Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah hukum suami melihat atau menonton video dan gambar bekas isteri yang mendedahkan aurat. Gambar dan video berkenaan diambil ketika masih menjadi isteri yang sah. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami turut bersimpati atas apa yang berlaku pada rumahtangga tuan yang dahulu. Kami mendoakan kejayaan dan kebahagiaan buat tuan untuk masa akan datang.

Perceraian adalah sesuatu yang tidak diingini untuk berlaku dengan sedaya upaya kita, namun kadangkala ia merupakan solusi dan penyelesaian menuju ke arah yang lebih baik dalam beberapa keadaan dan ketika. Allah mengarahkan agar pasangan suami isteri agar berlaku baik dalam kedua-dua situasi, sama ada bersama atau berpisah.

Allah SWT berfirman:

وَإِن یَتَفَرَّقَا یُغۡنِ ٱللَّهُ كُلࣰّا مِّن سَعَتِهِۦۚ وَكَانَ ٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعًا حَكِیمࣰا

Maksudnya: “Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan keperluan mereka masing-masing dengan limpah kurnia-Nya yang luas, dan Allah Maha Luas Kurniaan-Nya lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Nisa’: 130)

Talak dan perceraian pula bererti memisahkan hubungan nikah suami isteri antara lelaki dan wanita, sekaligus menyebabkan terhalangnya segala perkara yang dahulunya dihalalkan ketika menjadi suami isteri. Hal ini bermaksud, kedua-duanya kembali menjadi ajnabi (asing) sesama mereka dan wajib menjaga had dan batasan antara lelaki dan perempuan ajnabi.

Allah SWT berfirman:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُۥ

Maksudnya: “Dan jika si suami telah menceraikan isterinya itu, maka perempuan itu menjadi tidak halal kepada bekas suaminya.”

(Surah al-Baqarah: 230)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menjelaskan secara dasarnya, bahawa ayat al-Quran di atas menegaskan secara umum bahawa jumlah talak yang boleh dirujuk dalam tempoh ‘iddah perempuan tersebut ada 2 dan kedua-duanya dinamakan sebagai talaq raj’i, manakala talak yang ke-3 pula akan menyebabkan seseorang perempuan tidak boleh dirujuk dengan akad semata-mata dan hanya dibolehkan selepas perempuan itu menikahi lelaki lain dan bercerai daripada pernikahan bersama lelaki lain tersebut, ini digelar talak ba’in kubra. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/306-308)

Potongan ayat ini juga menjadi prinsip asas bagi para fuqaha’ untuk menyatakan, talak mengharamkan perbuatan-perbuatan yang dihalalkan untuk dilakukan antara suami isteri ketika masih berstatus suami isteri dahulunya.

Haram Memandang Aurat Bekas Isteri

Haram untuk memandang aurat bekas isteri sekalipun isteri tersebut masih dalam status ‘iddah dan berstatus raj‘iyyah (ditalak dengan talak raj‘i). Selama dalam tempoh tersebut, suami isteri masih mempunyai perkaitan sesama mereka dari sudut kewajiban suami memberi nafkah dan tempat tinggal, serta isteri wajib meminta izin untuk pergi ke mana-mana. Pasangan ini tetap saling diharamkan untuk memandang aurat masing-masing menurut muktamad mazhab al-Syafi‘i dan mazhab Maliki.

Daripada sudut perspektif muktamad mazhab al-Syafi‘i, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan: “Diharamkan untuk bersenang-senang dengan wanita yang telah ditalak (dengan talak raj‘i) walaupun dengan cara hanya memandang (kepada auratnya). Hal ini kerana nikah menghalalkannya, manakala talak pula mengharamkannya.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/153)

Syeikh Muhammad Nawawi Banten ketika beliau menfatwakan: “Haram bersenang-senang dengan bekas isteri yang ditalak secara raj’i, walaupun hanya sekadar melihat (auratnya). Ini kerana pernikahanlah yang mengharuskan ia (bersenang-senang dan melihat aurat) manakala talak mengharamkannya disebabkan ia bertentangan dengan nikah.” (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hlm. 327)

Meskipun wujud pendapat terpencil di dalam mazhab al-Syafi‘i yang menyelisihinya, iaitu pendapat Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i. Namun, pegangan rasmi dan muktamad mazhab al-Syafi‘i menegaskan larangannya sepertimana zahir kenyataan Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Raudhah seperti yang dinukilkan oleh al-Khatib al-Syirbini. (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 5/10)

Bekas Isteri adalah Ajnabi

Berdasarkan fatwa-fatwa ulama di atas, sedangkan isteri yang masih dalam tempoh ‘iddah pun haram untuk dilihat auratnya. Umum mengetahui, isteri yang berada dalam tempoh ‘iddah jika dipisahkan dengan talak raj‘i, maka dia masih lagi terikat dengan si suami kerana suami wajib memberi nafkah dan tempat tinggal. Isteri juga wajib meminta izin suami jika si isteri mahu keluar ke mana-mana. Pasangan seperti ini masih melaksanakan hukum sebagai suami isteri dari beberapa sudut dan perkara, namun begitu masih juga ada larangan dan batasannya dalam beberapa perkara yang lain.

Imam al-Nawawi turut menegaskan bahawa hukum antara mereka adalah hukum ajnabi (orang asing) yang wajib dijaga batasan dan hadnya seperti tidak boleh bersekedudukan dan lain-lain, ini menurut muktamad mazhab al-Syafi‘i. (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftiyyin, 8/418)

Maka apatah lagi pada bekas isteri yang telah melepasi tempoh ‘iddah dan tidak terikat dengan apa-apa hukum lagi antara mereka berdua, bahkan bekas isteri tersebut sudah boleh mengahwini lelaki lain. Sudah tentu hukumnya adalah sama seperti hukum ajnabiyyah (orang asing) yang haram untuk dilihat auratnya. Atas dasar ini, tuan bersama bekas isteri tuan adalah berstatus ajnabi antara satu sama lain yang menyebabkan:

  • Bekas isteri tuan boleh menikahi orang lain,
  • Tuan dan bekas isteri wajib menjaga batasan aurat antara satu sama lain sepertimana aurat antara lelaki ajnabi dengan perempuan

Anda hanya boleh melihat wajah dan kedua-dua tapak tangannya sepertimana wanita-wanita ajnabi yang lain. Bekas isteri tetap bukan isteri anda. Demikianlah batasan yang ditetapkan syara‘.

Kesimpulan

Merujuk kepada soalan, perbuatan si suami melihat atau menonton video dan gambar bekas isteri yang mendedahkan aurat, atau pun sebaliknya (jika isteri melihat aurat bekas suami), adalah perbuatan yang haram. Seseorang tidak boleh melihat gambar aurat bekas isteri atau bekas suami meskipun gambar tersebut diambil ketika masih bergelar suami isteri yang sah. Kini, tidak ada apa-apa lagi hubungan suami isteri antara mereka berdua. Maka, hukumnya adalah hukum ajnabi (orang  asing).

Anda wajib memadam gambar-gambar tersebut untuk tidak melihat kepada perkara yang telah diharamkan oleh Allah SWT kepada anda. Kita wajib memelihara pandangan kita serta menundukkan pandangan daripada memandang perkara yang Allah SWT haramkan. Demikian itu yang terbaik untuk keselamatan dunia dan akhirat kita.

Allah SWT berfirman:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِینَ یَغُضُّوا۟ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَیَحۡفَظُوا۟ فُرُوجَهُمۡۚ ذَ ٰ⁠لِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا یَصۡنَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah kepada golongan lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mata dan memelihara kehormatan mereka. Itulah cara yang lebih suci bagi mereka. Ingatlah sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang mereka lakukan.”

(Surah al-Nur: 30)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata menafsirkan ayat di atas: “Allah SWT bertitah agar mengatakan kepada lelaki-lelaki yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, agar tidak memandang kepada sesuatu yang merangsang syahwat, berupa perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT daripada kita untuk melihatnya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 17/254)

Antara perkara yang dilarang oleh Allah SWT adalah melihat atau memandang kepada aurat wanita yang ajnabi dan bukan mahram.

Kami menasihatkan tuan agar:

  1. Memelihara pandangan mata daripada memandang perkara yang diharamkan oleh Allah SWT di dalam syariat Islam.
  2. Menutup ruang-ruang syaitan dalam diri kita iaitu pintu-pintu yang menuju ke arah kemaksiatan dan dosa.
  3. Meneruskan kehidupan kerana lebih banyak kebaikan, kejayaan dan kebahagiaan menanti anda di hadapan sana, insya-Allah!

Kami akhiri dengan doa bagi melindungi diri daripada sifat buruk:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ، وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, daripada kemurkaan-Nya, hukuman-Nya serta keburukan para hamba-Nya, jua daripada bisikan sekalian syaitan dan daripada (para) syaitan menjelma.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply