Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ada doa keluar rumah, terutamanya ketika bermusafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Mengikut sunnah, apabila seseorang ingin keluar daripada rumahnya, digalakkan mem-baca doa[1] seperti dalam riwayat yang sahih bahawa Rasulullah SAW berdoa apabila hendak keluar daripada rumahnya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن أَضِلَّ أَو أُضَلَّ أَو أَزِلَّ أو أُزَلَّ أو أَجهَلَ أو يُجهَلَ عَليَّ

Maksudnya:  “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada menjadi sesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, daripada jahil atau diperbodohkan.”

Riwayat Abu Dawud (5053) daripada Saidatina Ummu Salamah R.Anha.


 Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلتُ عَلَى الله لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ باللهِ يُقَالُ لَهُ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ

Maksudnya: “Apabila seseorang keluar dari rumahnya, kemudian dia membaca doa:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

(Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah) nescaya dikatakan baginya: “Kamu diberi petunjuk, dicukupkan keperluan dan dilindungi.”

Riwayat Abu Dawud (5054)

Disunatkan membaca doa ini bagi setiap orang yang hendak keluar daripada rumahnya. Sunat juga baginya untuk bersedekah dengan sesuatu ketika keluar-nya. Begitu juga apabila setiap kali memohon hajat.

Apabila keluar dari rumah dan mahu menaiki kenderaan, sunat baginya membaca   dan apabila berada atas kenderaannya, bacalah doa seperti berikut:

الْحَمْدُ لِلَّهِ سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya “

Kemudian menyebut  sebanyak tiga kali. Kemudian  sebanyak tiga kali, seterusnya membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِى فَاغْفِرْ لِى فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلاَّ أَنتَ

Maksudnya: Maha Suci-Mu ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Ampunilah daku, kerana tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau.

Inilah sebagaimana yang terdapat dalam hadith sahih, riwayat Abu Dawud (2595) daripada Saidina Ali R.A.

Kemudian, disunatkan juga menghimpunkan dengan doa sebagaimana berikut:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ في سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تُحِبُّ وَتَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ وَالْمَالِ، اللَّهُمَّ إنَّا نَعُوْذُبِكَ مِن وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنقَلَبِ فِي الأَهْلِ وَالْمَالِ وَالْوَلَدِ

Maksudnya:  “Ya Allah, kami memohon pada perjalanan kami ini kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah, mudahkanlah bagi kami perjalanan kami dan pendekkanlah. Ya Allah, Engkaulah penjaga ketika musafir dan khalifah kepada keluarga dan harta. Ya Allah, kami mohon berlindung dengan-Mu agar dipelihara daripada sebarang kesusahan dalam perjalanan ini, perkara yang buruk dan akibatnya yang dilihat sama ada berlaku pada keluarga, harta dan anak kami.”

Riwayat Muslim (1280) daripada Saidina Usamah bin Zaid RA.

Inilah sebagaimana yang terdapat dalam hadith sahih. Menurut Imam al-Zahabi, amalan yang dilakukan oleh Nabi SAW ialah sebaik sahaja selesai membaca doa di atas, Nabi akan tersenyum. Apabila ditanya, Baginda SAW menjelaskan bahawa Allah SWT merasa kagum kepada hamba-Nya yang memohon keampunan daripada-Nya dalam keadaan hamba-Nya itu yakin bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi pengampunan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Nota Hujung:

[1] Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab, doa bermaksud al-Istighathah iaitu memohon pertolongan dan perlindungan. Doa terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  1. Berbentuk mentauhidkan Allah SWT di samping memuji-Nya.
  2. Memohon daripada Allah SWT keampunan, rahmat-Nya dan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dalam ibadah-ibadah yang dilakukan
  3. Memohon kepada Allah SWT dalam kepentingan dunia seperti meminta zuriat, harta dan sebagainya.

Leave a Reply