Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah hukum mendoakan kebinasaan saudara seagama disebabkan kezaliman yang pernah dilakukan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Seorang Muslim tidak boleh mendoakan keburukan kepada saudaranya yang Muslim tanpa sebab yang benar, dan tidak boleh mengharap dan mendoakan keburukan berlaku ke atasnya dalam urusan agama atau dunianya. Jika saudaranya yang Muslim menzalimi atau menyakitinya, maka dia dibenarkan mendoakan keburukan ke atas saudaranya itu sekadar kadar kezaliman dan kesakitannya, dan tidak melebihi daripada itu. Namun, jika dia bersabar atas kesakitan yang diterimanya dan memaafkannya, maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya. Allah SWT berfirman:

 وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ

Maksudnya: Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

(Surah al-Nahl:126)

Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini belaiau menyatakan bahawa: jika kamu membalas, wahai orang-orang yang beriman, terhadap orang yang menzalimi kamu dan menyerang kamu, maka balaslah dengan balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukan oleh orang yang menzalimi kamu. Namun jika kamu bersabar dan tidak membalas dendam, serta mengharapkan pahala dari Allah atas apa yang kamu terima dari kezaliman tersebut, dan menyerahkan urusan itu kepada-Nya, maka Allah akan mengambil alih untuk menghukumnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/401)

Syeikh Abd  ‘Aziz Bin Baz dalam isu ini menyatakan: Tidak mengapa berdoa ke atas orang yang menzalimi dengan kadar kezaliman yang dilakukannya. Allah SWT berfirman:

لَّا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ

Maksudnya: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan.”

Oleh yang demikian,  Sesiapa yang menzalimi berhak didoakan keburukan ke atasnya. Jika kamu memaafkan dan mengampunkan, maka kamu mendapat ganjaran yang besar. Jika kamu berdoa ke atas orang yang menzalimi kamu sekadar kezaliman yang dilakukannya dan memohon kepada Allah agar membalas kezaliman itu dengan balasan yang setimpal, maka itu tidak mengapa. Jika kamu meninggalkan doa tersebut dan memaafkan, maka ganjarannya lebih besar bagi kamu. Kamu mendapat ganjaran yang besar jika kamu memaafkan dan bersabar. [1]

Justeru, mendoakan kebinasaan ke atas saudara Muslim atau keluarganya dengan melampaui batas dalam berdoa adalah tidak dibenarkan. Sebaliknya, doa kebinasaan hanya dibenarkan ke atas orang kafir yang memerangi yang melampaui batas dan merosakkan, yang kejahatannya tidak dapat dihentikan melainkan dengan kebinasaannya. Di sini, kami ingin menasihati bahawa jika terdapat konflik antara saudara seagama, maka sebaiknya segera berusaha untuk berdamai dan saling memaafkan. Ini kerana Islam sangat melarang umatnya dari perpecahan dan permusuhan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua ‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/15839/%D8%AD% Diakses pada 12 Jun 2024

Leave a Reply