Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat hadith sahih berkaitan membaca Surah al-Fatihah sebagai salah satu zikir selepas solat fardhu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berdasarkan kepada pembacaan dan kajian kami yang terhad, kami tidak menemui sebarang dalil dari al-Quran mahupun hadith Rasulullah SAW yang mengkhususkan serta menganjurkan bacaan Surah al-Fatihah sebagai zikir selepas solat. Sekiranya ingin dibincangkan dalam konteks kesahihan serta tuntutan membaca al-Fatihah sebagai zikir selepas solat, maka tidak ada sebarang dalil yang menganjurkan bacaan ini. Zikir-zikir selepas solat yang warid daripada Rasulullah SAW dan thabit periwayatannya amatlah banyak, maka kami sarankan kita semua untuk terus belajar dan mengamalkan sunnah-sunnah yang datang daripada junjungan kita ini. Allah SWT berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan Kami tida mengutus seorang Rasul pun melainkan supaya dia ditaati dengan izin Allah.”

(Surah al-Nisa’: 64)

Ramai ‘alim ulama’ telah mengarang kitab khusus berkenaan zikir selepas solat ini, dan telah banyak usaha terjemahan yang dilakukan oleh para asatizah di Malaysia, antaranya buku “Zikir Pagi & Petang, dan Selepas Solat Fardu” yang dikarang oleh Syeikh Sa‘id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, dan lain-lain.

Akan tetapi, sekiranya Surah al-Fatihah tersebut dibaca dengan niat ingin membaca al-Quran sahaja, tanpa mengkhususkannya sebagai zikir yang thabit selepas solat, maka kami tidak mendapati sebarang masalah padanya. Islam amat menganjurkan umatnya untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran agar dapat diambil sebagai peringatan dan iktibar dalam kehidupan seharian. Disebutkan kelebihan membaca al-Quran, sebagaimana dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ: آلِمُ حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلْفُ حَرْفٍ وَمِيمٍ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Rasulullah SAW juga bersabda sepertimana yang dibawakan oleh Abdullah bin ‘Amr R.A:

يُقَالُ لِصَاحِبِ القُرآنِ: اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَتَكِ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada ahli al-Quran: ‘Bacalah dan mendakilah. Bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membaca secara tartil di dunia, kerana tempat menetapmu kelak bergantung pada akhir ayat yang engkau baca’.”

Riwayat Abu Daud (1464), al-Tirmizi (2914), al-Nasa’ie (8056) dan Ahmad (6799)

Berbeza pula keadaannya apabila Surah al-Fatihah selepas solat itu dibaca dengan tujuan tahsin, iaitu memperbaiki dan mendidik masyarakat tentang sifat-sifat huruf serta makhraj yang tepat bagi Surah al-Fatihah, maka ini merupakan suatu usaha yang baik dari imam dan amatlah digalakkan. Rasulullah SAW bersabda di dalam hadith Abu Hurairah R.A:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ، وَغَشِيتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di dalam rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya, dan mereka akan diingat disisi Allah.”

Riwayat Muslim (2699)

Imam al-Nawawi juga membawakan satu bab khusus tentang keharusan membaca al-Quran secara beramai-ramai, lalu didahulukan hadith Abu Hurairah ini sebagai pembukaan. Syeikh Faisal bin ‘Abd al-Aziz Al Mubarak al-Najdi menyebutkan faedah dari hadith ini, iaitu sunnah untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai kerana ia merupakan bentuk pengagungan terhadap al-Quran, menzahirkan syi‘ar Islam dengan memperbanyakkan majlis bacaan al-Quran, terutamanya apabila ia dilakukan di dalam masjid-masjid. Yang demikian kerana masjid merupakan sebaik-baik dan semulia-mulia tempat. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 315; Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm. 599)

Mungkin akan timbul persoalan, mengapa perlu dibaca Surah al-Fatihah tersebut setelah solat bagi tujuan tahsin, sedangkan banyak lagi masa yang berbaki pada waktu-waktu lain untuk dijalankan kelas-kelas memperbaiki bacaan al-Quran? Kami katakan, apabila tahsin bacaan al-Fatihah dilakukan oleh imam seusai mendirikan solat, lebih ramai jemaah akan berpeluang untuk turut serta bersama. Sebaliknya, kelas-kelas tahsin di luar waktu solat ini dikhuatiri tidak menerima sambutan yang memberangsangkan ekoran kekangan waktu, lebih-lebih lagi apabila kelas tersebut dijalankan pada hari-hari bekerja. Usaha untuk mencari alternatif terbaik bagi menyampaikan tahsin al-Fatihah ini amatlah penting  kerana al-Fatihah merupakan salah satu rukun solat yang wajib dibaca dengan sempurna. Di samping itu, masyarakat juga tidak akan rasa terpaksa untuk menghadiri sebarang kelas pada waktu-waktu khusus.

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, saudara perlu jelas dan memahami dengan baik setiap konteks yang cuba kami bawakan, tanpa memukul rata secara terus bahawa bacaan Surah al-Fatihah adalah bidaah yang tertolak. Kami ringkaskan konteks-konteks tersebut seperti berikut:

Pertama: Sekiranya Surah al-Fatihah itu dibaca selepas solat, dengan kepercayaan bahawa ia adalah sebahagian dari zikir selepas solat yang dianjurkan oleh syara‘, maka ketika ini ia dihukumkan sebagai bidaah yang tertolak kerana tidak dijumpai sebarang nas yang menganjurkan bacaan tersebut. Rasulullah SAW berfirman sebagaimana dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripadanya, maka ia tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan satu kaedah yang agung dari kaedah-kaedah Islam, dan ia merupakan bukti bahawa Rasulullah SAW adalah seorang yang jawami‘ al-kalim (جَوَمِعُ الْكَلِمِ), iaitu perkataan Baginda ringkas dan sarat dengan makna. Hadith ini jelas menolak segala perbuatan bidaah dan amalan yang diada-adakan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/16)

Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menyebutkan, makna hadith ini, sesiapa yang mengada-adakan suatu amalan dalam agama, sedangkan tidak ada sebarang sumber asal dari syara‘, maka amalan itu tidak dikira. (Lihat Fath al-Bari, 5/302)

Kedua: Sekiranya al-Fatihah dibaca dengan niat bacaan al-Quran semata-mata, secara mutlak, maka tidak menjadi masalah. Akan tetapi, sebaiknya didahulukan terlebih dahulu zikir-zikir yang dianjurkan selepas solat kerana waktu tersebut adalah waktu yang dianjurkan untuk berzikir.

Ketiga: Sekiranya bacaan al-Fatihah tersebut dengan niat tahsin bacaan masyarakat umumnya, maka ia merupakan usaha yang amat baik. Dalam pada itu, kami juga mencadangkan agar ia dilakukan setelah selesai bacaan zikir-zikir yang thabit selepas solat.

Semoga perbincangan ini dapat membawa satu noktah yang dapat mengharmonikan mana-mana pihak yang berselisih tentang isu bacaan Surah al-Fatihah selepas solat ini. Ambillah peluang dan ruang yang ada untuk mengembalikan manfaatnya pada masyarakat, dalam memberikan kefahaman yang benar kepada mereka tentang agama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah manfaat ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami dan ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat bagi kami, serta tambahkanlah buat kami ilmu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply