Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apa hukum tidak solat jamak qasar, sedangkan bermusafir lebih 2 marhalah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di atas muka bumi, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan dan dosa sekiranya kamu mengqasarkan iaitu memendekkan solat jika kamu takut diserang oleh golongan kafir. Sesungguhnya orang kafir itu ialah musuh kamu yang amat nyata.

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Mengqasarkan solat adalah dibolehkan menurut persepakatan para ulama. Adapun meninggalkan qasar dan melaksanakan solat secara tamam ketika bermusafir, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian sahabat berpendapat wajib ke atas musafir untuk mengqasarkan solat, ini merupakan pendapat Umar, Ali, Ibn Umar, Jabir, Ibn Abbas, juga Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, Qatadah, Malik bin Anas dan ahli ar-Ra’yi. Manakala, al-Syafi’i pula berpendapat mengqasarkan solat bagi musafir hukumnya harus sahaja. Pendapat ini disokong oleh zahir ayat al-Quran. Perkataan “tidaklah menjadi apa-apa kesalahan” digunakan untuk memberi keringanan, bukan mewajibkan.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/274-275)

Keharusan Qasar Solat

Ulama mazhab al-Syafi’i berpendapat mengqasarkan solat adalah keharusan, bukan suatu kewajiban. Imam al-Syafi’i menuruti dan menyetujui fatwa ‘Uthman bin ‘Affan dan Sa’ad bin Abi Waqqas yang mengatakannya harus semata, tidak wajib.

Justeru, terdapat keluasan dalam perkara ini. Kita bebas memilih sama ada kita mahu mengqasar dan menjama’ solat ketika musafir atau tidak. Kedua-duanya diizinkan oleh syara’ dan merupakan amalan Rasulullah SAW.

Aisyah R.Anha berkata berkenaan solat musafir Nabi:

كُلُّ ذَلِكَ قَدْ فَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قَصَرَ الصَّلَاةَ وَأَتَمَّ

Maksudnya: “Kedua-duanya pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW (ketika musafir); sama ada menqasarkan solat mahu pun bersolat secara tamam (sempurna).”

Riwayat al-Syafi’i di dalam al-Musnad (1/182)

Begitu juga dengan jama’ solat, ulama mengatakan hukumnya sama harus. Seseorang boleh memilih sama ada untuk menjama’ solat atau bersolat seperti biasa pada waktunya yang telah ditetapkan.

Maka, seorang musafir boleh mengqasar solatnya apabila dia menjalani perjalanan safar yang jauh, iaitu perjalanan yang mencapai dan melebihi dua marhalah. Para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:

  • Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan 2 marhalah bersamaan 82KM.
  • Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 88.704KM.
  • Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 81KM.

Kita bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas.

Perbezaan Ulama: Qasar atau Tamam

Para ulama mazhab al-Syafi’i berbeza pendapat tentang seseorang yang bermusafir, sama ada dianjurkan untuk bersolat secara qasar atau tamam kepada 3 pendapat:

  1. Solat Qasar lebih Afdal, ini merupakan pendapat majoriti ulama al-Syafi’iyyah beraliran al-’Iraqiyyin
  2. Solat Tamam lebih Afdal, ini merupakan salah satu nas Imam al-Syafi’i, juga pendapat Imam al-Muzani, Imam al-Mawardi dan al-Qadhi Abu al-Tayyib
  3. Ulama yang mempunyai dua pendapat, yang paling sahih adalah Qasar lebih Afdal, ini merupakan pendapat yang dihikayatkan oleh ulama al-Syafi’iyyah beraliran al-Khurasaniyyin, juga pendapat Ibn al-Sabbagh.

(Lihat Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/336)

Tidak Jama’ Solat lebih Afdal, Meskipun Bermusafir

Menurut muktamad mazhab al-Syafi’i, seseorang yang bermusafir tetap dianjurkan untuk bersolat tepat pada waktunya dan tidak menjama’ solat. Imam Abdullah bin ‘Abd al-Rahman ba Fadhl al-Hadhrami berkata: “Bagi seorang musafir yang berjalan melebihi 2 marhalah dan mencukupi syarat-syarat qasar, meninggalkan solat jama’ (dan bersolat tepat mengikut waktu) lebih afdal, kecuali bagi:

  • Orang yang terdetik dalam hatinya tidak menyukai jama’ solat,
  • Orang yang ragu tentang dalil kebolehan jama’ solat,
  • Orang yang akan bersolat sendirian jika meninggalkan jama’.”

(Lihat al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah fi Fiqh al-Sadah al-Syafi’iyyah, hal. 133)

Afdal Solat Tamam bagi Musafir bawah 3 Marhalah

Selagi perjalanan anda masih berlegar sekitar 81KM hingga 132KM, anda dianjurkan untuk bersolat secara tamam dan sempurna rakaatnya, serta tidak mengqasar solat.

Imam Sa’id bin Muhammad ba ‘Isyn turut berkata: “Menyempurnakan (rakaat) solat iaitu dengan bersolat secara tamam serta tidak qasar, adalah lebih afdal kerana ia turut dibolehkan.

Pengecualian diberikan kepada:

  • Orang yang berniat untuk berjalan melebihi 3 marhalah (bersamaan 132KM) meskipun belum sampai kepada jarak tersebut,
  • Orang yang mendapati dirinya tidak suka atau kurang gemar mengqasar solat.”

Beliau berkata lagi: “Orang yang bermusafir melebihi 2 marhalah namun belum mencapai 3 marhalah digalakkan untuk tidak mengqasar solat dan bersolat secara tamam untuk keluar daripada khilaf perbezaan pendapat yang berlaku di sisi sebahagian ulama mazhab Hanafi yang hanya membenarkan qasar apabila perjalanan melebihi 3 marhalah.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta’lim, hal. 368)

Imam al-Nawawi juga berkata, seorang yang bermusafir dianjurkan untuk solat secara tamam jika:

  • Seseorang bermusafir kurang daripada 3 hari,
  • Seseorang bermusafir dalam keadaan sentiasa berada di atas kapal.”

(Lihat Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/335)

Kesimpulan

Apabila seseorang bermusafir dengan jarak melebihi 2 marhalah (81KM ke atas), maka dia diharuskan untuk jama’ dan qasarkan solat. Itu adalah keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam atas perasaan belas kasihan dan rahmat-Nya.

Diriwayatkan bahawa Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab:

إِنَّمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ﴿أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا﴾ وَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ، فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ، فَسَأَلَتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah berfirman: “Tidak ada kesalahan untuk memendekkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” Sekarang kita sudah aman daripada gangguan serangan mereka, maka masih perlukah untuk memendekkan solat?” Umar R.A pun menjawab, “Aku turut berfikir perkara yang sama.” Lalu Umar bertanya kepada Rasulullah SAW, baginda pun bersabda: “(Qasar solat) adalah sedekah pemberian Allah kepada kalian, maka terimalah sedekah daripada-Nya.

Riwayat Muslim (686)

Seseorang yang bermusafir boleh memilih untuk solat jama’ qasar atau bersolat secara tamam (sempurna). Yang lebih afdal adalah bersolat secara tamam selagi masih dalam lingkungan 2 hingga 3 marhalah (81KM hingga 132KM).

Apabila seseorang bermusafir melebihi 3 marhalah (132KM ke atas), maka lebih afdal ke atas dirinya untuk bersolat secara jama’ dan qasar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا، ورِزقًا طيِّبًا، وعَملًا مُتقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.

Riwayat al-Nasaie (9930) dan Ibn Majah (925)

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply