Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya hukum memandikan anak menggunakan susu badan bagi tujuan rawatan kulit? Adakah haram?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menyusu badan bagi bayi merupakan hak yang pada hakikatnya wajib ditunaikan oleh ibu bapa, sama ada si ibu memberikan susu badannya sendiri kepada anak tersebut, atau mencari ibu susuan yang baik untuk anak tersebut. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak. Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/187)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Kewajiban memberikan susu kepada bayi ini adalah dengan persepakatan fuqaha’, sekiranya bayi tersebut memang berhajat kepada susu ibu pada usia belum putus susu. Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah mengatakan bahawa kewajiban tersebut ke atas bapa untuk mencari ibu susuan, bukannya ke atas ibu kandung tersebut. Hal ini kerana, susuan itu bagi bayi umpama nafkah bagi orang dewasa, dan kewajiban nafkah adalah ke atas bapa. Kewajiban ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Adapun yang wajib bagi seorang ibu itu adalah memberikan bayinya minum kolostrum atau susu pertama yang keluar selepas bersalin dan berwarna sedikit kekuningan. Ini kerana ianya baik untuk sistem ketahanan badan bayi tersebut. (Lihat Asna al-Matalib, 3/445; Nihayah al-Muhtaj, 7/221; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/239)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak dinafikan bahawa penggunaan susu pada kulit badan memberikan banyak manfaat. Susu adalah sumber nutrisi yang kaya dengan vitamin A, B, protein dan asid alfa hidroksi (AHA) yang berkesan dalam memberikan nutrisi kepada kulit. Ia berupaya menangani pelbagai isu kulit seperti jerawat, mengecilkan liang pori, melicinkan dan mencerahkan kulit dan banyak lagi manfaat-manfaat yang lain.

Oleh yang demikian dalam isu ini kami berpandangan tidaklah menjadi satu kesalahan untuk memandikan anak dengan susu badan ibu dengan tujuan untuk merawat masalah kulit dan sebagainya. Ini kerana pada susu ibu itu terdapat pelabagai khasiat dan manfaat pada kesihatan. Hal ini adalah bertepatan dengan sebuah kaedah yang menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus sehingga terdapatnya dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.”

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Selain itu, diriwayatkan juga  daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Syeikh Soleh al-Uthaimin pernah ditanya kepadanya : Adakah dibenarkan menggunakan beberapa bahan makanan seperti tepung, telur, madu, susu, dan seumpamanya sebagai rawatan untuk penyakit-penyakit yang mungkin terkena pada wajah

seperti jeragat dan seumpamanya? Dan jika bukan untuk penyakit tetapi hanya untuk tujuan mencantikkan kulit, adakah dibenarkan juga?

Lalu kata Syeikh: Jawapannya, seperti yang diketahui, perkara-perkara ini adalah makanan yang diciptakan oleh Allah SWT untuk pemakanan badan. Namun, jika seseorang memerlukan untuk menggunakannya dalam hal lain yang bukan najis, seperti untuk rawatan, maka ini tidak mengapa.  Ini kerana Allah SWT telah berfirman:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Kalimah (لكم) dalam ayat merangkumi segala bentuk manfaat jika tidak ada yang menunjukkan kepada pengharaman. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 2/22)

Justeru, berdasarkan perbincangan yang telah dinyatakan sebelum ini, penggunaan susu ibu sebagai rawatan mandian bagi anak yang menghadapi masalah kulit bukanlah satu kesalahan. Walau bagaimanapun, jika terdapat alternatif atau bahan lain yang boleh digunakan untuk merawat masalah tersebut, maka adalah lebih baik untuk memilih alternatif tersebut. Ini kerana pada asasnya, susu ibu hanya digunakan untuk memberikan nutrisi kepada bayi yang baru lahir. Namun, dalam situasi tertentu di mana susu ibu mempunyai manfaat perubatan yang signifikan, penggunaannya adalah dibenarkan. Oleh yang demikian,, adalah lebih baik untuk merujuk kepada pakar perubatan atau pakar kanak-kanak sebelum menggunakan susu ibu sebagai rawatan bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan rawatan tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply