Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum membuang susu ibu yang  telah expired atau basi? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menyusu badan bagi bayi merupakan hak yang pada hakikatnya wajib ditunaikan oleh ibu bapa, sama ada si ibu memberikan susu badannya sendiri kepada anak tersebut, atau mencari ibu susuan yang baik untuk anak tersebut. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak. Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/187)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Kewajiban memberikan susu kepada bayi ini adalah dengan persepakatan fuqaha’, sekiranya bayi tersebut memang berhajat kepada susu ibu pada usia belum putus susu. Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah mengatakan bahawa kewajiban tersebut ke atas bapa untuk mencari ibu susuan, bukannya ke atas ibu kandung tersebut. Hal ini kerana, susuan itu bagi bayi umpama nafkah bagi orang dewasa, dan kewajiban nafkah adalah ke atas bapa. Kewajiban ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Adapun yang wajib bagi seorang ibu itu adalah memberikan bayinya minum kolostrum atau susu pertama yang keluar selepas bersalin dan berwarna sedikit kekuningan. Ini kerana ianya baik untuk sistem ketahanan badan bayi tersebut. (Lihat Asna al-Matalib, 3/445; Nihayah al-Muhtaj, 7/221; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/239)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa susu yang telah diproses melalui proses pemerahan, mempunyai daya tahan yang berbeza-beza bergantung kepada keadaan penyimpanannya. Pada suhu bilik yang kira-kira 26°C, susu tersebut boleh bertahan selama 4 jam. Manakala, jika disimpan di dalam peti sejuk, jangka hayatnya dapat diperpanjang hingga 2 hingga 3 hari. Selain itu, susu juga boleh disimpan di dalam kompartmen beku (biasanya peti sejuk jenis dua pintu), di mana ia boleh bertahan selama 3 hingga 12  bulan.

Justeru, dalam isu ini, kami katakan tidak menjadi satu kesalahan untuk membuang susu ibu sekiranya telah rosak atau tamat tempoh. Ini kerana susu yang telah rosak tidak boleh memberi manfaat kepada bayi bahkan boleh membawa kemudaratan kepada bayi itu sendiri sekiranya diberi minum. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan susu yang diberikan kepada bayi adalah dalam keadaan baik dan tidak melebihi tempoh yang disarankan untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada bayi.

Hal ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah yang menyatakan:

الضَّرَر يُزَال

Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)

Imam Suyuti berkata: Ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)

Kaedah ini bersandarkan kepada hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa sabdanya:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak).”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Namun sekiranya terdapat manfaat lain dari susu ibu yang telah rosak tersebut selain memberi kepada bayi, maka adalah lebih baik untuk digunakan bagi tujuan yang bermanfaat daripada dibuang begitu sahaja. Contohnya, susu ibu yang telah rosak boleh digunakan sebagai baja tanaman atau bahan dalam pembuatan sabun buatan sendiri. Dengan ini, susu tersebut masih memberi manfaat dan tidak terbuang secara sia-sia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahua’lam

Leave a Reply