Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah status hadith berkenaan pintu taubat ni seluas 40 tahun kuda berlari dari sisi pintu ke sisinya yang lain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan membawa sebuah riwayat daripada Safwan bin ‘Assal al-Muradi R.A, katanya:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ فِي سَفَرٍ، فَبَيْنَا نَحْنُ عِنْدَهُ إِذْ نَادَاهُ أَعْرَابِيٌّ بِصَوْتٍ لَهُ جَهْوَرِيٍّ: “يا محمدُ!” فَأَجَابَهُ رَسُولُ اللهِ ﷺ نَحْوًا مِنْ صَوْتِهِ: “هَاؤُمُ!” فَقُلْنَا لَهُ: “اغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ، فَإِنَّكَ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ وَقَدْ نُهِيتَ عَنْ هَذَا.” فَقَالَ: وَاللهِ لَا أَغْضُضُ.” قَالَ الْأَعْرَابِيُّ: “المَرْءُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ؟” قَالَ النَّبِيُّ ﷺ: “المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.” فَمَا زَالَ يُحَدِّثُنَا حَتَّى ذَكَرَ بَابًا مِنْ قِبَلِ الْمَغْرِبِ مَسِيرَةُ عَرْضِهِ أَوْ يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي عَرْضِهِ أَرْبَعِينَ أَوْ سَبْعِينَ عَامًا.

Maksudnya: “Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW, ketika kami sedang bersama Baginda tiba-tiba ada seorang lelaki A‘rabi memanggilnya dengan nada suara tinggi: ‘Wahai Muhammad!’ Lalu Rasulullah SAW menyahut dengan nada suara yang sama: ‘Mari sini!’ Kami (para sahabat) berkata kepada lelaki itu: ‘Rendahkan nada suara engkau, sesungguhnya engkau bersama dengan Nabi SAW, dan engkau ditegah untuk melakukan demikian.’ Lelaki itu menjawab: ‘Demi Allah, aku tidak akan rendahkan!’ dan lelaki itu bertanya: ‘Bagaimanah jika seorang lelaki yang mencintai suatu kaum, namun dia tidak beramal sepertimana mereka?’ Nabi SAW bersabda: ‘Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya pada hari kiamat.’ Baginda tidak berhenti bercakap sehinggalah disebut tentang sebuah pintu (pintu taubat) dari arah Barat dengan keluasannya umpama perjalanan atau tempoh menunggang kuda selama 40 atau 70 tahun.”

Riwayat al-Tirmizi (3535), al-Nasa’ie (158) dan Ibn Majah (478). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Sahih dalam al-Jami‘ al-Kabir (5/505)

Sufian bin ‘Uyainah, salah seorang perawi hadith di atas berkata: “Pintu itu dari arah Barat (barat Madinah), Allah ciptakannya pada hari penciptaan langit dan bumi. Pintu tersebut terbuka untuk menerima taubat, tidak akan tertutup sehinggalah matahari terbit dari arah Barat (Kiamat).” (Lihat al-Jami‘ al-Kabir, 5/505)

Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri mengatakan, potongan hadith: “Baginda tidak berhenti bercakap sehinggalah Baginda sebut tentang sebuah pintu (pintu taubat) dari arah Barat dengan keluasannya umpama perjalanan atau tempoh menunggang kuda selama 40 atau 70 tahun,” ini adalah dari riwayat Zir bin Hubaisy, salah seorang dari perawi hadith di atas. Perawi menyebutkan ‘atau’ kerana syak. al-Hakim menilai sanad hadith ini sebagai sahih. Zir bin Hubaisy adalah seorang yang berasal dari Kufah, pernah bertemu Rasulullah SAW tetapi memeluk Islam setelah kewafatan Baginda SAW. Yahya bin Ma‘in, al-‘Ijli, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan  ramai lagi menilainya sebagai seorang yang thiqah. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/362; Tahzib al-Tahzib, 1/627; Tahzib al-Kamal, 9/335; Ikmal Tahzib al-Kamal, 5/53; Taqrib al-Tahzib, 1/336)

Ibn ‘Allan al-Makki berkata, sekiranya yang meriwayatkan kisah tentang pintu taubat itu adalah Safwan bin ‘Assal R.A, maka orang yang menceritakan tentang pintu tersebut adalah Rasulullah SAW, dan riwayat tersebut akan menjadi riwayat yang Marfu‘ kerana Safwan adalah salah seorang sahabat Baginda. Jika yang meriwayatkan kisah tentang pintu taubat itu adalah Zir bin Hubaisy, maka boleh jadi orang yang menceritakan tentang pintu tersebut adalah Safwan. Al-Tirmizi telah mensahihkan bahawa orang yang membawa riwayat tersebut adalah Zir bin Hubaisy. (Lihat Dalil al-Falihin, 1/106)

Berdasarkan penilaian ulama’ hadith terhadap status hadith ini termasuk perawinya, maka kami mendapati bahawa ia berstatus Hasan Sahih. Manakala noktah penting yang dapat kita ambil dari hadith tersebut adalah keluasan pintu taubat yang Allah SWT buka buat para hamba-Nya. Meskipun riwayat tersebut berkemungkinan dari penceritaan Safwan bin ‘Assal R.A, ia boleh jadi datang dari Rasulullah SAW. Keluasan taubat ini juga banyak disokong dalam hadith-hadith yang lain, antaranya hadith Abu Musa al-Asy‘ari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهارِ، وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ، حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mendepangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada siang hari, dan Dia mendepangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada malam hari, sehinggalah matahari terbit dari arah Barat.”

Riwayat Muslim (2759)

Penggunaan ayat mendepangkan tangan dalam hadith ini adalah isti‘arah sahaja, yang bermaksud kesudian menerima taubat. Imam al-Nawawi menukilkan kalam al-Maziri, katanya bahawa penggunaan ayat ‘mendepangkan tangan’ ini kerana bangsa Arab itu, apabila mereka meredhai sesuatu, maka dia akan mendepangkan tangannya sebagai bentuk penerimaan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/76)

Dan disebutkan juga dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَابَ قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا تَابَ اللهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari sebelah Barat, nescaya Allah akan memberikan keampunan buatnya.”

Riwayat Muslim (2703)

Ini bermakna, pintu taubat itu akan tertutup dan tidak lagi diterima buat sesiapa yang tidak bertaubat sebelum matahari mula terbit dari arah Barat, kerana ia merupakan tanda besar berlakunya Kiamat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/25)

Inilah yang khibrah yang ingin disampaikan menerusi firman Allah SWT:

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ ۗ يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا ۗ قُلِ انتَظِرُوا إِنَّا مُنتَظِرُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang tidak beriman itu tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat yang mencabut nyawa mereka atau kedatangan azab Tuhanmu atau kedatangan sebahagian daripada tandatanda Tuhanmu yang menjadi petanda hari kiamat. Pada hari tersebut, iman tidak lagi bermanfaat kepada dirinya sekiranya dia tidak beriman sebelum itu dan begitu juga tidak bermanfaat amalan yang dibuat oleh orang yang beriman sekiranya sebelum itu dia tidak pernah mengerjakan amalan kebaikan. Katakanlah kepada mereka: ‘Kamu tunggulah janji-janji itu dan kami pun sebenarnya menunggu apa yang telah dijanjikan Tuhan kepada kami’.”

(Surah al-An‘am: 158)

Syeikh al-Sa‘di berkata, telah banyak hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW yang menerangkan tentang ayat-ayat Allah SWT; ketika matahari terbit dari arah Barat dan manusia melihat perkara tersebut, barulah mereka mula untuk beriman. Ketika itu keimanan mereka tidak lagi memberikan sebarang manfaat, kerana ketika itu telah tertutup pintu taubat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 281)

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan, semoga kita memperoleh manfaat dan dapat segera kembali kepada Allah SWT, memohon agar diampunkan segala kesalahan dan pulang bertemu-Nya pada akhirat kelak dengan memperoleh ganjaran Syurga. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply