Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Haji, adakah diperlukan mendapat keredhaan ibu bapa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-Mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 23-24)

Al-Maraghi berkata: Allah SWT benar-benar mewasiatkan berkenaan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa secara serius sehingga siapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)

Seterusnya fokus perintah untuk memelihara ibu bapa disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk membentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun yang diucapkan oleh seorang yang telah berasa jemu terhadap ibu bapanya sekalipun banyak hal yang daripada ibu bapanya yang menimbulkan rasa jemu tersebut. Bahkan, walaupun seseorang itu mengalami keadaan yang hampir tidak mampu ditanggung oleh manusia untuk terus bersabar, dia tetap perlu merendahkan diri dan menghormati ibu bapanya. Ayat mengenai birru al-walidain ini ditutup dengan doa sebagai saranan supaya setiap anak itu berdoa bagi kedua ibu bapa mereka termasuk memohon rahmat dan belas kasihan Allah SWT terhadap mereka. Maka kelima-lima perkara tersebut digabungkan Allah SWT dengan keesaan-Nya dan larangan syirik terhadap-Nya.

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata: Seseorang  itu hendaklah berusaha untuk mendapatkan keredhaan daripada kedua ibu bapanya, dan juga daripada orang yang dia perlu melakukan kebaikan dan mentaati kepadanya. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 6)

Terdapat kisah para ulama’ menangguhkan ibadat haji kerana berkhidmat kepada kedua ibu bapanya. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia, barulah dia berkesempatan menunaikan ibadah haji. Ini kerana, beliau menjunjung firman Allah SWT seperti di atas.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT kurniakan kepada kita haji mabrurah.

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply