Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mendapat notis ringkas untuk melaksanakan ibadat haji pada tahun ini. Adakah saya perlu mempelajari ibadat haji sebelum pergi kerana ini adalah kali pertama saya melakukan haji.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali ‘Imran: 97)
Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Orang yang mampu dari segi harta maka wajib baginya haji berdasarkan hadith al-Khaithamah. Adapun kemampuan bagi dirinya bermaksud mempunyai kekuatan yang mana tidak menyebabkannya berada dalam kesusahan ketika di dalam perjalanan. Maka sesiapa yang memiliki bekalan dan kekuatan maka wajib baginya kefardhuan Haji. Adapun bagi yang tidak memiliki kedua-duanya, maka tidak wajib Haji baginya.” (Lihat al-Jami’ Li al-Ahkam al-Quran, 4/95)
Sebagaimana ibadat solat perlu mengikut Rasulullah SAW, begitu juga dengan ibadat haji. Benarlah sabda Nabi SAW:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا
Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu. Se-sungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini,”
Riwayat al-Nasa’i (3062) dengan lafaz ini. Begitu juga diriwayatkan dengan sedikit perbezaan lafaz oleh Muslim (1297), Abu Daud (1970), al-Tirmizi (886), Ibn Majah (3023) dan Ahmad (14593).
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, wajib bagi anda belajar untuk memahami ibadat haji dengan sempurna. Imam al-Nawawi berkata: Apabila seseorang hendak melaksanakan ibadat haji, menjadi kewajipan keatasnya untuk belajar tentang cara pelaksanaannya. Hukumnya adalah fardhu ain kerana tidak sah sesuatu ibadat bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya. Sunat membawa bersamanya kitab yang menjelaskan berkenaan ibadat haji yang mengumpul segala matlamat dan objektifnya. Dia juga hendaklah sentiasa menelaah dan mengulangkajinya dalam masa perjalanannya supaya dia dapat mengaplikasikannya pada dirinya.
Sesiapa yang mengabaikan hal ini, kami amat bimbang kepadanya, yang boleh jadi, pulang ke negerinya itu tanpa mendapat haji yang mabrur. Ini kerana kecacatannya dalam mana-mana syarat haji atau rukunnya atau seumpamanya. Boleh jadi ramai orang yang bertaqlid dengan sebahagian penduduk awam Makkah dengan menyangka bahawa mereka amat mahir berkenaan manasik haji. Maka sebenarnya mereka telah terpedaya dan demikian itu merupakan kesilapan yang nyata lagi keji. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 15)
Peri pentingnya belajar sehingga kata pengarang al-Zubad:
وَكُلُّ مَنْ بِغَيرِ عِلمٍ يَعْمَلُ أَعْمَالُهُ مَرْدُوْدَةٌ لاَ تُقْبَلُ
Dan setiap sesiapa beramal tanpa ilmu
Segala amalannya ditolak dan tidak diterima.”
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”