Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Hukum menulis kaligrafi ayat-ayat al-Quran pada sejadah solat. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.” Katakanlah, “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?”

(Surah al-Taubah: 65)

Ayat ini turun kepada sebahagian orang munafik ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya, katanya: “Abdullah ibn Wahab berkata: Hisyam bin Sa‘d mengkhabarkan kepadaku, daripada Zaid bin Aslam, daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Seorang lelaki berkata ketika perang Tabuk dalam satu majlis, ‘Aku dapati para qurra’ kita (orang yang mahir membaca al-Quran dalam kalangan kita), adalah orang yang paling menjaga perut, paling pembohong dan paling pengecut apabila bertempur dengan musuh.’ Seorang lelaki yang berada di masjid ketika itu berkata, ‘Engkau pembohong, dan engkau adalah munafik! Aku pasti akan memberitahu Rasulullah SAW tentang hal ini.’ Lalu berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, lalu ayat di atas diturunkan.” Abdullah bin Umar berkata: “Aku melihat lelaki itu bergantung pada tali kekang unta Rasulullah SAW dan batu terkenanya, sambil dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Adakah dengan Allah dan Rasul-Nya kamu mempersendakan? Janganlah kamu memohon kemaafan, kerana kamu telah kufur selepas keimanan kamu.’” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/171)

Menurut imam al-Nawawi, perbuatan mempersendakan agama bagi seorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/293)

Ibn Hajar al-Haitami pula menyatakan, perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan” atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama. (Lihat al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/48)

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan bahawa; ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sebagai seorang muslim hendaklah memuliakan Kalam Allah iaitu al-Quran al-Karim dan hendaklah meletakkan mashaf al-Quran atau ayat-ayat  daripadanya sesuai dengan kemuliaan dan kesuciannya.  Ini kerana menjadi kewajipan seorang muslim untuk mengagungkan dan menjaga Ayat suci al-Quran dengan baik agar tidak terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya baginya. Allah SWT berfirman:

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj:32)

Al-Sama‘ani menukilkan dalam tafsirnya bahawa: Dalam bab syiar, terdapat dua pendapat: Ibn Abbas berkata: “Ia adalah binatang ternakan (untuk korban), dan menghormatinya adalah dengan menggemukkan dan memperelokkannya.” ‘Atha’ menyatakan: “Syiar Allah adalah jamrah (tempat melontar batu semasa haji).” Menurut Zaid  bin Aslam, beliau berkata: “Syiar Allah adalah Safa dan Marwah, Rukun , Baitullah, Arafah, al-Masy’aril Haram, jamrah (tempat melontar batu), dan ada yang mengatakan bahawa syiar Allah adalah tanda-tanda agamanya. (Lihat Tafsir al-Sama‘ani, 3/437)

Berdasarkan ayat ini dapat kita fahami bahawa dalam perspektif Islam, al-Quran bukan hanya sekadar kitab suci yang mengandungi ajaran dan panduan hidup, tetapi juga merupakan syiar agama yang wajib dihormati dan dimuliakan oleh setiap Muslim. Penghormatan terhadap al-Quran adalah tanda ketakwaan dan keimanan seorang Muslim. Al-Quran bukan sahaja mengandungi kata-kata dan panduan terhadap muslim, tetapi juga melambangkan kedaulatan dan kemuliaan Islam.

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ : Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Oleh yang demikian, dengan memuliakan al-Quran, seseorang Muslim menunjukkan penghormatan terhadap perintah Allah SWT dan komitmen mereka terhadap prinsip-prinsip agama. Tindakan ini mencerminkan kesedaran rohani yang mendalam dan kesungguhan dalam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Justeru, dalam konteks ini, kami berpendapat bahawa mengukir kaligrafi ayat-ayat al-Quran pada sejadah adalah tidak sesuai. Walaupun sejadah digunakan sebagai alas semasa solat, ia tetap merupakan permukaan yang dipijak. Oleh itu, tidak wajar untuk menulis atau memaparkan ayat-ayat suci al-Quran pada benda yang digunakan untuk berpijak. Sebagai alternatif, kami mencadangkan agar ayat-ayat suci tersebut diletakkan atau dipamerkan pada tempat yang tinggi dan bersih sebagai tanda penghormatan terhadap keagungan ayat-ayat tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply