Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar ulama menyatakan umat Nabi Muhammad SAW akan berpecah kepada 73 kerana ada hadith, dan kadang-kadang riwayatnya pelbagai jenis sighah. Benarkah demikian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya: Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

(Surah al-Baqarah: 147)

Al-Syaukani berkata: “Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW namun sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan seringkali membuat jiwa kita mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi tinggalkan semua yang meragukan baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhirat dan beralihlah pada sesuatu yang menyakinkan dan tidak meragukan.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/179)

Menjawab persoalan di atas, pengamatan kami menunjukkan terdapat banyak hadith dalam pelbagai sighah yang terkait dengan umat Nabi Muhammad SAW berpecah kepada 73 bahagian atau kumpulan. Antaranya:

  • Daripada Auf bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى بِضْعٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً أَعْظَمُهَا فِتْنَةً عَلَى أُمَّتِي قَوْمٌ يَقِيسُونَ الْأُمُورَ بِرَأْيهِمْ يُحَرِّمُونَ الْحَلَالَ، وَيُحِلُّونَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Akan berpisah umatku kepada 70 cabang dan sebesar-besar fitnah ke atas umatku kaum yang mengqiyaskan semua perkara dengan akal mereka. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.”

Riwayat al-Bazzar (2755)

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً

Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.”

Riwayat Abu Daud (4596)

  • Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufian RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ: ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. &2 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jemaah.”

Riwayat Abu Daud (4597)

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

Maksudnya: “Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.”

Riwayat al-Tirmizi (2641)

  • Daripada ‘Auf bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: al-Jamaah.”

Riwayat Ibn Majah (3992)

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa berlaku perpecahan yang tidak dapat dielakkan. Justeru, berpegang dengan nasihat Rasulullah SAW merupakan ramuan terbaik bagi memperolehi keredhaan Allah SWT.

Daripada Abi Najih al-Irbadh bin Sariah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW memberi nasihat kepada kami yang membuatkan hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata: Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat. Rasulullah SAW bersabda:

أَوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّه وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشَ مِنْكُمْ فَسَيرَى اخْتِلَافًا كَثِيرَاً؛ فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِدِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كلَّ مُحدثة بدعة، وكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ

Maksudnya: “Saya wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada dalam kalangan kamu yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah (peganglah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesat.”

Riwayat Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (2678), beliau berkata: Hasan sahih

Berdasarkan riwayat di atas, mereka yang selamat mereka yang mengikut Nabi SAW, para sahabat dan menyertai jemaah mereka. Semoga kita semua termasuk di kalangan mereka. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply