tiga syarat bagi wajib zakat iaitu:
- Islam: Justeru, zakat tidak dikenakan kepada orang kafir sekalipun mereka turut diperintahkan untuknya dan diazab kerana meninggalkannya.
- Memiliki nisab.
- Cukup haul. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/286).
Tiga syarat ini ada dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji sebagaimana berikut:
Pertamanya, Islam. Orang kafir tidak diwajibkan berzakat. Ini berdasarkan hadith Mu‘az R.A sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Kewajipan berzakat dituntut setelah mereka menerima dakwah dan masuk Islam. Ini berdasarkan kata-kata Abu Bakar R.A:
هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِى فَرَضَها رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Ini adalah kewajipan berzakat yang telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.”
Riwayat al-Bukhari (1386)
Perkataan “ke atas orang Islam” itu jelas menunjukkan bahawa orang kafir tidak dituntut berzakat. Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke atas orang kafir itu ialah zakat harta. Namun begitu, bagi zakat fitrah pula, mereka wajib mengeluarkannya untuk keluarga mereka yang beragama Islam serta yang berada di bawah tanggungannya.
Keduanya, memiliki nisab. Nisab ialah had minimum harta yang dimiliki.
Ketiganya, cukup setahun haul (حول) Qamariah memiliki nisab. Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”
Riwayat Abu Daud (1573)
Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/16-17).
Oleh yang demikian, kami katakan bahawa wang pampasan yang diterima daripada insuran akibat kemalangan maut itu, wajib dikeluarkan zakat apabila ia memenuhi syarat-syaratnya iaitu cukup nisab dan haul.
Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).[1] Dalam erti kata lain, nisab zakat wang simpanan sama bersamaan nilai 85 gram emas zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.[2]
Dalilnya adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:
إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ
Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”
Riwayat Abu Daud (1572)
Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/29-30), para fuqaha bersepakat bahawa nisab emas yang menjadikannya wajib dikeluarkan zakat adalah 20 dinar, jika genap 20 dinar maka zakatnya adalah 2.5 %.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.
[2] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.