Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum wanita bersolek melakukan solat. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah al-Nur: 31)
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512.)
Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)
Oleh yang demikian, hukum wanita memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Walau bagaimanapun, terdapat batasan dalam hal tersebut. Perkara yang harus diingat dan diberi perhatian bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Al-Syaukani menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan — yakni perhiasan dan kecantikkannya — bagi mata-mata — untuk melihat dan menikmatinya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/61.)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara syarat sah solat adalah suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat solat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Fatimah binti Abu Hubaisy R.Anha:
فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَاتْرُكِى الصَّلاَةَ، فَإِذَا ذَهَبَ قَدْرُهَا فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Apabila kedatangan haid, maka tinggalkanlah solat, dan apabila selesai tempohnya, bersihkanlah dirimu dan bersolatlah.”
Riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333)
Al-Khatib al-Syarbini: “Syarat kelima: Mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. (Mestilah juga suci juga) pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. Tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/402)
Imam al-Ramli menyebut jika seseorang itu solat dalam keadaan tubuh, pakaian atau tempat solatnya bernajis dan tidak mengetahuinya ketika permulaan solat kemudian setelah selesai baru dia tahu yang pada pakaian, tubuh atau tempatnya itu ada najis, maka dia wajib mengganti mengulangi semula solatnya menurut Al-Qaul Al-Jadid. Ini kerana bersuci adalah perkara yang wajib ianya tidak gugur dengan memberi alasan tidak tahu. Beliau menyebut lagi sekiranya dia tahu ada najis pada pakainnya kemudian terlupa maka wajib baginya untuk mengulangi semula solatnya disebabkan dia telah cuai untuk bersuci. (Lihat Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj, 5/24).
Justeru dalam isu ini, kami ingin menyatakan bahawa seorang wanita boleh mendirikan solat walaupun dia telah bersolek. Namun, perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan bahan yang digunakan dalam alat solek tersebut adalah suci dan tidak mengandungi bahan yang bernajis. Jika ia dibuat daripada bahan najis seperti darah atau plasma darah, maka ia tidak dibenarkan kerana boleh menyebabkan solat tersebut menjadi batal.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
Wallahua‘lam