Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, jika ada buah-buahan tumbuh daripada kubur tersebut adakah boleh dikutip atau dimakan jika kubur tu berada dalam tanah wakaf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Umat Islam diwajibkan untuk makan makanan yang halal dan terbaik. Demikianlah arahan Allah SWT kepada sekalian hamba-Nya. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِی ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلࣰا طَیِّبࣰا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ ٰ⁠تِ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوࣱّ مُّبِینٌ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang terdapat di bumi daripada makanan yang halal dan baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Imam Abu Ja‘far al-Tabari berkata: “Makna perkataan halal di sisi laras bahasa Arab adalah Tilq (طِلْقٌ) yang bermaksud: dilepaskan, diizinkan. Ini bermakna makanan-makanan tersebut diizinkan untuk diambil, dimakan dan dijamah dengan penuh kesenangan oleh Allah SWT menerusi lisan Nabi-Nya, Muhammad SAW. Allah mengarahkan kita untuk hanya makan makanan seperti itu, iaitu yang halal sahaja.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/300)

Makan harta yang haram bakal menjerumuskan diri kita ke dalam jurang api neraka. Huzaifah bin al-Yaman R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ، النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga setiap daging yang tumbuh hasil makan benda yang haram, nerakalah yang berhak memakan bahagian itu.”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Ausat (6/380)

Berhubungan dengan soalan yang diajukan, ada beberapa situasi dan keadaan yang perlu dijelaskan dan diperincikan setiap satu di sisi fuqaha’ mazhab al-Syafi‘i:

  1. Dibolehkan makan buah-buahan yang tumbuh pada pokok di atas kubur, di tanah perkuburan berstatus tanah wakaf atau tanah sabil

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata ketika menulis komentar kitab al-Tuhfah: “Jika ada tumbuh sebuah pohon di atas kubur (di tanah wakaf), maka buah yang tumbuh daripadanya itu halal dimakan oleh penziarah.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 6/295)

Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata: “Buah-buahan pada pokok yang tumbuh di atas kubur yang diharuskan, (buah-buahan tersebut) adalah boleh untuk dimakan.” (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 473)

Imam Zainuddin al-Malibari juga memfatwakan: “Buah-buahan yang berada pada pokok yang tumbuh di atas kubur yang diharuskan (untuk diambil buah-buahannya) adalah halal untuk dimakan.” (Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, 415)

Frasa “tanah perkuburan yang diharuskan (untuk diambil buah-buahannya)” adalah tanah perkuburan berstatus tanah wakaf dan tanah sabil, sepertimana kebanyakkan tanah perkuburan di tempat kita kini.

  1. Wajib minta izin dahulu dan tidak boleh makan tanpa izin, bagi tanah perkuburan berstatus tanah persendirian dan tanah milik peribadi

Jika kubur yang mempunyai pokok berbuah itu merupakan kubur di tanah perkuburan berstatus tanah persendirian dan hak milik peribadi, seperti tanah pemakaman Diraja atau tanah perkuburan milik keluarga tertentu, maka pokok dan buah tersebut adalah milik empunya tanah. Orang awam tidak boleh mengambil, memetik atau memakannya kecuali dengan izin tuan tanah.

Syeikh Abu Bakr al-Bakri bin Muhammad Syata al-Dimyati berkata: “Buah-buahan yang tumbuh pada kubur tanah wakaf boleh diambil, namun lain pula apabila berkaitan kubur di tanah persendirian  yang dimiliki individu tertentu. Buah-buahan yang tumbuh itu juga adalah kepunyaan pemilik tanah tersebut.” (Lihat I‘anah al-Talibin ‘ala halli Alfaz Fath al-Mu‘in, 3/216)

Sama sahaja seperti pohon berbuah yang tumbuh di sekitar rumah orang, perlu minta izin dahulu sebelum memetik atau makan buah tersebut.

Kesimpulan

Kami melihat, buah-buahan yang tumbuh di tanah perkuburan berstatus wakaf boleh dimakan. Namun, kami mencadangkan agar selain buah-buahan tersebut dimakan oleh penziarah, hasil buah-buahan itu juga paling utama dimakan oleh petugas-petugas di kubur dan boleh dimanfaatkan untuk menampung kos penyelenggaraan kubur.

Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata: “Namun, menyalurkan hasil buah-buahan tersebut untuk menampung kos penyelenggaraan kubur adalah lebih utama.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 473)

Syaikh Abu Bakr al-Dimyati berkata juga: “Dan dianjurkan untuk menyalurkan buah-buahan tersebut untuk memakmurkan tanah perkuburan., begitulah yang difatwakan di dalam kitab al-Raudh al-Talib dan syarahnya.” (Lihat I’anah al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Mu‘in, 3/216)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga berkata: “Menyalurkan hasil buah-buahan tersebut untuk kemaslahatan pengurusan kubur adalah jauh lebih utama berbanding membiarkan buah-buahan tersebut dimakan oleh orang ramai.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 2/477)

Kami mencadangkan agar ada bahagian yang dibiarkan untuk dimakan oleh penziarah, dan ada bahagian yang dipetik untuk dimanfaatkan untuk pengimarahan dan pengurusan hal ehwal kubur, sepertimana yang dicadangkan oleh para fuqaha’ ulung di atas. Kita juga perlu sentiasa melazimi adab-adab dan sunnah sepanjang berada di tanah perkuburan, mengingati kematian dan negeri akhirat yang kekal abadi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْألُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat al-Nasa’ie (9930) dan Ibn Majah (925)

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply