Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat seekor haiwan yang dipanggil sebagai rusa babi atau hog deer. Rusa itu dipanggil rusa babi sebab tingkah lakunya yang berbeza dengan rusa-rusa lain sebaliknya hampir kepada babi. Soalanya, apakah hukum memakan rusa babi tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan terlebih dahulu dengan menerangkan secara ringkas berkenaan rusa babi India atau hog deer ini. Rusa babi India (Axis porcinus) ialah rusa kecil yang berasal dari Dataran Indo-Ganges di Pakistan, utara India, Nepal, Bangladesh hingga ke tanah besar Asia Tenggara. Ia juga wujud di barat Thailand, dan berkemungkinan telah pupus dari China (di barat daya Wilayah Yunnan), Myanmar, Laos dan Vietnam. Populasi yang diperkenalkan wujud di Australia, serta Amerika Syarikat (di Texas, Hawaii, dan Florida), dan Sri Lanka (di mana status asalnya dipertikaikan).

undefined

Gambar di atas: Rusa Babi India (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Indian_hog_deer#/media/File:Indian_hog_deer.jpg)

Namanya berasal daripada tingkah laku seperti babi di mana ia berjalan melalui hutan (dengan kepalanya digantung rendah) untuk memudahkan gerakan ke bawah halangan dan bukannya melompat ke atas mereka, seperti kebanyakan rusa lain.[1]

Rusa babi adalah rusa yang bersendirian. Walau bagaimanapun, mereka kadang-kadang diperhatikan memberi makan dalam kumpulan kecil di kawasan terbuka dengan banyak makanan. Rusa babi sangat aktif pada waktu pagi dan lewat petang. Selain itu juga, rusa babi ialah herbivor (folivora). Makanan haiwan ini biasanya terdiri daripada rumput, ditambah dengan tumbuhan lain seperti daun.[2]

Hukum memakan rusa babi

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Sebagaimana yang kita ketahui, rusa dalam bahasa Arab dipanggil sebagai ghazal (الغزال). Menurut al-Damiri, rusa adalah halal untuk dimakan sebagaimana yang sudah dijelaskan pada bahagian antelop (الظَّبي). Al-Damiri menyatakan, antelop berserta semua jenis-jenisnya adalah halal untuk dimakan. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/61 dan 3/299). Begitu juga al-Syirazi ada menyebutkan, haiwan liar seperti antelop dan lembu adalah halal untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah Azza wa Jalla:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: “Dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Antelop dan lembu termasuk dalam makanan yang baik-baik, diburu dan dimakan. Begitu juga dihalalkan keldai liar berdasarkan kepada ayat di atas. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/449).

Kemudian Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyatakan, haiwan liar adalah halal untuk dimakan, di antaranya seperti antelop, lembu, keldai liar dan hyena berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh pengarang (iaitu al-Syirazi), dan kesemuanya ini adalah secara sepakat ulama. Begitu juga dihalalkan capra (الْوَعْلُ) tanpa sebarang khilaf.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa rusa babi atau hog deer adalah halal untuk dimakan. Bahkan menurut Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, rusa adalah haiwan yang halal untuk dimakan menurut kesepakatan ulama.[3] Malah, ia bertepatan dengan kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Selain itu, ia bukanlah babi yang diharamkan untuk dimakan sekalipun ia dipanggil sebagai rusa babi atau tergolong dalam spesies atau jenis babi, melainkan ia dipanggil sedemikian disebabkan oleh tingkah lakunya yang mirip dengan babi dan berbeza dengan kebanyakan rusa yang lain, sedangkan hakikatnya tetap adalah seekor rusa. Justeru kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk memburu dan makan rusa babi tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Axis_porcinus. Diakses pada 4 Jun 2024.

[2] Lihat https://animalia.bio/hog-deer?taxonomy=150. Diakses pada 4 Jun 2024.

[3] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/11801/ذبحالغزالواكللحمه. Diakses pada 4 Jun 2024.

Leave a Reply