Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang menunaikan ibadah haji dengan duit yang haram, atau harta yang haram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Oleh kerana ibadat haji diperintahkan bagi mereka yang istita’ah, sebagaimana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Termasuk dalam istita’ah, kecukupan bekalan harta benda dan wang ringgit untuk sampai ke sana berbelanja serta tanggungan nafkah di kampung juga mesti diselesaikan. Justeru, dalam isu ini, kami katakan, jika seseorang tidak mampu mendapat duit yang halal, maka tidak wajib kepadanya melaksanakan ibadat haji kerana haji mestilah daripada semua yang bersih, halal lagi suci.

Imam al-Nawawi berkata: Hendaklah berusaha memastikan nafkahnya daripada sumber yang benar-benar halal dan selamat daripada unsur-unsur syubhah. Sebaliknya jika bakal haji tidak mengendahkannya, tetapi meneruskan niat haji dengan harta atau dari sumber syubhah, begitu juga dengan harta yang dirampas, maka hukum hajinya tetap sah pada zahirnya tetapi dia tidak mendapat haji yang mabrur serta amat jauh daripada penerimaan Allah SWT.

Inilah pendapat Mazhab al-Syafi’i, Malik, Abu Hanifah Rahimahumullah, serta jumhur ulama salaf dan khalaf. Sedangkan Imam Ahmad bin Hanbal pula berpendapat hajinya tidak sah disebabkan menggunakan harta yang haram. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 9)

Dengan sebab itulah, kata pujangga Arab:

إِذَا حَجَجْتَ بِمَالٍ كُلُّه سُحُتٌ … فَمَا حَجَجْتَ وَلَكِنْ حَجَّتِ الْعِيرُ

Maksudnya: Bila kamu tunai haji dengan harta semuanya haram. Sebenarnya kamu tidak menunaikan haji, tetapi unta kamu yang berhaji.

Kami tutup dengan sebuah riwayat, daripada Abu Hurairah RA secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW):

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ حَاجًّا بِنَفَقَةٍ طَيِّبَةٍ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ فِي الْغَرْزِ، فَنَادَى: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، نَادَاهُ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، زَادُكَ حَلَالٌ، وَرَاحِلَتُكَ حَلَالٌ، وَحَجُّكُ مَبْرُورٌ غَيْرُ مَأْزُورٍ، وَإِذَا خَرَجَ بِالنَّفَقَةِ الْخَبِيثَةِ، فَوَضَعَ رِجْلَهُ فِي الْغَرْزِ، فَنَادَى: لَبَّيْكَ، نَادَاهُ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ: لَا لَبَّيْكَ وَلَا سَعْدَيْكَ، زَادُكَ حَرَامٌ وَنَفَقَتُكَ حَرَامٌ، وَحَجُّكَ غَيْرُ مَبْرُورٍ

Maksudnya:Jika seorang yang melakukan haji pergi dengan menggunakan belanja yang baik, dan meletakkan dua kakinya ke atas binatang tunggangannya dan berkata: Ya Allah aku menyahut panggilanmu, akan bersuara satu suara dari langit: Aku sahut panggilanmu dan ketaatanmu, bekalanmu juga kenderaanmu daripada sesuatu yang halal, maka hajimu diterima tanpa ada dosa. Jika dia keluar dengan belanja yang tidak halal dan meletakkan dua kakinya di atas kenderaannya dan berkata: Ya Allah aku menyahut panggilanmu, akan terdengar satu suara dari langit: Aku tidak menerima panggilanmu dan ketaatanmu, bekalanmu haram, kenderaanmu haram, maka hajimu tidak diterima.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5228). Dinyatakan sebagai dha’if jiddan dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (4403)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply