Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebelum ini pernah tular tentang seorang lelaki yang mencadangkan agar hukum haram membunuh diri ditukar oleh para mufti kepada hukum harus. Alasan dia, bunuh diri itu merupakan hak individu yang tidak sepatutnya dianggap berdosa. Boleh saya dapatkan sudut pandang ustaz berkenaan isu ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami memulakan dengan ucapan “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”, sesungguhnya kita semua milik Allah SWT dan kepada-Nya jugalah kita akan kembali. Dalam kenyataan yang dibawakan ini, terdapat dua perbahasan utama yang perlu kami tekankan:

  • Diri setiap manusia ini adalah hak milik Allah SWT.
  • Pengharaman bunuh diri itu datang dari syara‘.

Semua Makhluk itu Milik Allah

Perbahasan ini perlu didahulukan agar masyarakat dapat faham dengan baik bahawa tubuh badan dan nyawa setiap individu itu merupakan hak Allah SWT. Kefahaman ini perlu disematkan dalam diri kita, terutamanya yang beragama Islam, agar ideologi menyeleweng seperti “nyawa kita, hak kita” ini tidak melarat sehingga memusnahkan bangsa manusia. Tidakkah kita merenung firman Allah SWT:

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Maksudnya: “Tuhan yang bersifat demikian itu ialah Allah Tuhan kamu semua. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu. Justeru, sembahlah Dia dan Dia ialah Pentadbir segala sesuatu.”

(Surah al-An‘am: 102)

Imam al-Tabari menafsirkan firman-Nya (وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ) seraya berkata, Allah SWT yang memelihara dan memerhati atas segala sesuatu yang Dia cipta. Dia yang akan memberikan kepada semua ciptaannya sumber rezeki dan keperluan. Dia yang memimpin mereka, mengaturkan dan menguruskan segala sesuatu dengan kekuasaan-Nya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/13)

Dapat disimpulkan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Pencipta dan Pemilik seluruh makhluk, serta Dialah Tuhan Pemberi Rezeki Yang Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya. Semua rezeki yang dikurniakan kepada makhluk adalah datang daripada Allah SWT Dialah memiliki kuasa pentadbiran, pengurusan dan pemeliharaan, kuasa memberi bimbingan dan arahan, kuasa pemerintahan yang wajib dipatuhi dan kuasa undang-undang dan peraturan yang wajib dijunjung oleh semua hamba-Nya.

Dan adakah kita ingin mengabaikan intipati firman Allah SWT yang Maha Agung:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”

(Surah al-Baqarah: 156)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, orang-orang yang ditimpa kesusahan ini berkata: Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah, yang diatur di bawah perintah-Nya serta aturan-Nya. Maka kita tidak mempunyai hak langsung atas diri serta harta kita. Apabila kita diuji dengan sesuatu berkenaan perkara tersebut, sesungguhnya itu semua atas ketentuan Tuhan Yang Maha Mengasihani buat sesiapa sahaja yang bersifat kasih, dengan pemilikan-Nya atas segala harta hamba-hamba. Oleh itu, tidak ada bantahan terhadap Allah, bahkan pengabdian yang sempurna sebagai hamba yang mengetahui akan ujian dari Tuhan Yang Maha Memiliki lagi Maha Bijaksana, yang mengasihi para hamba-Nya. Maka wajib ke atas hamba untuk redha, syukur kerana berada di bawah pemerintahan-Nya yang merupakan suatu kebaikan buat hamba Allah.

Kita juga semuanya milik Allah SWT, dan kepada-Nya kita akan kembali pada hari yang telah dijanjikan – hari Kiamat –. Setiap individu itu kelak akan diberikan ganjaran atas setiap amalan yang dikerjakan. Sekiranya kita bersabar, nescaya kita akan mendapat gajaran kebaikan yang melimpah dari sisi-Nya. Adapun, jika kita ragu-ragu atau tidak rela dengan ketentuan Allah SWT, maka tidak akan sedikitpun bahagian kita pada hari tersebut melainkan hilang ganjaran-ganjaran tersebut.

Apabila segala maklumat ini dapat dicerna dengan baik oleh akal kita, diajarkan dan diterapkan pengamalannya dalam diri anak bangsa kita, maka ia akan menjadi sebab utama kepada tingginya sifat sabar dalam diri setiap individu; kerana mereka tahu bahawa mereka itu merupakan hamba Allah dan mereka akan kembali kepada-Nya suatu hari nanti. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 75)

Syara‘ Mengharamkan Bunuh Diri

Selepas kita faham bahawa tubuh badan kita ini pada hakikatnya merupakan hak Allah SWT, maka kita tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap tubuh badan yang diciptakan oleh Allah SWT ini dengan memberikan mudarat terhadapnya secara sengaja, seperti bunuh diri. Bunuh diri merupakan satu dosa besar. Menggambarkan betapa besarnya hukuman terhadap perbuatan bunuh diri ini, sehingga syara‘ menyebutkan banyak ancaman terhadap pelaku perbuatan terkutuk tersebut.

