Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat kisah Nabi Sulaiman mendengar semut berdoa kepada Allah SWT untuk memohon hujan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11)
Maksudnya: “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”
(Surah Nuh: 10-11)
Oleh kerana hal ini berdasarkan kepada kisah zaman Nabi, maka sewajarnya rujukan kita nas Ilahi atau hadith Nabi SAW.
Menjawab persoalan di atas, terdapat riwayat yang menyebut bahawa Nabi Sulaiman beserta sahabat-sahabatnya keluar untuk memohon hujan. Tiba-tiba Baginda melihat seekor semut mengangkat salah satu anggotanya juga memohon hujan. Lalu berkatalah Baginda kepada sahabat-sahabatnya: “Kembalilah kamu semua kerana kamu semua akan memperoleh minuman. Sesungguhnya semut ini memohon hujan, pasti dimakbulkannya.”
Sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
خَرَجَ نَبِيٌّ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ يَسْتَسْقِي، فَإِذَا هُوَ بِنَمْلَةٍ رَافِعَةٍ بَعْضَ قَوَائِمِهَا إِلَى السَّمَاءِ، فَقَالَ: ارْجِعُوا فَقَدِ اسْتُجِيبَ لَكُمْ مِنْ أَجْلِ شَأْنِ النَّمْلَةِ
Maksudnya: “Para nabi dalam kalangan mereka telah keluar memohon hujan kepada Allah. Maka tiba-tiba dalam kalangan mereka terdapat seekor semut mengangkat kaki-kakinya ke langit (juga memohon). Maka Nabi Sulaiman berkata: ‘Pulanglah, sesungguhnya telah mustajab permohonan kamu disebabkan seekor semut ini.”
Riwayat Ahmad dalam Kitab al-Zuhd, al-Hakim (1215) dan al-Daraqutni (2/66), al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (875) dan Abu al-Syeikh dalam al-‘Azamah (5/1753). Syeikh Syu’aib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan al-Daruqutni (1797) menyatakan hadith ini dhaif
Manakala Ibn Abi Syaibah meriwayatkan di dalam al-Musannaf, daripada Abu al-Siddiq al-Naji, katanya:
أَنَّ سُلَيْمَانَ بْنَ دَاوُدَ، خَرَجَ بِالنَّاسِ يَسْتَسْقِي، فَمَرَّ عَلَى نَمْلَةٍ مُسْتَلْقِيَةٍ عَلَى قَفَاهَا، رَافِعَةٍ قَوَائِمَهَا إِلَى السَّمَاءِ، وَهِيَ تَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنَّا خَلْقٌ مِنْ خَلْقِكَ لَيْسَ لَنَا غِنًى عَنْ رِزْقِكَ، فَإِمَّا أَنْ تَسْقِيَنَا وَإِمَّا أَنْ تُهْلِكَنَا، فَقَالَ سُلَيْمَانُ لِلنَّاسِ: ارْجِعُوا فَقَدْ سُقِيتُمْ بِدَعْوَةِ غَيْرِكُمْ
Maksudnya: Bahawa Nabi Sulaiman AS keluar bersama manusia untuk memohon hujan. (Dalam kalangan mereka ketika itu) ada seekor semut lalu dan mengangkat kakinya dan menadah tangannya ke langit dan semut itu berkata: “Ya Allah, kami adalah antara makhluk ciptaan-Mu, tidaklah kami terkaya daripada rezeki-Mu jika Engkau memberi minuman kepada kami dan sama ada Engkau membinasakan kami.” Nabi Sulaiman pun berkata kepada manusia: “Pulanglah kamu semua, kamu semua telah dimintakan air oleh doa makhluk hidup selain kalian,
Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (29487). Hadith ini dinilai dhaif berdasarkan kitab Irwa’ al-Ghalil (670)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”