Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah wudhuk seseorang itu jika dia mendapati setelah dia selesai membasuh muka terdapat beberapa helai rambut melekat pada tangannya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Maidah: 6)

Dalam suatu hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَنْ لا وُضُوءَ لَهُ

Maksudnya: “Tidak solat kepada orang yang tidak berwuduk.

Riwayat Abu Daud (101)

Rasulullah SAW telah menyebut dengan jelas bahawa orang yang berhadas maka batal wuduknya. Sedangkan solat mesti mempunyai wuduk. Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لا تُقْبَلُ صَلاةُ مَن أحْدَثَ حتّى يَتَوَضَّأَ قالَ رَجُلٌ مِن حَضْرَمَوْتَ: ما الحَدَثُ يا أبا هُرَيْرَةَ؟ قالَ: فُساءٌ أوْ ضُراطٌ

Maksudnya: “Tidak diterima solat siapa yang berhadas sehingga dia berwuduk. Lantas sahabat lelaki dari Hadramaut bertanya, ‘Apa itu hadas hai Abu Hurairah?’ Jawab Abu Hurairah, ‘Kentut, ( فُساءٌ)’ iaitu kentut yang tidak berbunyi atau ضُراطٌ iaitu kentut yang berbunyi.”

Riwayat al-Bukhari (135) dan al-Tirmizi (330)

Ibnu Munzir Rahimahullah berkata, “Telah ijmak para ulama bahawa keluar najis dari dubur, keluar air kencing dari zakar dan begitu juga wanita, keluar mani, keluar angin dari dubur (kentut), hilangnya akal dengan apa cara sekali pun termasuk dalam hadas semuanya itu memerlukan taharah dan mewajibkan wudhuk.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 29)

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wudhuk ada lima, iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  • Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  • Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  • Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wudhuk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  • Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan gugur rambut ketika berwudhuk tidaklah termasuk dalam perkara yang membatalkan wudhuk. Maka, anda boleh sahaja membuang rambut tersebut dan meneruskan wudhuk saudara.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply