Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan, siapa golongan yang disebut dengan gelaran al-Syabibiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Salah satu daripada cabang ilmu yang penting ditekuni oleh umat Islam ialah Firaq wa Adyan, yang membincangkan secara khusus puak dan agama-agama di dunia ini, sama ada ia berhubungan dengan Islam atau tidak. Benarlah firman Allah SWT:

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۘ مِّنْهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ ۚ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ ۗ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلَ الَّذِينَ مِن بَعْدِهِم مِّن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَلَٰكِنِ اخْتَلَفُوا فَمِنْهُم مَّنْ آمَنَ وَمِنْهُم مَّن كَفَرَ ۚ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ

Maksudnya: “Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 253)

Menjawab persoalan di atas, mereka ialah pengikut Syabib al-Najrani. Menurut sesetengah ulama, namanya ialah Syabib bin Yazid al-Shaibani.

Syabib Al-Khariji (25 H – 77 H) atau nama penuhnya Syabib bin Yazid bin Nu’aim bin Qais bin Amru bin Qais bin Syarahil bin Hamam bin Marah bin Dzal bin Syaiban dilahirkan pada tahun ke-25 Hijrah. Beliau merupakan salah seorang pemberontak utama terhadap Bani Umayyah. Beliau adalah Syabib bin Yazid bin Na’im bin Qais Al-Shaibani, juga dikenali sebagai Abu Al-Dahhak. Beliau muncul di Mosul bersama-sama dengan Salih bin Musrah dalam perlawanan terhadap Al-Hajjaj Al-Thaqafi.

Apabila Salih gugur, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah dan mendapat bai’ah dari kira-kira 120 orang. Syabib hampir saja mengalahkan Al-Hajjaj jika bukan kerana campur tangan Abdul Malik dari Syam yang membawa pasukan yang dipimpin oleh Sufyan bin Al-Abrad Al-Kalbi. Syabib terpaksa melarikan diri dan akhirnya meninggal dunia, dikatakan akibat tenggelam.

Pengikut golongan ini pada asalnya adalah daripada golongan al-Baihasiyyah (dari kelompok Khawarij), kemudian mengadakan mazhab sendiri. Mereka mengharuskan perempuan menjadi imam (pemimpin) dengan mereka melantik ibu kepada Syabib yang bernama Ghazalah menjadi imam selepas Syabib dibunuh. Dia memasuki Kufah pada satu hari lalu menjadi imam sembahyang Subuh, dengan membaca Surah al-Baqarah pada rakaat pertama dan Surah Ali ‘Imran pada rakaat kedua. Selepas itu, dia berkhutbah kepada orang ramai.

Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi yang terkenal dengan sifat ganasnya telah menghantar tiga orang panglima dan bala tenteranya, tetapi mereka dikalahkan satu demi satu. Akhirnya, Hajjaj sendiri bertindak dengan bala tenteranya, tetapi Ghazalah dan bala tenteranya pula memaksa Hajjaj lari bertempiaran.

Sehinggakan, seorang penyair mempersendakan Hajjaj dengan katanya:

أسَدٌ عَلَيَّ وَفِي الْحُروبِ نَعَامَةٌ                  وَتْرَاءُ تَفزَعُ مِن صَفِيرِ الصَّافِرِ

هَلَاّ بَرَزْتَ إِلَى غَزَالَةَ فِي الوَغَى              بَل كَانَ قلبُكَ فِي جَنَاحَيْ طَاتِرِ

صَدَعتْ غَزَالَةُ قَلْبَهُ بِفَوارِس                   تركَتْ فوارِسَهُ كَأَمْسِ الدَّابِرِ

Dia ialah singa apabila bertindak terhadapku, rupa-rupanya di medan perang burung kasuari yang pengecut. Singa melarikan diri dari suara yang berbunyi.

Mengapa kamu tidak berani menentang perempuan Ghazalah itu di medan perang. Bahkan, hatimu yang penakut itu berada di dua sayap burung.

Perempuan Ghazalah itu mengejutkan hatinya dengan pahlawan berkuda. Kamu bertempiaran pengecut mundur paling tercorot.”

Antara ajaran golongan ini ialah:

  • Harus tidak melantik imam.
  • Sahnya kekhalifahan Abu Bakar dan ‘Umar. Adapun ‘Uthman dan ‘Ali sah pada peringkat awalnya sahaja.
  • Bersepakat dengan Khawarij yang lain, iaitu menghukum kafir kepada orang-orang yang mengerjakan dosa besar.
  • Kanak-kanak orang kafir hukumnya kafir sehingga dia baligh dan beriman.
  • Berpegang dengan ajaran Mu’tazilah dalam perkara qadar.

Demikianlah secara ringkas pengenalan golongan Khawarij dan pecahannya serta beberapa mazhab kecil yang tidak dinyatakan, bahkan kebanyakannya telah pupus dalam lipatan sejarah. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, hlm. 127-128)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply