Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, baru-baru ini penggodam negara kita melancarkan serangan siber ke atas Israel bagi menyahut seruan mempertahankan Palestin. Mereka membocorkan maklumat bank rakyat Israel seperti kad debit dan kad kredit. Adakah ia dikira sebagai harta rampasan perang yang halal untuk kita gunakan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Palestin sentiasa di hati. Kita mengecam sekeras-kerasnya segala kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel ke atas saudara kita di Palestin merentasi perbezaan agama, bangsa dan kepercayaan. Kita menuntut keadilan yang sewajarnya diberikan kepada rakyat Palestin dan menggesa pembunuhan besar-besaran ini dihentikan.

Setiap Muslim di seantero dunia adalah bersaudara, saling mendukung dan menyokong sesama sendiri. Orang-orang beriman saling berkasih-sayang sesama saudara seagama dan tegas terhadap orang-orang kafir. Bahkan bersikap keras kepada sesiapa yang jahat dalam kalangan mereka. Allah SWT berfirman:

مُّحَمَّدࣱ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِینَ مَعَهُۥۤ أَشِدَّاۤءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَاۤءُ بَیۡنَهُمۡۖ

Maksudnya: “Nabi Muhammad ialah Rasulullah dan orang yang bersama-sama dengannya bersikap tegas terhadap orang kafir yang memusuhi Islam, tetapi sebaliknya bersikap kasih-sayang serta belas kasihan sesama umat Islam.”

(Surah al-Fath: 29)

Rasulullah SAW menyifatkan orang-orang beriman itu ibarat satu jasad, yang merasa sakit apabila salah satu anggota badan ditimpa sakit. Ini seperti mana dalam riwayat al-Nu‘man bin Basyir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَرَى المُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، كَمَثَلِ الجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: “Engkau melihat (keadaan) orang-orang mukmin itu saling kasih-mengasihani, cinta-mencintai, dan saling tolong-menolong seperti satu jasad, jika ada (walau) satu anggota badan yang sakit, nescaya seluruh anggota badan yang lain akan ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam.”

Riwayat al-Bukhari (6011) dan Muslim (2586)

Palestin adalah isu akidah dan agama umat Islam, bukan semata-mata isu kemanusiaan. Maka, sebagai umat Islam kita mestilah berinteraksi menyelesaikan kemelut isu ini menurut neraca yang diajarkan oleh syariat Islam yang mulia bukan dengan semangat membuta-tuli dan hawa nafsu semata-mata.

Syariat Islam juga datang untuk menegakkan keadilan untuk sekalian manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kelompok, tidak mengira yang kita benci atau suka. Allah SWT berfirman:

وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya’: 107)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Sebahagian ahli tafsir seperti Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma menyatakan ayat ini menyatakan bahawa agama Islam yang dibawa Rasulullah SAW ini merupakan rahmat kepada orang beriman dan rahmat buat orang kafir juga.” (Lihat Jami’ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 16/440)

Hacking Bererti Ceroboh dan Curi

Hacking atau penggodaman merupakan salah satu jenayah siber. Jenayah siber pula merupakan suatu bentuk perlakuan jenayah yang menggunakan apa-apa jenis peranti elektronik atau gajet melalui sambungan perkhidmatan internet yang membolehkan sesebuah jenayah dilakukan sama ada melibatkan seseorang individu atau ramai pihak. Ia mampu menjangkau batasan persempadanan sesebuah negara ke negara yang lain dalam tempoh masa yang singkat dan tiada had batasan.

Jenayah siber juga boleh menyebabkan berlakunya kehilangan atau kerosakan kepada peralatan, data dan maklumat melibatkan sesebuah perisian juga pemprosesan komputer sama ada serangan virus, pencerobohan serta kecurian maklumat terhadap sesebuah komputer atau peranti elektronik yang dijadikan sasaran, bahkan boleh menyebabkan kehilangan harta benda dan hak milik dalam sekelip mata.

Jenayah siber kini tidak lagi seperti jenayah pada zaman dahulu yang hanya terhad kepada persekitaran fizikal sahaja, namun kini ia telah menjangkau kepada perlakuan jenayah melalui alam siber dengan menggunakan teknologi komputer.

