Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada soalan. Apa status hadith berkenaan petir adalah malaikat dan bunyi petir itu adalah suara malaikat. Dan jika sahih, apa hukum bagi saya iaitu pelukis untuk melukis petir.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Guruh adalah Suara Tasbih Malaikat Awan

Al-Ra’d adalah malaikat yang menjaga awan. Bunyi guruh dan bunyi petir adalah suaranya melafazkan tasbih memuji Allah.

Allah SWT berfirman di dalam Kitab-Nya:

وَیُسَبِّحُ ٱلرَّعۡدُ بِحَمۡدِهِۦ وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ مِنۡ خِیفَتِهِۦ وَیُرۡسِلُ ٱلصَّوَ ٰ⁠عِقَ فَیُصِیبُ بِهَا مَن یَشَاۤءُ وَهُمۡ یُجَـٰدِلُونَ فِی ٱللَّهِ وَهُوَ شَدِیدُ ٱلۡمِحَالِ

Maksudnya: “Guruh bertasbih memuji kebesaran Allah dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya. Dia menghantar panahan-panahan petir lalu kena kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, orang kafir masih mempertikaikan keesaan Allah sedangkan Dia amat hebat kekuatan-Nya.”

(Surah al-Ra’d: 13)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi berkata ketika menafsirkan ayat yang suci di atas: “Kebanyakan ahli tafsir menyatakan bahawa al-Ra’d adalah nama malaikat yang menjaga awan, dan guruh yang kita dengar adalah suaranya bertasbih. Ibn ‘Abbas R.Anhuma turut berkata, al-Ra’d adalah malaikat yang diarahkan untuk menjaga awan dan mengusungnya ke tempat yang telah diarahkan. Lautan berada hujung ibu jarinya. Apabila dia bertasbih, seluruh malaikat langit juga akan bertasbih. Ketika itu, turunlah hujan.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/11)

Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa beliau turut pernah mengatakan: “Al-Ra’d adalah malaikat yang memukul awan sambil melafazkan tasbih dan takbir.” (Lihat Jami’ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 1/357)

Imam Abu al-Syaikh meriwayatkan bahawa al-Dhahhak bin Muzahim menafsirkan: “Al-Ra’d adalah malaikat, dan suara guruh adalah bunyi suaranya bertasbih.” (Lihat al-‘Azamah, 4/1280)

Petir adalah Hasil Pukulan Tongkat Malaikat

Petir yang tercetus dan kilat yang sabung-menyabung pula hasil pukulan malaikat al-Ra’d kepada awan-awan untuk memisahkannya daripada bergabung, dan untuk menghalakannya ke arah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Abdullah bin Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa:

أَقْبَلَتْ الْيَهُودُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا أَخْبِرْنَا عَنِ الرَّعْدِ مَا هُوَ قَالَ مَلَكٌ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُوَكَّلٌ بِالسَّحَابِ مَعَهُ مَخَارِيقُ مِنْ نَارٍ يَسُوقُ بِهَا السَّحَابَ حَيْثُ شَاءَ قَالُوا فَمَا هَذَا الصَّوْتُ الَّذِي يُسْمَعُ قَالَ زَجْرُهُ السَّحَابَ إِذَا زَجَرَهُ حَتَّى يَنْتَهِيَ إِلَى حَيْثُ أُمِرَقَالُوا صَدَقْتَ

Maksudnya: “Sekelompok Yahudi pergi berjumpa Nabi SAW lantas bertanya, ‘Beritahu kami tentang guruh (al-Ra’d).’ Nabi bersabda: ‘Ia merupakan salah seorang malaikat yang ditugaskan untuk menjaga awan, bersamanya ada tongkat yang dibuat daripada api untuk menghalakan awan ke arah yang dikehendaki.’ Orang-orang Yahudi bertanya lagi: ‘Kemudian, suara yang kita dengar itu, apa pula?’ Nabi menjawab: ‘Itu adalah pukulannya terhadap awan, apabila dia memukulnya untuk menuju ke arah yang telah disuruh.’ Mereka berkata: ‘Engkau berkata benar.’”

Riwayat al-Tirmizi (3117) beliau menilai hadith ini sebagai hasan gharib

Imam Abu Mansur al-Maturidi menegaskan: “Diriwayatkan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib R.A berkata, al-Ra’d adalah sejenis malaikat. Manakala petir pula adalah pukulan malaikat itu kepada awan menggunakan makhariq (tongkat) besi yang dimilikinya.” (Lihat Tafsir al-Maturidi, 6/319)

Imam Abd al-Rahman al-Mubarakfuri mensyarahkan hadith di atas: “Makhariq adalah bentuk kata jamak bagi mikhraq yang asalnya bermaksud sebuah kain baju yang digulung-gulung kemudian digunakan untuk memukul dan mengkibas budak-budak. Di dalam hadith ini ia merupakan sebuah alat seperti tongkat yang digunakan oleh malaikat untuk memukul awan-awan.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 8/431)

Imam Ibn ‘Abd al-Bar berkata ketika mensyarahkan beberapa permasalahan di dalam hadith-hadith kitab al-Muwatta’, kata beliau: “Diriwayatkan bahawa Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma berkata kepada Ka‘ab al-Ahbar apabila disoal tentang al-Ra’d, bahawa ia adalah malaikat yang memukul awan sepertimana penggembala unta yang keras dan ganas memukul unta-unta gembalaannya, apabila ada awan yang lari terkeluar daripada landasan yang diarahkan, dia akan memukulnya agar awan itu kembali ke bergabung ke posisi asal. Terkadang, pukulannya itu terlepas hingga ke tanah Bumi lantas terkena kepada sesiapa yang melihatnya.” (Lihat al-Istizkar, 8/589)

Hukum Melukis Petir

Dibolehkan untuk melukis petir kerana petir bukanlah benda hidup yang bernyawa atau mempunyai roh. Hukumnya adalah harus sepertimana yang difatwakan oleh fuqaha mazhab al-Syafi‘i khususnya.

Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan: “Dibolehkan untuk melukis dan menggambarkan sesuatu dalam keadaan kepalanya tidak sempurna, atau benda-benda yang tidak hidup, dan tiada roh/nyawa baginya seperti gambar pokok, matahari dan bulan kerana Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma mengizinkan pelukis untuk melukis benda-benda seperti itu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/433)

Petir adalah objek dan jirim samawi yang sama sahaja seperti matahari, bulan, bintang dan awan. Zahirnya, ia bukanlah makhluk bernyawa yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan. Larangan melukis di sisi sebahagian ulama adalah melukis gambar makhluk bernyawa yang diagungkan. Itu pun demi memelihara akidah umat Islam yang baru masuk Islam pada zaman tersebut seperti yang dinyatakan oleh Imam Badruddin al-‘Aini dalam kalangan ulama mazhab Hanafi. (Lihat ‘Umdah al-Qari bi Syarh Sahih al-Bukhari 22/74)

Penjelasan Saintifik

Kilat dan petir terhasil di dalam awan akibat pergerakan udara yang naik dan turun; antara unsur air yang bercas negatif naik ke atas dan unsur ais yang bercas positif turun ke bahagian bawah. Percampuran dan tumisan cas positif dan negatif ini menghasilkan cas negatif yang amat kuat di bahagian permukaan bawah awan.

Perkara ini menghasilkan tenaga elektrik yang cukup banyak dan kepanasan yang begitu dahsyat. Ia akan menyambar ke arah bawah di bumi yang berpotensi menarik tenaga tersebut. Secara umumnya, cas positif menghasilkan kilat dan petir yang lebih besar berbanding cas negatif.

Ahli Falsafah kuno menyatakan ini merupakan satu-satunya sebab kepada proses terjadinya kilat untuk membantah ajaran agama seperti yang kami jelaskan di atas.

Namun, perkara ini dibantah oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah apabila beliau menyatakan: “Tiada sebarang pertentangan yang berlaku antara apa yang diriwayatkan daripada Salaf dengan apa yang diperkatakan oleh ahli Falsafah tentang proses terjadinya kilat dan petir hasil gerakan beberapa unsur. Setiap pergerakan di alam atasan atau alam bawahan adalah hasil kerja malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT juga.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 24/263)

Imam Ibn Taimiyyah juga membantah sebahagian ahli Falsafah yang menganggap proses penciptaan awan, kilat, petir hanya terjadi kerana pergerakan jirim-jirim tertentu dan tidak memerlukan kepada perbuatan Ilahi atau penjelasan wahyu, seraya menggelar ahli Falsafah itu sebagai kelompok jahil dan tersesat dengan kesesatan yang nyata. (Lihat Qa’idah fi al-Mahabbah, hal. 31)

Maka, tidak ada sebarang pertentangan antara dua unsur ini, sama ada penjelasan saintifik mahupun penjelasan dari sudut agama yang telah kami bentangkan.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, bunyi guruh adalah suara malaikat penjaga awan yang bertasbih, manakala petir adalah hasil pukulan tongkat besi berapi malaikat tersebut yang memukul awan untuk mengarahkannya pergi ke arah yang dikehendaki Allah SWT.

Selalunya, bunyi guruh juga sama dengan bunyi petir, hal ini kerana seperti yang diriwayatkan, malaikat akan memukul awan sambil bertasbih dan bertakbir. Maka, suara guruh dan suara petir berhimpun dalam masa yang sama. Dan kedua-duanya adalah suara malaikat awan (malaikat al-Ra’d) bertasbih.

Begitu juga tidak menjadi masalah untuk seseorang itu melukis lakaran petir kerana ia bukanlah makhluk bernyawa di sisi para fuqaha.

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan agar:

  1. Beriman bahawa Allah SWT yang mencipta dan menguruskan pentadbiran alam semesta menurut kehendak dan kekuasaan-Nya
  2. Beriman kepada malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT
  3. Tidak memandang petir kerana ia dihukum makruh oleh para Fuqaha
  4. Melukis benda-benda yang indah dipandang dan membangkitkan semangat
  5. Berzikir setiap kali mendengar guruh, bunyi kilat atau petir yang menyabung

Kami akhiri dengan doa yang dianjurkan para Salaf apabila terdengar petir atau guruh:

سُبْحَانَ الَّذِي يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ، وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang guruh turut bertasbih memuji-Nya, para malaikat turut bertasbih kerana takutkan-Nya. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply