Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah apabila seseorang ingin melaksanakan ibadat haji, sunat baginya istikharah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrif dan fadilat Istikharah.

Istikharah merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Allah SWT menggalakkan hamba-Nya untuk memohon petunjuk kepada-Nya dalam menentukan pilihan-pilihan yang harus dipilih olehnya. Allah SWT berfirman:

وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ

Maksudnya: “Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 45)

Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataan ‘خير’ yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif, Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. Lafaz ‘استخار’ membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Manzur. (Lihat Lisan al-Arab, 4/264)

Istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi pertunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Dimyati: “Memohon kebaikan daripada sesuatu keinginan untuk dilakukannya.” (Lihat I’anah al-Talibin, 1/297)

Ini juga sepertimana disebut oleh Imam Badruddin al-‘Aini, di mana makna istikharah itu ialah meminta kebaikan. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 23/11)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani pula menyatakan istikharah sebagai:

طَلَبُ خَيْرِ الْأَمْرَيْنِ لِمَنَ احْتَاجَ إِلَى أَحَدِهِمَا

Maksudnya: “Memohon diberi pertunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 11/183)

Lebih jelas, Syeikh Syams al-Haq ‘Azim Abadi menyebut bahawa maksud daripada istikharah itu sendiri meminta dipermudahkan dan diberi kebaikan pada dua perkara kebaikan. Sama ada terus melakukannya atau meninggalkannya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 25/448)

Ini membawa maksud bahawa solat istikharah dilakukan untuk perkara-perkara yang harus bukannya perkara yang haram. Bagaimana mungkin adanya kebaikan di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah. Hal ini jelas dilihat melalui sebahagian doa istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW.

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ

Maksudnya: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.”

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut solat istikharah dan doanya disunatkan di dalam perkara yang mana seseorang tidak tahu mana satu yang benar. Adapun yang sudah diketahui kebaikannya seperti ibadah dan perbuatan yang baik serta perkara yang haram maka tiada keperluan untuk melakukan solat istikharah padanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/591)

Antara fadhilat istikharah ialah daripada Saad bin Abi Waqqas RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:

مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ رِضَاهُ بِمَا قَضَى اللهُ لَهُ، وَمِنْ شَقَاوَةِ ابْنِ آدَمَ تَرْكُهُ اسْتِخَارَةَ اللهِ، وَمِنْ شَقَاوَةِ ابْنِ آدَمَ سَخَطُهُ بِمَا قَضَى اللهُ لَهُ.

Maksudnya: “Antara kebahagiaan anak Adam ialah dia redha kepadanya dengan apa yang diputuskan Allah SWT, dan antara kecelakaan anak Adam ialah dengan meninggalkan istikharah kepada Allah dan antara kecelakaan anak Adam ialah merasa marah dengan ketetapan Allah SWT kepadanya.”

Riwayat al-Tirmizi (2151)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi, antara lain katanya: Apabila telah nyata keazaman seseorang untuk melaksanakan ibadat haji, maka sudah seyogia baginya untuk beristikharah kepada Allah SWT. Istikharah ini bukan merujuk kepada ibadat haji kerana ia sudah tetap baik tanpa syak dan ragu-ragu lagi. Tetapi ia merujuk kepada memilih waktu yang terbaik untuk pergi menunaikan ibadah haji. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 3)

Kami katakan di sini bahawa maksud istikharah di sini ialah waktu dan suasana ketika itu dalam melaksanakan ibadat haji, bukan dari sudut kefardhuan haji kerana haji tetap fardhu dan wajib bagi mereka yang berkemampuan. Mazhab Syafi’i, kewajiban haji secara tarakhi (boleh bertangguh).

Kami akhiri dengan doa:

الّلهُمَّ إِنّيِ أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَستَقدِرُكَ بِقُدرتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِن فَضْلِكَ العَظِيمِ فَإِنّكَ تَقْدِرُ وَلَاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلََا أَعلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِن كُنْتَ تَعلَمُ أَنَّ ذَهَابِي إِلَى الحَجِّ فِي هَذَا العَام خَيرٌ لِي فِي دِينيِ وَدُنيَايَ ومَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمرِي وعَاجِلهِ وآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، اللَّهُمَّ وَإِن كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّهُ شّرٌ لِي فِي دِينيِ وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وعَاجِلِهِ وآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْني عَنهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيثُ كَانَ ثمّ رَضِّنِي بِهِ.

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanyasanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu pemergianku menunaikan haji pada tahun ini baik untuk diriku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, dan untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku, permudahkanlah untukku dan kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Ya Allah, jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, dan untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya.”

Leave a Reply