Sebahagian pihak cuba untuk menjustifikasi ‘keharusan’ bunuh diri ini atas dasar keterdesakan hidup, masalah mental dan sebagainya. Lalu mereka melihat bunuh diri ini perlu dibenarkan oleh para mufti, dengan kuasa institusi kefatwaan yang berada di autoriti  mereka, sebagai pembuka jalan yang memberi sinar baharu buat mereka yang diuji ini. Kami katakan, sungguh ini adalah suatu permintaan yang sangat tidak bertanggungjawab, lebih teruk lagi ia bercanggah dengan agama, bahkan sebaliknya menutup sinar baharu yang menjadi angan-angan mereka. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Jundub bin Junadah R.A:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ، فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، فَحَرَّمْتُ عَلَيْهِ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Dalam kalangan umat sebelum kamu, terdapat seorang lelaki yang menderita kecederaan (bernanah), dia berasa takut (dan tidak sabar atas penderitaan) lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya menggunakan pisau tersebut. Darah tidak berhenti mengalir sehingga (menyebabkan) dia meninggal dunia. Allah SWT berfirman: ‘Hamba-Ku telah bersegera kepada-Ku dengan dirinya sendiri, maka Aku mengharamkan Syurga ke atas dirinya’.”

Riwayat al-Bukhari (3463) dan Muslim (113)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, pengharaman Syurga ke atas orang yang bunuh diri ini sebagai balasan, kerana dia menyegerakan ajalnya dengan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kematian. Dia ibarat menjadikan perbuatan maksiat terhadap Allah SWT itu sebagai suatu pilihan, maka dia layak dihukum. Hadith ini juga menunjukkan tindakan orang tersebut menoreh tangannya kerana ingin mati, bukan kerana ingin menyembuhkan seksaannya yang disangka suatu pilihan yang bermanfaat. (Lihat Fath al-Bari, 6/500)

Allah SWT juga akan mengazab orang yang bunuh diri tersebut, dengan apa jua cara atau alatan yang digunakan untuk menamatkan nyawa, kemudian akhirnya mereka kekal berada dalam Neraka Jahannam yang merupakan seburuk-buruk tempat kembali. Ini disebutkan dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang terjun dari gunung, lalu meninggal dunia maka dia di neraka Jahanam dan kekal di dalamnya selamanya. Siapa yang meminum racun, lalu meninggal dunia, maka racunnya akan berada di tangannya sambil dia meminumnya di neraka Jahanam buat selamanya. Barangsiapa yang membunuh dirinya menggunakan besi, maka besi itu akan dia gunakan untuk menusuk perutnya di neraka Jahanam buat selamanya.”

Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

Dalam riwayat lain daripada Thabit bin al-Dahhak R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ فِي الدُّنْيَا عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, (maka) dia akan diseksa dengannya (dengan sesuatu itu) pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (6047) dan Muslim (110)

Dikisahkan dalam sebuah hadith tentang jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dibawa kepada Rasulullah SAW, akan tetapi Baginda tidak mendirikan sembahyang jenazah baginya. Jabir bin Samurah R.A meriwayatkan:

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ، فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah didatangkan kepadanya jenazah seorang lelaki yang membunuh dirinya dengan anak panah, lalu Baginda tidak mendirikan solat ke atasnya.”

Riwayat Muslim (978)

Menurut Imam al-Nawawi, jumhur ulama’ termasuk fuqaha’ al-Syafi‘iyyah berpendapat, solat jenazah perlu dikerjakan ke atas mereka yang bunuh diri, kerana sahabat masih mendirikan sembahyang terhadap orang tersebut. Adapun hadith ini yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW tidak mendirikan sembahyang jenazah, ia merupakan amaran buat sekalian umat manusia yang cuba melakukan perbuatan yang sama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/47)

Nas-nas al-Quran dan hadith yang kami bawakan ini menggambarkan betapa besarnya dosa membunuh diri itu, dan hukum pengharamannya itu bukanlah datang dari fatwa para mufti yang boleh diubah-ubah mengikut kehendak nafsu individu.

Kesimpulan

Kami tegaskan di sini bahawa setiap individu tidak mempunyai sebarang hak untuk melakukan sebarang mudarat pada dirinya, kerana kesemua makhluk di muka bumi ini pada hakikatnya adalah hak milik mutlak bagi Tuhan yang Maha Mencipta, iaitu Allah SWT.

Pengharaman bunuh diri itu pula bukanlah datang dari ijtihad serta fatwa para ulama’, sebaliknya ia datang dari nas syara‘ yang qat‘i, jelas, tanpa sebarang kesamaran atau kesukaran untuk memahaminya. Maka tidak sepatutnya mana-mana pihak menggesa badan-badan berautoriti atau institusi-institusi agama untuk mengubah hukum ini kepada harus, dengan alasan memudahkan mereka yang diuji kehidupannya untuk ramai-ramai membunuh diri sebagai pembuka sinar baharu.

Sinaran yang sebenar adalah kesabaran, dan kesabaran itu datang dengan keimanan serta kepercayaan yang teguh kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW kepada Ibn ‘Abbas R.A:

يَا غُلَامُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ، احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظُكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأمَُّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ

Maksudnya: “Hai anak! Aku akan mengajarmu beberapa perkataan, iaitu peliharalah Allah, nescaya Dia memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya engkau dapati-Nya di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan apabila engkau memohon pertolongan maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya suatu umat kalau mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan suatu yang sudah dituliskannya oleh Allah atas engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakan engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat membahayakan engkau kecuali dengan suatu yang sudah dituliskannya oleh Allah atas engkau. Diangkatkan segala pena dan telah keringlah pula segala buku catatan amal.”

Riwayat al-Tirmizi (2516) dan Ahmad (2669)

Semoga pencerahan ini dapat memberikan kesedaran kepada umat Islam betapa besarnya peranan kita sebagai khalifah, bukan sekadar memimpin masyarakat ke jalan yang benar, bahkan memimpin diri agar tidak tersasar dari landasan, sehingga menjerumuskan diri ke dalam lembah kebinasaan. Kami akhiri dengan doa:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam pengakhiran yang baik, dan janganlah Engkau matikan kami dalam pengakhiran yang buruk.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply