Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengaminkan doa rakan non muslim kepada kita ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini mengaminkan doa adalah tindakan yang disyariatkan dalam islam, baik orang yang berdoa itu berada dekat atau jauh, atau doa tersebut  didengari melalui televisyen atau radio. Siapa saja yang mendengar doa dan ingin menjadi sebahagian dari orang-orang yang menerima doa tersebut, harus mengucapkan ‘Amin,’ yang bererti ‘Perkenankanlah.’ Dengan demikian, dia memohon kepada Tuhannya agar doa tersebut diterima dan diberikan apa yang diminta dalam doa itu. Allah Zat Yang Maha Suci , adalah tempat terbaik untuk memohon.

Ibn Abd Bar Rahimahullah berkata: Al-Ta’Min adalah ucapan manusia: ‘Amin’, ketika dia berdoa atau mendengar doa orang lain. Makna ‘Amin’ menurut para ulama adalah: ‘Ya Allah, kabulkanlah doa kami’. (Lihat al-Tamhid, 7/9)

Oleh yang demikian, sekiranya apa yang didoakan itu berupa kebaikan maka dibolehkan bagi seorang muslim mengaminkannya dengan berharap bahawa Allah akan memakbulkan doa tersebut.

Diriwayatkan daripada Hassan bin ‘Atiyyah bahawa beliau berkata:

 لَا بَأْسَ أَنْ يُؤَمِّنَ الْمُسْلِمُ عَلَى دُعَاءِ الرَّاهِبِ، فَقَالَ: إِنَّهُمْ يُسْتَجَابُ لَهُمْ فِينَا وَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ فِي أَنْفُسِهِمْ

Maksudnya: “Tidak mengapa bagi seorang Muslim untuk mengaminkan doa seorang rahib, kerana dikatakan bahawa doa mereka akan dikabulkan untuk kita tetapi tidak untuk diri mereka sendiri.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29835)

Namun sekiranya apa yang didoakan tersebut berupa keburukan terhadap kita, maka balaslah dengan ‘waalaika’ sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Umar bahawa Baginda bersabda:

 إِذَا سَلَّمَ عَلَيْكُمُ اليَهُودُ، فإنَّما يقولُ أحَدُهُمْ: السّامُ عَلَيْكَ، فَقُلْ: وعَلَيْكَ

Maksudnya: “Jika orang Yahudi memberi salam kepada kamu, mereka biasanya akan mengatakan: ‘Kematian atas kamu’, maka katakanlah: ‘Dan juga atas kamu’.”

Riwayat Bukhari(6257) Muslim(2164)

Disebutkan dalam al-Subul al-Salam bahawa: “Para ulama sepakat bahawa boleh menjawab salam ahli kitab, tetapi cukup dengan mengucapkan ‘Dan juga atas kamu’.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 7/266)

Terdapat juga sebahagian ulama berpandangan bahawa doa orag kafir itu tidak akan diterima. Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

Maksudnya: Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

(Surah al-Ghafir:50)

Syeikh Abd Rahman al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebutkan: Ia batal dan tidak sah, kerana kekufuran menggugurkan semua amalan dan menghalang doa daripada dikabulkan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.739 )

Begitu Ibn ‘Asyur menyatakan bahawa: Sesungguhnya doa-doa mereka tidak memberi manfaat dan tidak dikabulkan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 24/166)

Justeru kami katakan berdasarkan pandangan yang dikemukakan, kami berpandangan tidaklah menjadi satu kesalahan untuk mengaminkan doa yang berupa kabaikan daripada  rakan yang bukan islam kepada kita dengan berharap agar doa tersebut dikabulkan oleh Allah SWT bukan dari tuhan-tuhan mereka. Di sini juga kami menasihati agar sentiasa  berwaspada agar tidak  terjerumus dalam pekara-perkara yang menyeleweng dari ajaran agaman islam. Ingatlah Rasulullah SAW pernah bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6919)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply