Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kita disunatkan untuk berpuasa terlebih dahulu dan juga bersedekah sebelum keluar menunaikan ibadat solat istisqa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11)

Maksudnya: Sehingga Aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

(Surah Nuh: 10-11)

Menjawab persoalan di atas, ulama’ bersepakat bahawa sunat untuk berpuasa sebelum memohon Istisqa’ termasuk hari keluar untuk solat.

Imam al-Ramli berkata: Imam, atau sesiapa yang setaraf dengan tempatnya disunatkan untuk menyuruh manusia berpuasa tiga hari pertama secara berturut-turut termasuk dengan hari dilakukan solat istisqa’. Hal ini kerana puasa itu bergantung kepada kekhusyukan, ketakwaan dan kesahihan berdasarkan hadith tiga orang yang doanya tidak ditolak, iaitu doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka puasa, doa imam yang adil dan doa orang yang dizalimi. Manakala tempoh puasa tiga hari diambil berdasarkan kifarah sumpah yang mana 3 hari merupakan tempoh yang puasa yang paling sedikit pada kaffarah tersebut. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/415)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah dinyatakan bahawa Mazhab yang empat bersepakat bahawa disunatkan untuk puasa sebelum solat istisqa’, tetapi mereka berbeza pendapat berkenaan jumlah harinya. Hal ini kerana puasa adalah anggapan bahawa doa akan dimakbulkan berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa orang yang tidak ditolak doanya ialah orang yang berpuasa apabila dia berbuka. Begitu juga puasa akan mengekang syahwat, menghadirkan hati (khusyu’), dan merendahkan hati kepada Tuhan.

Mazhab Syafi’ie, Hanafi dan juga sebahagian Maliki berkata: Pemerintah mesti menyuruh untuk berpuasa tiga hari sebelum keluar untuk melakukan solat istisqa’, dan mesti meneruskan puasa pada hari keempat, iaitu semasa hari ingin melakukan solat istisqa’.

Manakala sebahagian lagi daripada mazhab Maliki menyatakan bahawa mereka datang untuk solat istisqa’ dalam keadaan berbuka untuk menguatkan lagi doa tersebut seperti hari Arafah. Manakala mazhab Hanbali pula menyatakan bahawa mereka berpuasa selama tiga hari dan mereka menunaikan solat istisqa’ pada hari ketiga puasa mereka. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 3/310)

Sepakat ulama’ mazhab bahawa sunat bersedekah sebelum mohon Istisqa’, namun mereka berbeza pendapat mengenai adakah pemerintah berhak untuk memerintahkannya sebagaimana pendapat al-Syafi’iyyah, Hanabilah dan Hanafiah, bahkan yang muktamad di sisi mazhab Maliki bahawa pemerintah hendaklah menyuruh rakyat bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Sebahagian Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa pemerintah tidak boleh menyuruh, tetapi hendaklah pemerintah meninggalkan untuk mereka bersedeqah tanpa menyuruhnya supaya harapan untuk permintaan hujan itu diqabulkan tinggi, kerana mereka bersedekah dengan kerelaan hati mereka sendiri, bukan dengan arahan pemerintah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 3/310-311)

Bagi mengetahui kelebihan bersedekah, sila rujuk buku kami yang bertajuk: Keajaiban Sedekah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply