Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bolehkah surau Jumaat di sekolah mengadakan program yang mengandungi nyanyian, tepuk tangan, muzik lagu iringan ketika pembentangan slaid dan ada ketukan duf, kompang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Masjid didirikan untuk kita beribadah kepada Allah SWT di dalamnya. Itulah tujuan utama pembinaan masjid. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا یَعۡمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ یَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰۤ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَن یَكُونُوا۟ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِینَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang layak untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, mendirikan solat dan menunaikan zakat serta tidak takut kecuali kepada Allah. Mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Imam al-Zamakhsyari berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Mengimarahkan masjid itu bermakna memperelokkan masjid sebagaimana yang sewajarnya, menyucikan dan membersihkannya, menyalakan lampu dengan sinaran cahaya yang terang, mengagungkannya, melazimkan rutin ibadah dan zikir di dalamnya, dan antara majlis zikir adalah majlis-majlis ilmu bahkan demikianlah majlis zikir yang paling agung dan utama. Imarah juga bererti memelihara masjid daripada perbuatan-perbuatan yang tidak menjadi tujuan masjid didirikan seperti aktiviti dan perbualan keduniaan, lebih-lebih lagi bual-bual kosong.” (Lihat Tafsir al-Kassyaf, 2/254)

Daripada penjelasan di atas, dapatlah kita ketahui bahawa masjid tidak didirikan untuk kita melakukan perbuatan keduniaan lebih-lebih lagi aktiviti yang berunsur hiburan dan kelalaian duniawi, yang melanggar etika adab kesopanan dan tatasusila seorang yang beribadah di dalam rumah Allah.

Hukum Menyanyi di dalam Masjid

Hukum nyanyian dan bersyair serta berqasidah tanpa disertai alat muzik mempunyai perincian dan penjelasan khusus dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Imam al-Mawardi yang membahagikan hukum nyanyian dan syair seperti berikut:

  • Mustahab (Dianjurkan): jika nyanyian/syair itu mengingatkan tentang akhirat dan berpesan tentang tipu daya duniawi, atau mengajak kepada akhlak-akhlak yang baik.
  • Harus: jika nyanyian/syair itu tiada unsur buruk, keji, lucah dan dusta.
  • Haram: jika nyanyian/syair itu berunsur buruk, keji, lucah dan dusta.”

(Lihat al-Hawi al-Kabir, 17/202)

Pembahagian ini diterima dan dipuji oleh Imam Syihabuddin al-Azru‘i, seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Maka dapat kita ketahui, ada nyanyian yang halal dan ada juga nyanyian yang haram.

Nyanyian yang haram adalah nyanyian yang mengandungi lirik yang dusta, buruk, keji dan lucah, serta diiringi alat muzik bertali. Perbuatan ini dilarang sama sekali, sama ada di dalam masjid atau di luar masjid.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan lebih lanjut dan menegaskan kebolehan menyanyikan lagu yang baik: “Maka, kita ketahui bahawa setiap nyanyian dan syair yang berunsur menggalakkan agar melakukan amal ibadah dan ketaatan, atau mengandungi unsur hikmah kebijaksanaan, atau menggesa akhlak yang baik, kezuhudan dan yang sama erti dengannya berupa unsur kebaikan, seperti menyuruh melakukan amal ibadat dan amalan sunat, menghindari maksiat; maka semua dendangan dan nyanyian yang berunsur sedemikian ini hukumnya adalah sunnah. Ini merupakan fatwa ramai para Imam kita. Pendapat ini begitu zahir kebenarannya, kerana nyanyian seperti itu adalah jalan pendorong kepada ketaatan. Wasilah itu juga merupakan amal ketaatan.” (Lihat Kaf al-Ri‘a’ ‘an Muharramat al-Lahwi wa al-Sama’, hlm. 27)

Jika seseorang menyanyikan lagu atau syair atau qasidah yang baik seperti ini di dalam masjid, tanpa mengganggu perlaksanaan solat berjemaah, majlis ilmu, atau kegiatan-kegiatan ibadah orang lain, maka nyanyian semisal ini dibolehkan dan diharuskan.

Hassan bin Thabit R.A pernah mendendangkan nyanyian syair dan qasidah yang beliau gubal di dalam Masjid Nabawi ketika zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa:

أنَّ عُمَرَ، مَرَّ بحَسّانَ وَهو يُنْشِدُ الشِّعْرَ في المَسْجِدِ، فَلَحَظَ إلَيْهِ، فَقالَ: قدْ كُنْتُ أُنْشِدُ، وَفِيهِ مَن هو خَيْرٌ مِنْكَ، ثُمَّ التَفَتَ إلى أَبِي هُرَيْرَةَ، فَقالَ: أَنْشُدُكَ اللَّهَ أَسَمِعْتَ رَسولَ اللهِ ﷺ يقولُ: أَجِبْ عَنِّي، اللَّهُمَّ أَيِّدْهُ برُوحِ القُدُسِ؟ قالَ: اللَّهُمَّ نَعَمْ.

Maksudnya: “Umar berjalan melintasi Hassan dan melihat Hassan menyanyikan syair di dalam masjid. Kemudian. Umar menegur Hassan. Hassan pun berkata: ‘Aku pernah mendendangkan syair di dalam masjid, sedangkan manusia yang lebih baik berbanding engkau sedang berada di dalamnya.’ Kemudian, Umar memandang ke arah Abu Hurairah. Abu Hurairah pun berkata: Demi Allah, tidakkah tuan mendengar Rasulullah SAW berkata: ‘Balaslah bagi pihakku. Ya Allah, bantulah dia dengan Roh Kudus.’ Umar berkata: ‘Ya, benar’.”

Riwayat Muslim (2485)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas dan berkata: “Dalam hadith ini terdapat hukum boleh mendendangkan nyanyian syair di dalam masjid sekiranya nyanyian itu diharuskan, dan sebab bagi penganjurannya adalah apabila nyanyian itu memuji Islam dan ahlinya, atau mengecam orang-orang kuffar, mendorong semangat untuk berjuang menentang kezaliman dan memburukkan golongan jahat dan yang sama erti dengannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/45)

Kami cenderung menegaskan bahawa sekalipun sebahagian ulama mengharuskan nyanyian di dalam masjid jika liriknya baik, tetapi mengelakkan daripada menyanyi dan mendendangkannya di dalam masjid adalah lebih baik kerana masjid merupakan tempat ibadah, dan lazim masjid-masjid di Malaysia menjadi tempat persinggahan untuk masyarakat menunaikan solat, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain ibadat. Ini merupakan keutamaan dan prioriti fungsi sesebuah masjid dibina.

Semua umat Islam berhak untuk beribadah di dalamnya dengan selesa. Setiap kegiatan yang mengganggu keselesaan ibadat wajar dihalang meskipun ia adalah ibadat itu sendiri, namun dilaksanakan dengan cara yang salah dan mengganggu orang lain.

Abu Sa‘id al-Khudri R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا إِنَّ كُلَّكُم مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَّنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعُ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada Allah? Janganlah ada sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) yang lain. Jangan pula kamu tinggikan suara kamu di dalam bacaan (al-Quran kamu).”

Riwayat Abu Daud (1332) dan Ahmad (11896)

Jika membaca al-Quran pun Rasulullah SAW sudah arahkan agar merendahkan sedikit suara bacaan tersebut supaya tidak mengganggu jemaah yang lain, sedangkan bacaan al-Quran itu merupakan antara ibadah yang paling utama, maka sudah tentu nyanyian yang bukan amal ibadah adalah lebih utama untuk dielakkan, agar tidak menjadi gangguan kepada orang yang sedang bermunajat dan beribadat.

Hukum Bertepuk Tangan di dalam Masjid

Hukum bertepuk tangan merupakan khilaf dalam kalangan para ulama mazhab al-Syafi‘i.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama, antaranya adalah daripada Imam Ibn al-Rif‘ah di dalam Kitab al-Matlab bahawa ulama al-Syafi‘iyyah beraliran al-‘Iraqiyyin menghukumnya makruh, manakala ulama al-Syafi‘iyyah beraliran al-Khurasaniyyin menghukumnya haram.

Muktamad mazhab al-Syafi‘i pula menyatakan hukum bertepuk tangan kerana kagum akan sesuatu, dan bermain-main atau bergurau senda adalah harus dan dibenarkan.

Di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami, hukum bertepuk tangan kerana bermain-main dan berseronok adalah halal dan diharuskan menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab. (Lihat Kaf al-Ri‘a’ ‘an Muharramat al-Lahwi wa al-Sama’, hal. 97)

Imam al-Syabramallisi berkata: “Begitu juga (dibenarkan) perbuatan bertepuk tangan kerana kagum akan sesuatu yang menakjubkan dan hebat, seperti tepuk tangan selepas mendengar nyanyian yang merdu, begitu juga wanita bertepuk tangan ketika bermain-main dengan anak-anak kecil mereka.” (Lihat Hasyiah al-Syabramallisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 2/47)

Imam Ibn Hajar al-Haitami juga menukilkan fatwa ulama mazhab al-Syafi’i yang mengharamkan perbuatan bertepuk tangan, iaitu fatwa Imam al-Hulaimi, Imam al-Azru’i dan Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam.

Al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam berkata: “Tepukan adalah perbuatan perempuan, tiada yang melakukannya kecuali kurang daya kelelakian atau lemah jati diri, orang yang berfoya-foya dan jahil. Ia tidak dilakukan oleh para Nabi mahupun pengikut mereka, dan hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil, yang diperdaya oleh hawa nafsu.” (Lihat Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 2/221)

Kesimpulannya bertepuk tangan hukumnya harus dan dibolehkan, namun apabila berada di dalam masjid, kami cenderung menghukumnya makruh dan sewajarnya ditegah demi memelihara keagungan masjid. Hal ini kerana berlaku khilaf dalam perkara ini, dan keluar daripada khilaf adalah pilihan yang terbaik.

Bertepuk tangan di tempat ibadah bahkan menyerupai perbuatan orang-orang Jahiliah ketika bertawaf mengelilingi Kaabah ketika zaman Jahiliah, dan bukannya pedoman Rasulullah SAW serta para Sahabat baginda yang diredhai. Allah SWT berfirman:

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمۡ عِندَ ٱلۡبَیۡتِ إِلَّا مُكَاۤءࣰ وَتَصۡدِیَةࣰۚ فَذُوقُوا۟ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ

Maksudnya: “Manakala solat mereka di sekitar Baitullah tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Oleh itu, rasakanlah azab ketika hari peperangan Badar disebabkan kekufuran kamu itu.”

(Surah al-Anfal: 35)

Imam Ibn Juzai al-Andalusi menafsirkan: “Orang-orang Musyrik melakukan sedemikian, bertepuk tangan dan bersiulan di sekitar Baitullah dan menghalang orang-orang beriman untuk melaksanakan solat.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/325)

Hukum Memalu Kompang (Duf) di dalam Masjid

Memalu kompang atau duf hukumnya secara umum di sisi para ulama terutamanya ulama mazhab al-Syafi’i adalah harus dan dibolehkan, tidak diharamkan.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Pendapat muktamad di dalam mazhab kita (mazhab al-Syafi’i adalah perbuatan memalu kompang adalah halal dan tidak dimakruhkan (terutamanya) ketika majlis walimatulurus dan majlis meraikan budak berkhatan, bahkan Imam al-Baghawi mengatakan perbuatan memalu kompang adalah mustahab (dianjurkan) dalam kedua-dua majlis ini. Apa pun, di sisi kami, tidak melakukannya adalah lebih baik. Ini juga merupakan hukumnya ketika majlis-majlis keramaian yang lain. Hukumnya harus juga menurut pendapat yang paling sahih di sisi Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Minhaj dan lain-lain kitabnya.” (Lihat Kaf al-Ri’a’ ‘an Muharramat al-Lahwi wa al-Sama’ hal. 77)

Adapun hukum memalu kompang di dalam masjid, para ulama mazhab al-Syafi’i terbahagi kepada dua pendapat:

  1. Dibolehkan memalu kompang di dalam masjid

Ini merupakan pendapat Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Maksudnya: “Iklankan pernikahan ini. Buat majlis di masjid, dan palulah kompang untuk menyambutnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1089)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata selepas menukilkan hadith di atas: “Di dalam hadith ini terdapat kecenderungan untuk membolehkan perbuatan memalu kompang di dalam masjid-masjid untuk tujuan tersebut (majlis pernikahan), dan boleh juga disamakan untuk majlis-majlis yang lain. Kebolehan ini telah dinukilkan daripada ulama-ulama terdahulu seperti Imam Abu Zur‘ah, Syeikh al-’Izz bin Abd al-Salam, Imam Ibn Daqiq al-‘Id yang merupakan penghulu sekalian ulama muta’akhirin dan merupakan tokoh dalam ilmu, warak. Sebahagian juga menukilkan fatwa kebolehan ini daripada Imam Abu Ishaq al-Syirazi yang diakui sebagai seorang mujtahid yang warak. Cukuplah demikian membuktikan kebenaran tentangnya halalnya perbuatan ini.” (Lihat Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/356)

  1. Tidak dibolehkan memalu kompang di dalam masjid

Ini merupakan pendapat Imam al-Sayyid Abu Bakr al-Bakri bin Muhammad Syata al-Dimyati. Beliau mensyarahkan hadith di atas dengan perspektif yang berbeza. Beliau menyatakan hadith itu bermaksud arahan memalu kompang di kawasan luar halaman masjid, bukan di dalamnya. Beliau menegaskan bahawa masjid perlu dipelihara daripada sebarang bunyian muzik.

Beliau berkata: “Sabda Nabi SAW: “Palulah kompang untuk meraikannya (majlis nikah di masjid).” Jika engkau mempertikaikan: “Bukankah masjid perlu dipelihara daripada paluan kompang (mainan alat muzik), bagaimana pula Baginda boleh arahkan untuk melakukannya?” Aku katakan: “Yang dimaksudkan bukanlah memalu kompang di dalam masjid, namun di luar masjid. Arahan di dalam hadith itu hanya menyuruh agar melaksanakan akad ijab kabul sahaja di dalam masjid.” (Lihat I’anah al-Talibin li halli Alfaz Fath al-Mu’in, 3/316)

Kami senada dengan pendapat ini.

Kami menegaskan bahawa perbuatan sengaja bermain dan memalu kompang, gendang dan rebana di dalam masjid adalah tidak dibolehkan dan sebaiknya ia dielakkan, demi menjaga kesucian dan kemuliaan rumah Allah. Ini kerana masjid merupakan tempat orang-orang beribadah. Apatah lagi sekiranya paluan tersebut mengganggu orang-orang yang beribadah di dalam masjid, maka hukumnya adalah jelas haram.

Sekalipun begitu kami tidak menafikan di sana terdapatnya pendapat sebahagian ulama yang mengharuskannya, jika ia tidak mengganggu orang-orang yang sedang beribadah di dalamnya. Namun, meninggalkannya untuk dilakukan di dalam masjid adalah jauh lebih baik dan keluar daripada khilaf.

Hukum Memainkan Muzik di dalam Masjid

Bermain alat muzik seperti alat muzik bertali semisal gitar, piano, biola dan lain-lain adalah haram menurut muktamad mazhab al-Syafi’i. Mereka berdalilkan hadith Abu Malik al-Asy’ari R.A yang meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

لَيَكونَنَّ مِن أُمَّتي أقْوامٌ يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ والحَرِيرَ، والخَمْرَ والمَعازِفَ

Maksudnya: “Akan ada dalam kalangan umatku sebuah kelompok yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alat muzik.”

Riwayat al-Bukhari (5590)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan daripada ulama besar mazhab al-Syafi’i, Imam Abu al-Fath al-Razi menukilkan ijma’ tentang pengharaman alat muzik bertali di dalam kitab al-Taqrib.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata lagi: “Alat-alat muzik bertali dan instrumen muzik seperti tunbur, ‘ud, derrij, rabab (semuanya adalah gitar Arab dan Parsi), sanj (simbal), setiap alat muzik yang bertali, biola, harpa/hap, duclimer; dan lain-lain alat perkusi dan instrumen muzik yang masyhur di sisi orang-orang yang lalai, jahil dan fasik, semuanya haram tanpa khilaf. Sesiapa yang mendakwa konon adanya khilaf, maka dia telah salah atau dipengaruhi hawa nafsu. Sehinggakan hawa nafsunya membutakan dan memekakkannya, dan menghalang dirinya daripada petunjuk, serta tergelincirnya diri seseorang itu daripada ketakwaan.” (Lihat Kaf al-Ri’a’ ‘an Muharramat al-Lahwi wa al-Sama’ hal. 118)

Maka melakukan perkara haram di dalam masjid, hukum asalnya adalah haram dan dilarang. Seharusnya ditegah dan dibantah perlaksanaannya.

Fatwa Mufti Negeri Melaka dan Mufti Negeri Sembilan berkaitan Larangan Berzikir Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid

Berikutan dengan pendirian dan syor kami, turut kami sertakan Fatwa Negeri Melaka pada tahun 2010 yang mewartakan bahawa:

(a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;

 (b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.

Begitu juga Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 09/2014-1436H yang bersidang pada 16 Disember 2014 bersamaan 23 Safar 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau dengan sighah seperti berikut:

  1. Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid demi menjaga kehormatan masjid dan akhlak Islam.
  2. Walau bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa jua jenis alatan muzik yang diharuskan syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa sekalipun sebahagian ulama mengharuskan untuk mendendangkan nyanyian yang baik liriknya atau memalu kompang, rebana di dalam masjid, tetapi kami berpendapat mengelakkan daripada melakukannya di dalam masjid adalah jauh lebih baik dan keluar daripada khilaf. Kaedah fiqh menyatakan:

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah amat dianjurkan.”

Apatah lagi masjid merupakan tempat yang dikhususkan untuk beribadah. Sekiranya ingin juga melakukan aktiviti atau majlis yang melibatkan penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh syara‘, maka laksanakanlah ia di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.

Kami juga ingin menegaskan di sini bahawa perbuatan bertepuk tangan, memalu kompang dan alat-alat yang semisal dengannya, atau memasang muzik di dalam masjid adalah perbuatan yang seharusnya dilarang dan ditegah serta menyelisihi adab tatasusila ketika berada di dalam masjid.

Pada masa yang sama, kami turut mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar:

  1. Melazimi adab-adab dan amalan sunnah ketika berada di dalam masjid
  2. Memasuki masjid dalam keadaan takutkan Allah SWT dan ingat akhirat
  3. Menghidupkan rumah Allah dengan ibadah dan majlis-majlis ilmu
  4. Memelihara kemuliaan dan kesucian masjid sebagai rumah Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

أُو۟لَـٰۤىِٕكَ مَا كَانَ لَهُمۡ أَن یَدۡخُلُوهَاۤ إِلَّا خَاۤىِٕفِینَۚ

Maksudnya: “Sepatutnya mereka hanya memasuki masjid-masjid itu dalam keadaan takut kepada Allah.”

(Surah al-Baqarah: 114)

Kami akhiri dengan doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika berada di pintu masjid:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ إِبْلِيسَ وَجُنُودِهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada Iblis dan bala tenteranya.”

Riwayat Ibn al-Sunni di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (152)

Wallahu a’lam.

Leave a Reply