Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato Seri, adakah darah kering menghalang air daripada terkena badan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk bersuci. Allah menyukai hamba-hamba-Nya yang menyucikan diri dengan sempurna. Allah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang menyucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

‘Ata’ bin Abi Rabah menafsirkan: “iaitu menyucikan diri dengan air, daripada hadas besar dan hadas kecil, dari segenap kotoran.”

Perkataan al-Mutatahhirin bermaksud orang-orang yang bersungguh-sungguh menyucikan diri, bahkan hingga berlebihan dalam melaksanakannya.

Imam al-Biqa’i menafsirkan ayat di atas, “Iaitu orang-orang yang berlebihan dalam bersuci hingga sampai kepada martabat yang agak menyusahkan diri, mereka berlebihan kerana hendak lebih berhati-hati (warak), agar jauh daripada segala perkara yang samar lagi meragukan.” (Lihat Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar, 3/279)

Maka, kita hendaklah bersuci dengan bersungguh-sungguh dan memastikan ia dilaksanakan dengan sempurna.

 

Darah Kering Tidak Menghalang Kulit

Darah kering di sini kami fahami seperti darah kering selepas luka cedera yang mengering dan menjadi kuping berwarna merah gelap atau perang, yang biasa dialami ketika luka mengering.

Ringkasnya, ia tidak menghalang kulit. Bahkan, ia mengambil hukum yang sama dengan kulit. Meratakan air di atasnya, turut dikira sebagai meratakan air di atas kulit.

al-Khatib al-Syirbini berkata: “Syarat-syarat wuduk dan juga mandi wajib (adalah): (mesti menggunakan) air mutlak, tahu bahawa itu air mutlak meskipun secara sangkaan, dan ketiadaan sebarang penghalang (di atas kulit).” Ketika Imam al-Bujairimi mensyarahkannya, beliau menukilkan perkataan Imam al-Qaffal yang mengatakan: “Himpunan kotoran di atas kulit tidak menghalang sahnya wuduk.” Beliau berkata lag: “Hal ini kerana ia telah menjadi salah satu bahagian daripada tubuh badan, dan tidak boleh dipisahkan daripadanya.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ala Syarh al-Khatib, 1/128)

Kesimpulan

Darah kering tidak menghalang kulit, air yang dicurahkan ke atasnya tetap dikira membasuh kulit. Wuduk sah meski jika seseorang mempunyainya. Islam merupakan agama yang menitikberatkan kemudahan buat para penganutnya dalam segenap penjuru, serta sesuai diamalkan dalam setiap keadaan.

Allah SWT berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَیۡكُمۡ فِی ٱلدِّینِ مِنۡ حَرَجࣲۚ

Maksudnya: Tidak dijadikan bagi kamu, di dalam urusan agama kamu itu, sebarang kesulitan.

(Surah al-Haj: 78)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply