Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah berdosa sekiranya seseorang sudah muraja‘ah hafazan al-Quran, tetapi masih lupa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t1

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka yang menghafaz al-Quran ini mempunyai kedudukan yang khusus di sisi Allah SWT. Sesungguhnya mereka yang menghafal ayat suci Allah ini, kemudian beramal dengan segala intipatinya, nescaya dia akan dikurniakan ganjaran yang besar dari Allah SWT, dimuliakan dengan kemuliaan yang tinggi. Rasulullah SAW bersabda sepertimana yang dibawakan oleh Abdullah bin ‘Amr R.A:

يُقَالُ لِصَاحِبِ القُرآنِ: اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَتَكِ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada ahli al-Quran: Bacalah dan mendakilah. Bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membaca secara tartil di dunia, kerana tempat menetapmu kelak bergantung pada akhir ayat yang engkau baca.”

Riwayat Abu Daud (1464), al-Tirmizi (2914), al-Nasa’ie (8056) dan Ahmad (6799)

Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menghuraikan hadith di atas seraya berkata, dikatakan kepada kepada ahli al-Quran ketika hendak masuk ke dalam Syurga, yakni mereka yang melazimi al-Quran dengan membaca serta mengamalkannya: “Bacalah, juga dakilah darjat-darjat Syurga atau tahapan-tahapan mendekatkan diri kepada Allah, bacalah dengan tartil tanpa tergesa-gesa untuk mendaki Syurga, sebagaimana engkau membaca dengan tartil di dunia dahulu.” Hikmah yang dapat diambil dari hadith ini, tidak akan ada yang memperoleh ganjaran paling besar ini melainkan mereka yang menghafal al-Quran, serta tekun dalam menyampaikan setiap hak-hak hurufnya juga bacaannya, sebagaimana yang sepatutnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/237)

Merujuk semula kepada persoalan saudara, pada asalnya, tidak sepatutnya bagi seseorang itu dengan sengaja melupakan ayat-ayat al-Quran yang pernah dihafal sebelum ini, bahkan Rasulullah SAW mencela mereka yang sengaja berbuat demikian.  Ini jelas disebutkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بِئْسَ مَا لِأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ نُسِّيَ وَاسْتَذْكِرُوا القُرْآنَ؛ فَإِنَّهُ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ

Maksudnya: “Sangatlah buruk bagi salah seorang daripada mereka mengatakan aku telah lupa ayat ini dan ini, padahal seharusnya dia mengatakan dia terlupa, dan perbanyakkanlah mengulang hafalan al-Quran, sesungguhnya hafalan itu lebih cepat hilang dari dada seseorang berbanding terlepasnya haiwan ternakan daripada ikatan.”

Riwayat al-Bukhari (5032) dan Muslim (790)

Difahami melalui hadith ini larangan menyebut: “Aku telah lupa ayat ini dan ini,” dan tidak dilarang untuk menyebut: “Terlupa.” Hal ini kerana, ucapan “aku telah terlupa” itu seolah-olah mempunyai unsur sambil lewa dalam memelihara hafalannya dan cuai mengulang. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/76)

Manakala jika terlupa disebabkan tabiat sifat manusiawi, seperti masalah lemah ingatan, maka ia tidaklah berdosa, kerana Rasulullah SAW sendiri pernah terlupa sebahagian ayat al-Quran. Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يَقْرَأُ فِي سُورَةٍ بِاللَّيْلِ فَقَالَ: ‏يَرْحَمُهُ اللَّهُ لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Quran pada suatu malam, dan bersabda: ‘Moga Allah SWT merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Quran yang telah dilupakan daripada aku’.”

Riwayat al-Bukhari (5038) dan Muslim (788)

Sekiranya diteliti kedua-dua lafaz hadith, kalimah (نُسِّيَ) dan kalimah (أَنْسَى) membawa maksud “terlupa.” Imam al-Qurtubi menyebutkan, maknanya seseorang itu diuji dengan banyaknya lupa kerana disibukkan dengan banyak perkara yang boleh mencuaikan. Adapun kalimah (نَسِيَ) dengan makna “telah lupa,” seolah-olah seseorang itu sengaja melupakannya tanpa cuba untuk mengingatnya semula, dan tidak juga mementingkannya. (Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 2/419)

Kesimpulan

Kami rangkumkan dalam kesimpulan ini, bahawa mereka yang telah berusaha untuk mengulang semula hafalan al-Quran, tetapi masih diuji dengan masalah lemahnya ingatan, kami berharap agar mereka ini tidaklah dihukumkan sebagai berdosa. Kami juga berdoa agar mereka ini tergolong dalam kalangan mereka yang dikurniakan ganjaran berganda atas usaha murni tersebut.

Junjungan kita Rasulullah SAW telah bersabda, sebagaimana dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha:

مَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ، وَهُوَ حَافِظٌ لَهُ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ، وَمَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ، وَهُوَ يَتَعَاهَدُهُ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَدِيدٌ فَلَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: “Perumpamaan bagi orang yang membaca al-Quran dan dia menghafalnya, adalah (dia) bersama para malaikat para pencatat yang mulia. Dan perumpamaan orang yang membaca, dan dia sentiasa (membacanya), sedangkan dia membacanya dalam keadaan susah (tersekat-sekat), dia beroleh dua pahala.”

Riwayat al-Bukhari (4937)

Semoga mereka yang berusaha mengulang hafalan tersebut dapat turut sama tergolong di kalangan mereka yang disebutkan oleh Baginda SAW ini, dan dikurniakan pahala dua kali ganda lebih. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau melakukan kesalahan secara tidak sengaja.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply