Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Niat haji badal adakah disebutkan badalan lebih dahulu dari lillah ta’ala atau boleh lepas itu. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu sebagaimana haji dan ayat di atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116 dan al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379.)

Berkaitan dengan badal haji terdapat hadith yang diriwayatkan daripada  Ibn  ‘Abbas R.Anhuma:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya: “Seorang wanita daripada (kabilah) Juhainah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya ibuku pernah bernazar untuk mengerjakan haji, namun dia belum mengerjakan haji sehinggalah dia wafat. Adakah aku boleh mengerjakan haji sebagai wakilnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerjakanlah haji sebagai wakilnya. Apakah pandanganmu bahawa jika ibumu mempunyai hutang, adakah engkau akan melunaskannya? Tunaikanlah hak Allah, kerana sesungguhnya hak Allah lebih berhak untuk dipenuhi.’”

Riwayat al-Bukhari (1852)

Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh kerana disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya.(Lihat Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj,4/28-29.)

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya: “Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.”

Riwayat al-Bukhari (1513)

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa diharuskan untuk melakukan badal haji bagi seseorang yang telah meninggal dunia. Inilah pendapat para ulama dalam kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka seperti al-Thauri, Ibn al-Mubarak, al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa terdapat kelonggaran untuk menunaikan fardhu haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637)

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain dalam dua keadaan:

  • Uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup.
  • Meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan ibadah haji. Maka wajib ke atas warisnya untuk menunaikan haji ke atasnya, sekiranya dia seorang berkemampuan dari segi kewangan.

Begitu juga harus menunaikan haji ke atas orang lain sama ada yang telah meninggal dunia ataupun yang uzur berpanjangan pada haji sunat. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Selain itu juga, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh.( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/27.)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa niat itu tempatnya di hati, maka wajib bagi sesiapa yang hendak melakukan ibadah seperti wuduk, solat, zakat, puasa, haji, dan sebagainya untuk menghadirkan niat di dalam hatinya. Adapun melafazkan niat hukumnya adalah sunat mengikut pandangan para ulama. Ia bertujuan bagi menghadirkan niat dengan lebih mudah.

Disebutkan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj bahawa: Niat itu di hati berdasarkan ijma’ (kesepakatan ulama), maka tidak mencukupi hanya menyebutnya dengan lisan sambil hatinya lalai daripadanya. Hal ini berlaku dalam semua bab ibadah. Tidak memberi kesan jika lisannya menyebutkan sesuatu yang berlainan dengan apa yang ada di hatinya, seperti seseorang berniat solat Zuhur tetapi lidahnya tersalah menyebut Asar. Disunatkan untuk melafazkan niat sebelum takbir untuk membantu hati dan menjauhkan dari was-was. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 1/497)

Berdasarkan pandangan ini dapat kita fahami bahawa tempat niat itu adalah dalam hati dan melafazkannya itu adalah sunnat dan perkara tersebut digalakkan di samping memudahkan seseorang itu menghadirkan niatnya.

Dalam isu ini kami katakan antara lafaz niat  bagi individu yang mengerjakan  badal haji untuk seseorang adalah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh  Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: “Nabi SAW mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaik ‘an Syubrumah (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama Syubrumah.” Baginda SAW lantas bersabda: “Siapakah Syubrumah?” Dia menjawab: “Syubrumah ialah saudaraku.” — atau dia menjawab: “…kerabatku.” — Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau sudah menunaikan haji untuk diri engkau sendiri?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji untuk diri engkau dahulu, kemudian barulah tunaikan haji bagi pihak Syubrumah.”

Riwayat Abu Dawud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Dengan merujuk hadith di atas, sebagai contohnya adalah memadai bagi seseorang yang ingin melakukan badal haji untuk ahli warisnya dengan melafazkan:

لَبَّيْكَ عَنْ فُلَانٍ

Maksudnya: “Labbaik ‘an fulan (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama si fulan.”

Selain itu juga, dibolehkan juga melafazkan niat dengan lafaz:

نَوَيْتُ الحَجَّ عَنْ فُلَانٍ وَأَحْرَمْتُ بِهِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya:  “Aku mengerjakan ibadah haji untuk si fulan (sebut nama jamaah yang dibadalkan) dan aku berihram haji kerana Allah Ta‘ala.”

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan bahawa:

وَإِنْ حَجَّ أَوْ اعْتَمَرَ عَنْ غَيْرِهِ قَالَ: نَوَيْتُ الحَجَّ أَوْ العُمْرَةَ عَنْ فُلَانٍ وَأَحْرَمْتُ بِهِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sekiranya seseorang yang ingin melakukan Ibadah Haji atau Umrah untuk orang lain hendaklah dia mengucapkan: Aku mengerjakan haji atau umrah untuk si fulan dan aku berihram ihram haji kerana Allah Ta‘ala. (Lihat al-Manhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm.277)

Justeru kami katakan, adalah memadai bagi seseorang yang ingin mengerjakan haji untuk melafazkan niat sebagaimana yang disarankan oleh para ulama sepertimana disebutkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya ingin melafazkan kalimah badalan dalam lafaz niat sama ada sebelum melafazkan lillahi Ta ‘ala ataupun selepas daripada itu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply