Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum tanam rambut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Tanam rambut atau transplantasi rambut merupakan suatu bentuk pembedahan bagi memindahkan rambut ke kawasan kulit kepala yang mengalami masalah kebotakan atau rambut nipis. Masalah ini disebutkan sebagai Alopecia Areata, iaitu keguguran rambut yang biasanya menjejaskan kulit kepala, tetapi ia juga boleh berlaku di tempat lain di kawasan yang mengandungi bulu seperti janggut, bulu mata, kening, rambut badan, dan lain-lain.[1]

Transplantasi atau penanaman rambut ini disebutkan sebagai Follicular Unit Extraction (FUE), dengan diambil folikel rambut dari bahagian tubuh yang lain, kemudian doktor akan membuat lubang-lubang kecil pada bahagian kepala untuk ditempatkan setiap folikel rambut yang diambil. Pembedahan ini kebiasaannya akan mengambil masa sehingga lebih dari 4 jam, ratusan folikel dapat dipindahkan sepanjang proses pembedahan itu dijalankan. Kebiasaannya, rambut yang ditanam tersebut akan gugur setelah 2 hingga ke 3 minggu, dan ia akan membuka membuka jalan bagi menggalakkan pertumbuhan rambut baharu.[2]

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ kontemporari tentang hukum menanam rambut ini, sebahagian mereka membenarkannya, dan sebahagian lainnya melarang perbuatan tersebut.

Pertama: Pendapat yang Melarang

Kami mendahulukan pendapat ini kerana kekeliruan masyarakat seringkali timbul atas sebab yang sama pendapat ini diputuskan, iaitu kerana seolah-olah terdapat persamaan dengan perbuatan menyambung rambut.

Antara mereka yang berpegang dengan pendapat ini; Syeikh ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Khaliq al-Yusuf.[3] Beliau beristidlal dengan hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاصِلَةَ وَالمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut, perempuan yang minta disambungkan rambut.”

Riwayat al-Bukhari (5933) dan Muslim (2124)

Hujjah larangan dan pengharaman mereka, sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman, transplantasi rambut ini hukumnya lebih berat dari sekadar menyambung rambut, maka ia tidak dibenarkan sama ada bagi lelaki mahupun perempuan.

Kedua: Pendapat yang Membenarkan

Ini merupakan pendapat majoriti ulama’ moden seperti Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Muhammad bin ‘Uthman Syabir, Dr. Mahmud al-Sartawi, dan ramai lagi. Antara badan berautoriti yang membenarkan pula adalah; Da’irah al-Ifta‘ al-Urduniyyah[4], Dar al-Ifta’ al-Misriyyah[5], Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan[6], dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.[7] (Lihat Fatawa Ulama’ al-Balad al-Haram, hlm. 1185; Dirasat Fiqhiyyah fi Qadhaya Tibbiyyah Mu‘asirah, 2/549; Hukum al-Tasyrih wa Jarahah al-Tajmil fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 149)

Dalil yang menguatkan pendapat ini adalah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang 3 orang lelaki bani israel yang diuji oleh Allah SWT dengan dihantarkan kepada mereka malaikat. Dikisahkan tentang seorang lelaki botak, malaikat lalu bertanya kepadanya:

أَيُّ شَيْءٍ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ شَعَرٌ حَسَنٌ، وَيَذْهَبُ هَذَا عَنِّي، قَدْ قَذِرَنِي النَّاسُ، قَالَ: فَمَسَحَهُ فَذَهَبَ وَأُعْطِيَ شَعَرًا حَسَنًا

Maksudnya: “‘Apakah perkara yang sangat engkau sukai?’ Dia berkata: ‘Rambut yang bagus serta penyakit ini hilang daripadaku. Orang ramai telah berasa jijik terhadapku.’ Baginda bersabda: ‘Malaikat mengusapnya, lalu penyakit itu hilang darinya dan dia dianugerahi rambut yang bagus’.”

Riwayat al-Bukhari (3464) dan Muslim (2964)

Tarjih

Sebelum melakukan sebarang tarjihan, perkara yang paling utama perlu diberikan penelitian adalah keterkaitan antara ‘transplantasi’ rambut dan ‘menyambung’ rambut, dan adakah kedua-duanya mempunyai ‘illah yang sama sehingga boleh membawa kepada satu natijah yang sama, iaitu mengubah ciptaan Allah SWT.

Menyambung rambut, sepertimana yang didefinisikan oleh al-Qurtubi dalam kitab beliau al-Jami‘ li Ahkam al-Quran (5/394), ia merupakan proses menempelkan rambut orang lain ke atas rambutnya agar ia semakin panjang. Dan inilah hakikat yang difahami oleh kita, disebutkan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bahawa menyambung itu bermaksud memberikan tambahan supaya men­jadi lebih panjang dan lain-lain.[8]

Transplantasi pula dari sudut bahasa difahami dengan maksud memindahkan, yakni memindahkan tisu atau organ dari individu kepada individu yang lain.[9] Di dalam konteks rawatan bagi Alopecia Areata ini, benih rambut dipindahkan ke kawasan kulit kepala yang mengalami masalah kebotakan agar ia dapat tumbuh memanjang secara semula jadi, sama ada benih rambut itu diambil dari bahagian badan yang lain atau diambil dari penderma rambut.

Sekiranya diperhatikan, terdapat perbezaan antara ‘transplantasi’ dan ‘sambung.’ Antaranya:

  • Menyambung rambut dilakukan dengan menambahkan rambut orang lain ke atas rambut yang telah sedia ada tumbuh, manakala transplantasi pula merupakan proses memindahkan folikel rambut agar rambut dapat tumbuh secara semula jadi.
  • Rambut yang disambung diambil dari individu lain, manakala benih rambut yang ditransplantasi kebiasaannya diambil dari tubuh individu yang menjalani proses penanaman rambut itu sendiri.
  • Tujuan dari menyambung rambut agar seseorang itu dapat berhias dengan rambut yang disambung tersebut. Adapun folikel rambut yang ditanam tidak menjadi tujuan utama pembedahan tersebut dilakukan, sebaliknya ia akan gugur semula bagi menggalakkan penumbuhan rambut baharu.
  • Menyambung rambut dilakukan semasa seseorang itu tidak mengalami sebarang masalah keguguran rambut, manakala transplantasi rambut dilakukan bagi mereka yang mengalami masalah Alopecia Areata.

Natijahnya, tanam rambut bukanlah suatu pembedahan bagi mengubah ciptaan Allah SWT yang hanya didasari kehendak nafsu agar kelihatan cantik semata-mata, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Ibn Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالمُتَنَمِّصَاتِ وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan perempuan-perempuan yang minta ditatu, perempuan-perempuan yang mencabut bulu di wajah, dan perempuan-perempuan yang menjarangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (5943) dan Muslim (2125)

Disebutkan dalam hadith ini, perbuatan yang dilaknat itu adalah mengubah ciptaan Allah SWT semata-mata atas dasar kecantikan. (Lihat Fath al-Bari, 10/384)

Tanam rambut ini adalah salah satu bentuk rawatan bagi menyelesaikan masalah keguguran rambut, dan ia tidak hanya didasari kehendak berhias-hias semata, bahkan kerana hajat menghilangkan keaiban pada diri. Dan jelaslah di sini bahawa menyambung rambut dan menanam rambut adalah dua proses yang berbeza dan mengambil hukum yang berbeza kerana ‘illah yang berbeza. Oleh yang demikian, kami lebih cenderung memilih pandangan yang membenarkan rawatan ini, diikat dengan wujudnya hajat serta bagi menghilangkan mudarat. Ini bertepatan dengan satu kaedah yang menyebut:

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya: “Suatu hajat (keperluan) boleh jatuh dalam kategori terdesak sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 88)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami simpulkan bahawa pembedahan untuk tanam rambut atau Follicular Unit Extraction (FUE) adalah diharuskan bagi tujuan rawatan serta menghilangkan aib, dengan syarat pembedahan ini dijamin selamat dan tidak mendatangkan mudarat.

Keharusan ini disebabkan folikel rambut yang ditanam tersebut tidak menjadi tujuan utama pembedahan tersebut dijalankan, sebaliknya ia akan gugur semula dan hanya berfungsi sebagai perangsang bagi menggalakkan pertumbuhan rambut baharu secara semula jadi.

Semoga kita dikurniakan kefahaman yang baik dan berikan kebaikan dalam segala aspek, dan ditutup segala keaiban kita. Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/en/hair-loss-alopecia-areata/. Diakses pada 29 Mei 2024.

[2] Lihat https://www.halodoc.com/kesehatan/transplantasi-rambut. Diakses pada 31 Mei 2024.

[3]Lihathttps://ar.islamway.net/fatwa/8503/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%BA%D8%B1%D8%B2-%D8%B2%D8%B1%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B9%D8%B1. Diakses pada 29 Mei 2024.

[4]Lihathttps://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3584/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%B2%D8%B1%D8%A7%D8%B9%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B9%D8%B1-%D9%88%D9%84%D8%A8%D8%B3-%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%A7%D8%B1%D9%88%D9%83%D8%A9-%D9%84%D9%84%D8%B1%D8%AC%D8%A7%D9%84. Diakses pada 29 Mei 2024.

[5]Lihathttps://www.dar-alifta.org/ar/ViewResearchFatwa/2342/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%B2%D8%B1%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B9%D8%B1. Diakses pada 29 Mei 2024.

[6] Lihat https://i-fiqh.islam.gov.my/portal/inside.php?ef=ZmF0d2FfcGFuZGFuZ2FuX2h1a3VtfCRONGszIQ==&id=16479. Diakses pada 29 Mei 2024.

[7] Lihat https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5300-irsyad-al-fatwa-siri-ke-694-hukum-tanam-rambut-sintetik-tiruan#_ftnref1. Diakses pada 29 Mei 2024.

[8] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=menyambung. Diakses pada 31 Mei 2024.

[9] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=transplant. Diakses pada 31 Mei 2024.

Leave a Reply