Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh ke kita bersahur tanpa mandi wajib.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, diharamkan ke atas orang yang berjunub atau berhadas besar lima perkara:
- Solat
- Membaca al-Quran.
- Memegang mashaf dan membawanya.
- Tawaf
- Duduk di dalam masjid. (Lihat al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 40)
Oleh yang demikian, difahami bahawa bersahur atau melakukan aktiviti selain daripada lima perkara di atas tidak termasuk dalam perkara yang dilarang untuk dilakukan oleh orang yang sedang berjunub atau berhadas besar.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk bersahur dalam keadaan masih berhadas besar. Namun, setelah itu wajib bagi anda untuk mandi wajib sebelum mengerjakan solat subuh.
Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”
(Surah al-Nisa’: 43)
Begitu juga dalam nas yang lain, Allah berfirman:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ
Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَرِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang bertaubat serta mengamalkan kebersihan.”