Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Isteri saya sedang sakit, boleh ke saya meninggalkan solat jumaat untuk membawa isteri ke hospital, apakah hukumnya meninggalkan solat Jumaat itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.

Riwayat Abu Daud (1067)

Riwayat yang kedua, daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَعَلَيْهِ الْجُمُعَةُ إِلاَّ امْرَأَة أَوْ مُسَافِرا أَوِ عَبْدا أَوْ مَرِيضا

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat maka wajib atasnya mendirikan solat Jumaat kecuali dia seorang perempuan, musafir, hamba dan orang sakit.”

Riwayat al-Daraqutni (2/3) dan yang lainnya. Al-Syaukani berkata: Pada isnadnya terdapat kelemahan dan baginya syawahid. (Lihat al-Sail al-Jarar, 1/295)

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan  Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), 1/159)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pada asalnya hukum meninggalkan solat Jumaat tanpa tujuan yang dibenarkan syarak, maka hukumnya adalah berdosa kerana pensyariatannya telah jelas (wajib). Sekiranya anda dalam keadaan darurat untuk membawa isteri saudara ke hospital, maka ia dibolehkan kerana terdapat keuzuran yang dibenarkan syarak. Maka, wajib bagi anda menggantikannya dengan melaksanakan solat zuhur seperti biasa.

Berdasarkan pengamatan kami, banyak hospital di Malaysia, terdapatnya masjid atau surau Jumaat berhampiran. Jika memungkinkan hadir, maka alangkah baiknya menghimpunkan dua kebaikan, perintah Allah dan hak keluarga seperti isteri dapat ditunaikan. Semoga Allah memberi kesembuhan kepada isteri saudara.

Begitu juga harapan kami semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan kefahaman yang jelas dalam  melaksanakan segala tuntutannya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply