Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkah melakukan korban dengan lembu liar (al-Baqar al-Wahsyi)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu lembu liar ini atau dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai al-Baqar al-Wahsyi (البقر الوحشي). Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, al-Baqar ialah nama sejenis kumpulan lembu yang meliputi lembu jantan dan betina. Ahli zoologi berpendapat bahawa Baqar (البقر) ialah sejenis keluarga baqariyyat (Bovidae) yang merangkumi lembu jantan dan kerbau. Begitu juga istilah ini boleh digunakan untuk kedua-dua haiwan jantan dan betina, termasuk ternakan ternakan dan liar. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/297).

Al-Damiri ketika menjelaskan berkenaan lembu liar atau al-Baqar al-Wahsyi menyatakan, terdapat empat jenis dalam kategori ini iaitu Oryx (المَهَا – sejenis antelop), al-Ail (الأَيْلُ – sejenis rusa), yahmur (اليحمور – sejenis rusa), dan Hartebeest (الثَّيْتَلُ – sejenis antelop); kesemua mereka minum air pada musim panas jika ada, dan jika tiada, mereka bertahan tanpa air dan cukup dengan menghirup udara. Dalam sifat ini, mereka berkongsi dengan serigala, musang, jackal (ابْنُ آوى), keldai liar, rusa, dan arnab. Tanduk lembu liar padat berbanding tanduk haiwan lain yang berongga. Lembu liar sangat mirip dengan kambing domestik, dan tanduk mereka sangat kuat. Ia digunakan untuk melindungi diri dan anak-anak mereka daripada anjing pemburu dan pemangsa di sekeliling mereka. Menurut al-Damiri lagi, lembu liar berserta semua jenisnya adalah halal dimakan secara ijma‘ ulama kerana ia termasuk dalam makanan yang baik-baik. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/500-501).

undefined

Gambar di atas: Gemsbok jantan (Oryx gazella) di Taman Negara Etosha. (Sumber gambar: https://ms.wikipedia.org/wiki/Oryx#/media/Fail:Oryx_gazella_male_8054.jpg)

undefined

Gambar di atas: Rusa roe (يحمور أوروبي). (Sumber gambar: https://ar.wikipedia.org/wiki/يحمور_أوروبي#/media/ملف:Capreolus_capreolus_2_Jojo.jpg)

undefined

Gambar di atas: Coke’s Hartebeest, Serengeti, Tanzania. (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Hartebeest#/media/File:Coke’s_Hartebeest.jpg)

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyatakan bahawa lembu liar kesemuanya adalah diharuskan untuk memakannya, tanpa mengira jenisnya seperti rusa, ibex (sejenis kambing gurun), al-Wa‘l (sejenis kambing gurun), oryx (sejenis antelop) dan lain-lain. Kesemua ini juga telah disepakati dalam kalangan ulama mengenai keharusan memakannya dan tidak diketahui adanya khilaf mengenai perkara itu. (Lihat al-Mughni, 9/327).

Oleh itu, jelaslah bahawa al-Baqar al-Wahsyi atau lembu liar ini bukanlah seperti mana lembu domestik yang kita ketahui, sebaliknya ia merujuk kepada beberapa jenis haiwan liar yang halal dimakan serta berbeza sama sekali dengan lembu domestik mahupun jenis-jenisnya yang kita ketahui.

Korban dengan lembu liar (al-Baqar al-Wahsyi)

Pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban.

Dalam menjawab soalan di atas, kebanyakan ulama berpendapat bahawa korban tidak sah kecuali jika dilakukan dengan bahimah al-An‘am (haiwan ternakan), iaitu: unta, lembu, dan kambing. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Malik, dan al-Syafi‘i. Bahkan Ibn Rusyd dalam Bidayah al-Mujtahid (2/435) dan al-San‘ani dalam Subul al-Salam mendakwa bahawa terdapat ijma‘ (kesepakatan) dalam hal tersebut, kecuali pandangan yang dinukilkan daripada al-Hasan bin Soleh bahawa lembu liar sah sebagai korban untuk tujuh orang dan antelop untuk seorang. Ibn Hazm menyokong pandangan al-Hasan bin Soleh dalam al-Muhalla (7/370) dan menambah sebagaimana katanya: “Korban sah dengan mana-mana haiwan yang boleh dimakan dagingnya daripada jenis haiwan berkaki empat atau burung seperti kuda, unta, lembu liar, ayam jantan, dan semua burung serta haiwan yang halal dimakan.” Ini juga adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abu al-Hasan Mustafa al-Sulaimani.[1]

Jumhur ulama berhujah berdasarkan kepada beberapa dalil. Di antaranya, firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimah al-an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Oleh yang demikian, terkeluar daripada jenis haiwan tersebut (yang dibolehkan untuk dijadikan sebagai haiwan korban) haiwan liar dan burung-burung.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Kemudian, Syeikh Abu al-Hasan Mustafa al-Sulaimani menyebutkan pula dalil-dalil yang dijadikan sebagai hujah oleh Ibn Hazm. Dia antaranya, beliau berhujah berdasarkan kepada athar Bilal:

مَا أُبَالِي لَوْ ضَحَّيْتُ بِدِيكٍ

Maksudnya: “Aku tidak kisah, sekiranya aku melakukan korban dengan ayam jantan.

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam Musannafnya (8156) dan sanadnya adalah sahih

Kemudian, Syeikh Abu al-Hasan Mustafa al-Sulaimani menjelaskan, riwayat ini boleh difahami atau ditafsirkan sebagai keharusan untuk meninggalkan korban kerana ia adalah sunnah dan bukannya wajib, terutamanya apabila manusia bermegah-megah dengannya. Sekiranya tidak, ia bercanggah dengan perbuatan Nabi SAW dan para sahabatnya. Kaedah menyatakan, sekiranya para sahabat berbeza pendapat, kita memilih pendapat yang lebih kuat berdasarkan hadith yang marfu‘ dan zahir al-Quran.

Selain itu, Ibn Hazm juga berhujah dengan keumuman firman Allah SWT:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

(Surah al-Hajj: 77)

Kemudian, hujah ini telah dijawab bahawasanya keumuman ini telah dikhususkan dengan apa yang telah disebutkan sebelumnya, dan kebaikan itu pula adalah dengan mengikuti petunjuk Nabi SAW dan bukannya dengan menyelisihi petunjuknya.

Seterusnya, Syeikh Abu al-Hasan Mustafa al-Sulaimani menukilkan pula bahawa al-San‘ani dalam Subul al-Salam (4/176) berhujah berdasarkan dengan kata-kata Asma’: “Kami melakukan korban bersama Rasulullah SAW dengan seekor kuda,” tetapi menurut Syeikh, beliau tidak menemuinya. Begitu juga al-San‘ani turut berhujah dengan perbuatan korban Abu Hurairah dengan ayam jantan, tetapi menurut Syeikh juga, beliau tidak menemuinya. Jika ia adalah sahih, pasti ia akan dikatakan seperti apa yang dikatakan berkenaan perbuatan Bilal R.Anhum.[2]

Perbahasan yang hampir sama, kami pernah bahaskan dahulu iaitu berkenaan pendapat ganjil yang membenarkan untuk menyembelih ayam sebagai korban atau aqiqah bagi fakir miskin oleh Ibn Abbas dan Ibn Hazm al-Andalusi. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2144: Pendapat Dibolehkan Melakukan Korban Dengan Ayam.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa melakukan ibadah korban dengan lembu liar (al-Baqar al-Wahsyi) adalah tidak dibolehkan dan tidak sah kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan sekalipun ia halal untuk dimakan dan mempunyai nama yang sama/mirip dengan haiwan ternakan lembu. Ini kerana pada hakikatnya ia adalah haiwan liar yang berbeza sama sekali dengan lembu domestik serta jenis-jenisnya yang kita ketahui.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Nota kaki:

[1] Lihat juga https://sulaymani.net/?p=1344. Diakses pada 12 Jun 2024.

[2] Lihat https://sulaymani.net/?p=1344. Diakses pada 12 Jun 2024.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/2144-pendapat-dibolehkan-melakukan-korban-dengan-ayam/. Diakses pada 12 Jun 2024.

Leave a Reply