Antara jenayah siber adalah penggodaman (hacking), ia bermaksud: Penggodaman merupakan pencerobohan komputer di mana pengggodam melakukan capaian secara tidak sah atau haram terhadap sesebuah sistem komputer tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik sistem komputer tersebut dan mempunyai niat bagi mencuri data atau mendapatkan maklumat sulit. (Lihat Cyber Crime: Issues and Threats oleh Atul Jain, 2/104)

Di sudut yang lain, jenayah mencuri pula ditakrifkan di sisi syari’at Islam menurut takrifan Imam al-Ramli: “Mencuri (al-sariqah) bererti mengambil sesuatu barang secara senyap daripada tempat yang terpelihara dan dijaga rapi dengan nilai dan syarat yang tertentu.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/439)

Sehubungan dengan itu, perbuatan mencuri mempunyai kaitan yang langsung dengan aktiviti pencerobohan. Apabila syara‘ menetapkan jenayah mencuri adalah menceroboh masuk ke tempat yang terpelihara (hirz) untuk mengambil sesuatu di dalam tempat tersebut.

Maka begitu juga dengan perbuatan menggodam dan menceroboh sistem yang dipelihara rapi lantas mendapatkan akses terhadap harta hak milik orang lain untuk diambil. Ini dinamakan perbuatan jenayah mencuri tanpa sebarang keraguan lagi, di sudut neraca syara’ yang suci dan akal yang murni.

Harta Kafir Harbi yang Dicuri Menjadi Ghanimah dalam Situasi Perang Sahaja

Harta yang dirampas dan dicuri hanya akan menjadi ghanimah (harta rampasan perang yang halal diambil) dalam situasi peperangan sahaja, sepertimana yang difatwakan oleh ulama-ulama mazhab al-Syafi’i dalam kitab-kitab muktamad.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan kalam Imam al-Nawawi tentang status harta orang kafir harbi: “Mencuri harta orang kafir harbi hanya menjadi ghanimah dan halal diambil apabila harta kafir harbi itu diambil ketika memasuki negara mereka; atau diambil daripada kafir harbi yang datang ke tempat kita; dalam keadaan tiada keamanan antara kita dengan mereka (iaitu dalam situasi peperangan dan pertempuran).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/254-255)

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani memberi komentar ke atas syarahan Imam Ibn Hajar: “Harta yang dicuri itu menjadi ghanimah apabila Muslim memasuki tempat kafir harbi dalam keadaan berperang dengan mereka dan tidak aman. Inilah yang dinyatakan juga oleh al-Khatib al-Syirbini dalam al-Mughni dan Syaikhul Islam Zakariyya al-Ansari dalam al-Raudh.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah, 9/254)

Meskipun Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, bahkan menghalang segala jenis hubungan kerjasama atau pertalian rasmi dengan Israel sebagai tanda solidariti yang kuat dan utuh kepada saudara seagama di Palestin, Malaysia secara khusus tidak berperang atau melakukan apa-apa tindakan persenjataan secara jelas bersama Israel.

Haram Ambil Duit Orang Awam

Oleh yang demikian, kami menyatakan di sini bahawa tidak boleh mengambil satu pun harta orang awam dalam kalangan rakyat Israel meskipun selepas seseorang berjaya menggodam sistem mereka menerusi serangan siber, hingga berjaya beroleh maklumat peribadi dan mengakses harta mereka.

Imam al-Syafi‘i sendiri menyatakan: “Apabila seorang Muslim masuk ke negara kafir harbi secara aman, dan dia berpeluang untuk mengambil harta-harta mereka, maka tidak halal bagi Muslim tersebut untuk mengambil suatu pun daripada harta mereka, sama ada sedikit mahupun banyak. Hal ini kerana, apabila dia berada di situ dalam keadaan aman, maka dia juga perlu menjamin keamanan masyarakat di sekitarnya. Hukumnya sama sahaja ketika berada dalam kalangan umat Islam dan berinteraksi dengan harta Muslimin serta kafir zimmi. Hal ini kerana harta itu dilarang untuk diambil atas beberapa sebab:

  1. Kerana pemiliknya seorang Muslim,
  2. Harta orang yang dipelihara oleh syara’,
  3. Harta orang yang memberi keamanan selama tempoh berlakunya keamanan tersebut.” (Lihat al-Umm, 4/284)

Imam Yahya bin Abu al-Khair al-‘Imrani berkata: “Sekiranya seorang Muslim memasuki halaman negeri kafir harbi secara aman (tanpa diganggu) kemudian dia meminjam duit dari kafir harbi, atau mencuri apa-apa barangan mereka, atau Muslim itu masuk dalam keadaan ditahan namun dijamin keselamatan dan keamanannya oleh kafir harbi itu, lantas si Muslim itu mencuri barang mereka; maka wajiblah ke atas Muslim itu untuk memulangkan semula barangan milik kafir harbi tersebut. Manakala Abu Hanifah pula berkata: “Tidak wajib untuk memulangkannya.” Dalil mazhab kita (al-Syafi‘i): Dia berada dalam kalangan mereka secara aman, dan mereka pun masih menjaga batas keamanan dengannya. Maka, hukumnya sama seperti hukum kafir zimmi.” (Lihat al-Bayan, 12/332)

Seorang penggodam atas talian melaksanakan penggodaman dari jarak jauh, nyawa dan hartanya tidak diapa-apakan atau dimudaratkan oleh kafir harbi tersebut, tambahan pula negaranya tidak berperang dengan Israel; maka dilarang bagi penggodam untuk mengambil suatu apa pun daripada harta kafir di negara tersebut, walaupun kafir itu berstatus harbi, selama tidak berlaku apa-apa ancaman terhadap nyawa atau apa-apa peperangan.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa penggodam dilarang mengambil apa-apa harta benda rakyat awam Israel yang mereka berjaya akses menerusi sistem elektronik dan komputer. Jika mereka mengambilnya, itu merupakan harta yang diambil secara haram dan diambil tanpa hak. Harta tersebut wajib dipulangkan semula. Perbuatan khianat atau yang dipanggil sebagai al-Ghadr dalam bahasa Arab, wajiblah dihindari.

Tambahan pula, tentera Allah menitik beratkan kejujuran. Allah melarang sifat khianat di dalam surah al-Anfal yang menegaskan hukum-hakam berjihad. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang beriman! Janganlah kalian mengkhianati Allah dan Rasul; dengan meninggalkan suruhan-Nya dan melakukan apa yang dilarang. Dan janganlah pula kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui tentang akibat perbuatan khianat tersebut.”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Miswar bin Makhramah meriwayatkan bahawa al-Mughirah bin Syu’bah pernah merampas harta seorang musyrik yang bersama dengannya dalam perjalanan, lalu Rasulullah SAW bersabda:

أَمَّا إسْلَامُك فَمَقْبُولٌ، وَأَمَّا مَالُك فَمَالُ غَدْرٍ لَا حَاجَةَ لَنَا فِيهِ

Maksudnya: “Islam kamu diterima, adapun harta hasil khianat yang kamu peroleh, maka kami tidak menginginkannya.”

Riwayat Abu Daud (2765)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan ketika mensyarahkan hadith yang mirip dengannya: “Tidak halal mengambil harta orang kafir dengan cara khianat dan buruk, jika kedua-duanya masih dalam keadaan aman dan hidup dalam kebersamaan.” (Lihat Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 5/341)

Kami menasihatkan penggodam di Malaysia dan Indonesia agar berpada dengan menghantar pesanan dan isyarat bertulis menzahirkan solidariti buat saudara yang dizalimi serta mengecam kezaliman yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Kami amat mendukung segala jenis usaha menzahirkan solidariti, dan ia merupakan perbuatan dipuji.

Perbuatan ini pun sudah cukup menggentarkan mereka, dengan menzahirkan sedikit potensi menyelinap dan menyeludup masuk itu, pasti akan menggoyahkan sedikit sebanyak keangkuhan mereka yang dirasakan selama ini seakan-akan merekalah yang paling berkuasa. Semoga Allah menghukum golongan yang bongkak ini segera.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya“Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply