Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya nak tanya apa hukum dapat kerja menggunakan cable atau perantara sedangkan dia dan kita ada kelayakan yang sama.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pekerja yang baik bakal beroleh keberkatan rezeki dan kelapangan hidup. Pekerja yang terbaik adalah pekerja yang kuat lagi berkelayakan dan bersifat jujur amanah. Allah SWT berfirman:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأمِينُ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik pekerja yang diupah adalah yang kuat dan amanah.”
(Surah al-Qasas: 26)
Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan tafsiran Imam Qatadah bin Di’amah yang menjelaskan kriteria al-Qawi al-Amin sebagai pekerja yang kuat dalam melaksanakan kemahiran pekerjaan, dan jujur dalam melaksanakannya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 18/228)
Memberi bantuan dan pertolongan kepada seseorang untuk mempermudahkan dia melakukan sesuatu urusan, seperti penggunaan cable atau kroni kepada orang yang dikenali disebut sebagai al-Syafa’ah atau syafaat. Pemberian syafaat ini ada bentuk yang baik, dan ada bentuk yang buruk.
Allah SWT berfirman berkenaannya di dalam al-Quran,
مَّن یَشۡفَعۡ شَفَـٰعَةً حَسَنَةࣰ یَكُن لَّهُۥ نَصِیبࣱ مِّنۡهَاۖ وَمَن یَشۡفَعۡ شَفَـٰعَةࣰ سَیِّئَةࣰ یَكُن لَّهُۥ كِفۡلࣱ مِّنۡهَاۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ مُّقِیتࣰا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi bantuan yang baik nescaya dia akan memperoleh bahagian pahala daripadanya dan sesiapa yang memberikan bantuan yang buruk, nescaya dia juga akan mendapat bahagian dosa daripadanya. Dan ingatlah, Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 85)
Imam Fakhruddin al-Razi menafsirkan ayat ini seraya berkata, para ulama Salaf seperti Mujahid bin Jabr, Hasan al-Basri, Ibn Zaid dan al-Kalbi mengatakan bahawa syafaat di sini bermaksud: bantuan memudahkan urusan yang diberikan sesama manusia. Imam Hasan al-Basri juga berkata: “Sesiapa yang memberi syafaat dalam urusan kebaikan, maka dia mendapat pahala kebaikan. Sesiapa yang memberi syafaat dalam urusan kejahatan, maka dia mendapat dosa atas kejahatan tersebut.” (Lihat Tafsir al-Razi atau Mafatih al-Ghaib, 10/159)
Memberi syafaat dan bantuan dalam urusan kebaikan dengan cara yang baik adalah amat dianjurkan dan digalakkan di sisi syariat Islam. Abu Musa al-Asy’ari R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اشْفَعُوا تُؤْجَرُوا
Maksudnya: “Berilah syafaat, kalian akan mendapat ganjaran besar.”
Riwayat al-Bukhari (1432)
Imam Abu al-Abbas al-Qurtubi mengatakan, hadith di atas bermaksud menganjurkan kita merancakkan budaya saling memberi syafaat iaitu menolong dan mempermudahkan orang lain dalam melaksanakan urusan mereka, maka kita akan beroleh banyak pahala di sisi Allah. (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 6/632)
Maka memberi bantuan syafaat ini, ada yang baik dan halal, ada juga yang buruk dan haram. Keterangannya adalah seperti berikut:
- Bantuan syafaat yang baik dan halal
Iaitu bantuan yang diberikan dalam urusan yang baik, dengan cara yang baik, kepada orang-orang yang baik, seperti apabila seseorang mendapatkan kerja hasil syor atau cadangan mana-mana orang yang dikenali dalam keadaan:
- Dirinya terkenal dengan sifat jujur dan amanah
- Dirinya berkelayakan dan mempunyai kompetensi melaksanakan kerja tersebut
- Tidak wujud sebarang unsur kezaliman yang menghalang hak orang lain
- Tidak wujud sebarang unsur rasuah.
- Dilakukan dalam menggapai jawatan kerja yang halal dan baik.
Nabi Yusuf AS pernah melakukan sedemikian, Allah SWT berfirman dan menceritakan berkenaan baginda:
وَقَالَ ٱلۡمَلِكُ ٱئۡتُونِی بِهِۦۤ أَسۡتَخۡلِصۡهُ لِنَفۡسِیۖ فَلَمَّا كَلَّمَهُۥ قَالَ إِنَّكَ ٱلۡیَوۡمَ لَدَیۡنَا مَكِینٌ أَمِینࣱ ٥٤ قَالَ ٱجۡعَلۡنِی عَلَىٰ خَزَاۤىِٕنِ ٱلۡأَرۡضِۖ إِنِّی حَفِیظٌ عَلِیمࣱ ٥٥
Maksudnya: “Raja kemudiannya bertitah, “Bawakan Yusuf kepadaku. Aku ingin melantiknya menjadi penasihat peribadiku.” Apabila raja selesai berbicara dengan Yusuf, Baginda bertitah, “Sesungguhnya wahai Yusuf, pada hari ini engkau ialah orang kanan beta dan orang yang beta akan letakkan kepercayaan.” [54] Nabi Yusuf lantas berkata, “Jika demikian, lantiklah saya untuk menjaga perbendaharaan negara. Saya seorang yang pandai menjaganya dan saya tahu bagaimana untuk mengurusnya. [55]”
(Surah Yusuf: 54-55)
Imam Ibn Kathir menjelaskan, Raja berasa kagum dan terpesona dengan kebijaksanaan dan keistimewaan baginda. Raja berbual dengan Nabi Yusuf dan mengatakan Baginda kini adalah bangsawan rapat Diraja dan ahli Dewan Mesyuarat Diraja di sisi Baginda. Kemudian, barulah Nabi Yusuf meminta jawatan mengurus perbendaharaan negara. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/395)
Mendapatkan bantuan menggunakan cable orang besar atau ternama dengan cara yang baik seperti di atas; iaitu kepada orang yang layak, tiada unsur menzalimi sesiapa, pada urusan yang baik; merupakan suatu amalan yang terpuji, berpahala dan mulia. Bahkan, bantuan ini sama sahaja seperti seseorang memberikan bantuan berbentuk harta.
Abu Tammam mendendangkan syair mengungkap nilai masyarakat Arab yang luhur:
وَإِذَا اِمْرُؤٌ أَسْدَى إِلَيكَ صَنِيعَةً مِنْ جَاهِهِ فَكَأَنهَّا مِنْ مَالِهِ
“Dan bila seorang bantu kamu dalam sesuatu urusan,
Guna pangkatnya; ia seperti dia beri harta.”
- Bantuan syafaat yang buruk dan haram
Adapun syafaat yang tercela dan ditegah, adalah syafaat yang diberikan pada situasi dan keadaan yang berikut:
- Diberikan kepada orang yang tidak layak, tidak kompeten dalam tugas
- Diberikan kepada orang yang dikenali sebagai jahat dan fasik
- Wujud unsur kezaliman dan menghalang orang lain yang sama berhak atau lebih berhak
- Wujud unsur pemberian rasuah, yang kerap dinamakan sebagai hadiah
- Dalam urusan atau pekerjaan yang haram, buruk dan keji.
Keadaan menjadi lebih teruk, apabila seseorang menggunakan cable dan memberi rasuah kepada orang dalam yang dikenali tersebut semata-mata kerana kemudahan yang tidak memerlukan sebarang kos. Abu Umamah al-Bahili R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ شَفَعَ لِأَحَدٍ شَفَاعَةً، فَأَهْدَى لَهُ هَدِيَّةً عَلَيْهَا، فَقَبِلَهَا فَقَدْ أَتَى بَابًا عَظِيمًا مِنْ أَبْوَابِ الرِّبَ
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi bantuan syafaat kepada seseorang, kemudian dia dihadiahkan sebuah pemberian di atas bantuan syafaatnya tersebut semata, dan dia menerimanya. Maka, dia telah melakukan salah satu cabang yang besar daripada cabang dosa riba.”
Riwayat Abu Daud (3541)
Rasuah kepada cable atau pemberi syafaat ini bahkan dinamakan sebagai riba oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Riba merupakan salah satu dosa besar, kedahsyatan dosa ini adalah ibarat mengumumkan perang kepada Allah dan Rasul-Nya. Hadiah yang haram berupa rasuah ini dijelaskan oleh ulama mazhab Maliki antaranya Imam al-Masnawi, iaitu hadiah diberikan kepada pemilik cable yang memudahkan urusan tanpa memerlukan kepada sebarang kos seperti perbelanjaan, keletihan dalam urusan dan perjalanan yang panjang. Jika tidak ada semua perbelanjaan di atas, dan dia masih mengambil hadiah/pemberian tersebut, maka hukumnya haram dan dinamakan rasuah. Jika semua kos di atas wujud, maka tidak mengapa untuk pemilik cable tersebut mengambil pemberian hadiah tersebut sebagai upah. (Lihat Hasyiah al-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 3/234)
Para ulama mensyarahkan hadith di atas ini menjelaskan, mengambil rasuah berbentuk hadiah itu (yang tidak memenuhi syarat kos di atas) merosakkan dan menghapuskan pahala memberi syafaat yang asalnya merupakan sebuah ibadah. (Lihat Bazl al-Majhud fi Syarh Sunan Abi Daud, 11/269)
Perincian yang sama difatwakan di dalam mazhab al-Syafi’i, dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/35)
Rata-rata kini kita dapat lihat juga, orang-orang yang tidak berkelayakan menggunakan cable untuk mendapatkan sesuatu atau bahkan untuk lepas dan meloloskan diri daripada hukuman. Hanya semata-mata dia merupakan anak kenalan rapat atau ahli keluarga. Ini merupakan suatu perkara yang jelas jelek, haram dan buruk di sisi agama.
Kesimpulan
Merujuk kepada soalan, jika ada beberapa orang yang sama berkelayakan. Kemudian salah seorang menggunakan cable atas dasar kenalan atau ahli keluarga semata-mata untuk mendapatkannya, sekaligus menafikan hak orang-orang lain yang turut sama berkelayakan. Ini juga merupakan suatu perkara yang buruk dan berdosa bagi sesiapa yang melakukannya.
Menafikan hak orang lain adalah suatu kezaliman yang jelas, hukumnya sama sahaja seperti memakan harta dan hak orang lain dengan cara yang haram. Perbuatan ini ditegah oleh syarak. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟ قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ. فَقَالَ: إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يَقْضِيَ مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Apakah kamu tahu siapakah itu golongan yang muflis?” Mereka berkata orang yang muflis itu ialah orang yang tidak mempunyai dirham dan harta. Lantas Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang di akhirat kelak dia akan datang bersama dengan amalan solat, puasa dan zakat (kebajikan), tetapi disebabkan dia mencela orang lain, menfitnah, memakan harta orang lain dengan cara yang haram, menumpahkan darah sesama manusia, maka pahala amalannya akan berpindah kepada sesiapa yang dizalimi olehnya. Dan jika pahala amalan baiknya tidak cukup untuk menebus dosanya, maka dosa-dosanya itu akan dikira sebagai amalannya lantas dimasukkan ke dalam neraka.”
Riwayat Muslim (2581)
Seharusnya menjadi kayu ukur pemilihan adalah tahap kepakaran dan kelayakan. Kemahiran semua pekerja harus diuji. Yang terpilih adalah mana-mana calon yang paling mahir. Bukan yang paling mengenali atau yang paling rapat dengan majikan/penemu duga/panel pemilih.
Jika seseorang membuktikan kemahirannya di hadapan majikan/penemu duga/panel pemilih, membuatnya selesa dan yakin dengan kepakarannya, dan meminta agar diberikan jawatan atau pekerjaan tertentu, tanpa sebarang rasuah atau kezaliman, maka ini tidak mengapa dan dibolehkan.
Akhir sekali, kami dengan tulus ikhlas menasihatkan kita bersama dan mencadangkan agar tuan:
- Menzahirkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang pekerjaan
- Melazimi adab-adab yang mahmudah, menghindari perangai mazmumah
- Berusaha sedaya upaya menggapai cita-cita dengan penuh bersungguh
- Berdoa kepada Allah SWT dengan kepercayaan Tauhid yang kukuh dan tinggi
- Bertawakkal kepada Allah SWT, berserah diri kepada-Nya dan yakin dengan aturan-Nya.
Yakinlah bahawa setiap perkara yang telah ditakdirkan untuk kita, itulah yang terbaik untuk diri kita. Allah lebih tahu, sedangkan kita tidak tahu. Manakala, setiap perkara yang ditakdirkan kepada kita itu, pasti berlaku dan tidak akan lari atau terkena kepada orang lain. Setiap sesuatu pasti ada hikmahnya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا، ورِزقًا طيِّبًا، وعَملًا مُتقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”
Riwayat al-Nasa’i (9930) dan Ibn Majah (925)
Wallahu a‘lam.