Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seseorang itu masbuk pada rakaat kedua, adakah boleh dia membaca doa iftitah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Doa iftitah ini disunatkan untuk dibaca pada permulaan solat. Ini selari dengan pendapat majoriti fuqaha’ mazhab yang bersandarkan kepada banyak nas hadith tentang doa iftitah ini. Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam Raudhah al-Talibin (1/239), bagi orang yang bersembahyang setelah mengangkat takbiratul ihram, dia disunatkan membaca doa iftitah.

Al-‘Allamah Ibn Nujaim al-Hanafi pula berkata, doa iftitah ini sunnah berdasarkan riwayat ramai dari kalangan sahabat Baginda SAW, bahawa Baginda akan memulakan solatnya dengan membaca doa iftitah. Perbuatan tersebut dilakukan secara mutlak, maka ia hukumnya sunat bagi semua orang yang bersembahyang, sama ada dia menjadi imam, makmum, atau solat sendirian. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 1/327)

Pun begitu, Mazhab al-Hanbali mempunyai dua pendapat dalam isu ini. Muktamad mazhab tersebut mengatakan doa iftitah dan ta‘awwuz[1] adalah salah satu dari sunat qauliyyah (bacaan yang sunat dalam solat). Dalam riwayat lain pula, kedua-dua ini adalah wajib menurut mereka, inilah pendapat yang dipilih Ibn Battah. (Lihat al-Insaf, 2/119)

Terdapat banyak bentuk bacaan yang disunatkan dalam doa iftitah, kami telah menyenaraikan beberapa doa tersebut di dalam artikel kami yang bertajuk: “Doa Iftitah Mengikut Sunnah.”

Melihat kepada persoalan yang saudara anjurkan pula, kami membawakan perincian Imam al-Nawawi berkenaan masalah ini kepada beberapa keadaan:

  • Sekiranya dia masbuk ketika imam berada pada posisi tahiyyat akhir, lalu dia sempat takbiratul ihram dan duduk bersama imam, dia hanya perlu bangkit untuk melengkapkan rakaat solat tanpa membaca doa iftitah setelah imam memberi salam. Ini kerana, dia telah terlepas tempat yang disunatkan untuk membacanya, iaitu setelah takbiratul ihram.
  • Sekiranya dia masbuk ketika imam berada pada posisi tahiyyat akhir, dia sempat takbiratul ihram tetapi imam telah memberi salam sebelum sempat untuk dia duduk bersamanya, dia hanya perlu kekal berada pada posisi berdiri dan disunatkan membaca doa iftitah.
  • Sekiranya dia masbuk ketika imam sedang bangun dari i‘tidal, dia tidak perlu membaca doa iftitah, bahkan dia hanya perlu membaca:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَك الْحَمْدُ

Maksudnya: “Allah mendengar sesiapa sahaja yang memuji-Nya. Wahai Tuhan kami, segala puji bagi-Mu.”

  • Sekiranya dia masbuk ketika imam dalam posisi berdiri, dalam keadaan makmum itu tahu dia sempat untuk membaca doa iftitah, ta‘awwuz dan juga al-Fatihah, maka dia hendaklah membacanya. Beginilah yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm.
  • Sekiranya dia masbuk ketika imam dalam posisi berdiri, dalam keadaan makmum itu tahu dia tidak sempat untuk membaca doa iftitah, bersama ta‘awwuz dan al-Fatihah, maka tidak perlu membaca doa iftitah.

Imam al-Nawawi juga menukilkan kalam Imam al-Haramain al-Juwaini di dalam al-Tabsirah, disunatkan untuk dia membacanya dengan bacaan yang agak pantas sedikit. Setelah selesai, hendaklah dia diam mendengar bacaan imam. Perbahasan ini juga telah diringkaskan oleh al-Khatib al-Syirbini di dalam Kitab Solat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/318; Mughni al-Muhtaj, 1/352)

Beginilah serba ringkas perbahasan doa iftitah ini. Semoga kita beroleh kefahaman dalam beramal serta mempraktikkan agama sejajar dengan hukum syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Bacaan: أَعُوذُ بَاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Leave a Reply