Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. ِApakah maksud perkataan “Ababil” dalam surah al-Fil? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, perkataan “Ababil” terdapat dalam ayat 3 daripada surah al-Fil. Firman Allah SWT:
وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
Maksudnya: “Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan.”
(Surah al-Fil: 3)
Al-Wahidi menyatakan, surah ini diturunkan berkenaan kisah Ashab al-Fil dan niat mereka untuk meruntuhkan Kaabah, serta apa yang Allah SWT lakukan terhadap mereka dengan membinasakan mereka dan menghalang mereka dari Kaabah. Kisah ini adalah kisah yang sudah diketahui umum. (Lihat Asbab al-Nuzul, hlm. 306).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, menurut al-Tabari dengan sanad yang sahih daripada ‘Ikrimah, ia adalah burung hijau yang keluar dari laut, mempunyai kepala seperti kepala binatang buas. Manakala menurut Ibn Abi Hatim melalui jalan ‘Ubaid bin ‘Umair dengan sanad yang kuat: “Allah mengutus kepada mereka burung yang dicipta dari laut seperti burung layang-layang, dan kemudian disebutkan seperti mana yang telah disebutkan sebelum ini. (Lihat Fath al-Bari, 12/207).
Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan makna perkataan “Ababil” kepada beberapa pendapat. Kami kemukakan di sini sebahagian daripada pendapat-pendapat itu.
Ibn Kathir ketika menafsirkan perkataan “Ababil” menukilkan beberapa pendapat ulama seperti:
- Ibn Abbas dan al-Dhahhak berpendapat, ia bermaksud mengikuti satu sama lain.
- Al-Hasan al-Basri dan Qatadah berpendapat, ia bermaksud banyak.
- Mujahid berpendapat, ia bermaksud berbeza-beza, berturut-turut, dan berkumpul.
- Ibn Zaid pula berpendapat, Ababil adalah pelbagai, datang dari sana sini, datang kepada mereka dari setiap tempat. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 8/463).
Selain itu, ada juga dalam kalangan ulama yang menafsirkan perkataan Ababil” sebagai kelompok-kelompok. Ini adalah seperti mana tafsiran Ibn Juzai, Ibn ‘Asyur, al-Baidhawi, al-Nasafi, Ibn Abi Zamanin dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 5/339; Tafsir al-Nasafi, 3/681; Tafsir al-Quran al-‘Aziz oleh Ibn Abi Zamanin, 5/163; al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/513; al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/549-550).
Ini jelas dapat dilihat menerusi kenyataan Ibn Juzai yang menafsirkan perkataan “Ababil” sebagai kelompok-kelompok yang datang berturut-turut. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Zamakhsyari yang menyebutkan, kata tunggalnya ialah Abalah (أبالة). Namun, jumhur ulama berpendapat, ia adalah kata jamak dan tidak mempunyai kata tunggal. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/513).
Begitu juga Ibn ‘Asyur turut menafsirkan perkataan “Ababil” sebagai kelompok-kelompok. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Farra’ dan Abu ‘Ubaidah yang menyatakan, perkataan “Ababil” adalah kata jamak yang tidak mempunyai bentuk kata tunggal daripada perkataan asalnya, seperti mana perkataan ‘Abadid (عَبَادِيدَ) dan Syamatit (شَمَاطِيطَ), serta pendapat ini diikuti oleh al-Jauhari. Manakala al-Ru’asi dan al-Zamakhsyari pula berpendapat, bentuk tunggal perkataan “Ababil” ialah Ibbalah (إِبَّالَةٌ). (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/549-550)ز
Ibn Abi Zamanin menyebutkan dalam tafsirnya, sebahagian ulama menafsirkan “Ababil” sebagai:
الزُّمْرُ زُمْرَةٌ مُتَتَابِعَةً
Maksudnya: “Kelompok-kelompok yang berturut-turut.”
Muhammad menyebutkan, kata tunggal bagi perkataan “Ababil” ialah Ibalah (إِبَالَةٌ). Namun, ada juga yang berpendapat, ia tidak mempunyai bentuk kata tunggal. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Aziz oleh Ibn Abi Zamanin, 5/163).
Dalam Tafsir al-Jalalain (hlm. 822) dinyatakan, perkataan “Ababil” ditafsirkan sebagai kelompok-kelompok (yang datang berturut-turut). Dikatakan, ia tidak mempunyai bentuk kata tunggal seperti mana perkataan “Asatir.” Namun, ada yang berpendapat, ia mempunyai kata tunggal iaitu Ubul (أُبُول), Ibal (إِبَال) atau Ibbil (إِبِّيل) seperti mana perkataan ‘Ujul (عُجُولِ), Miftah (مِفْتَاح) dan Sikkin (سِكِّين).
Pendapat yang terpilih di sisi Imam al-Tabari bahawa makna “Ababil” merangkumi semua itu; beliau menyatakan, Allah SWT berfirman: “Tuhanmu telah mengutus kepada mereka burung yang bertebaran, yang mengikuti satu sama lain dari pelbagai arah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/627).
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan makna perkataan “Ababil,” yang mana jika diteliti sebenarnya semua pendapat itu tidak jauh berbeza. Namun, majoriti mereka berpendapat, perkataan “Ababil” bermaksud kelompok-kelompok yang datang berturut-turut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.