Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menggunakan gelas yang design bentuk sama dengan yang biasa digunakan untuk hidang air arak/beer. Ini kerana gelas itu besar dan bertangkai tetapi guna untuk minum air biasa. Boleh ke?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak dengan zatnya itu adalah diharamkan dan nas al-Quran memerintahkan kita untuk menjauhinya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abd al-Rahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.”

Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadis ini sahih li ghairih.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum menggunakan gelas/cawan yang lazimnya digunakan untuk hidang air arak adalah harus kerana ia kembali kepada hukum asal. Sepertimana kaedah menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Namun, kami mengesyorkan supaya cawan tersebut digunakan di rumah sahaja bagi mengelakkan fitnah. Kaedah ada menyebut:

اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply