Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah menantu lelaki membayar zakat untuk ibu mentua kerana ayah mentua telah meninggal dunia? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”

 Riwayat al-Bukhari (1503)

Imam al-Nawawi menyatakan:  Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafi‘i, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk). (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 6/132)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya.

Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:

  • Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
  • Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
  • Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/95-98)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa  kewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah diwajibkan ke atas setiap Muslim sama ada lelaki mahupun perempuan, dewasa mahupun kanak-kanak. Pada asasnya seseorang yang mempunyai tanggungan di bawahnya hendaklah membayar zakat ke atas mereka.  Yang demikian terdapat sebuah kaedah yang menyebutkan:

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: Sesiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrah bagi tanggungannya.

Telah dinukilkan dalam al-Taqrirat al-Sadidah (Hlm. 419) bahawa: jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib juga seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya.

Begitu juga al-Syairazi menyebutkan bahawa: Barangsiapa yang diwajibkan ke atasnya zakat fitrah maka diwajibkan juga mengeluarkan zakat fitrah ke atas tanggungannya sekiranya mereka itu muslim. Diwajibkan zakat sekiranya dia mempunyai harta yang lebih dari keperluan nafkahnya. Oleh yang demikian, bapa, Ibu, datuk, nenek dan ke atas diwajibkan mengeluarkan zakat bagi anak, cucu dan ke bawah. Begitu juga diwajibkan ke atas anak atau cucu mengeluarkan zakat fitrah ke atas Ibu, bapa serta datuk nenek  dan ke atas sekiranya diwajibkan untuk menafkahi mereka.  (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 1/301)

Oleh yang demikian, sekiranya ibu-bapa adalah dari golongan fakir miskin, adalah menjadi tanggungjawab anaknya untuk mengeluarkan zakat untuk ibu-bapanya yang miskin. Ini kerana Ibu bapa adalah antara yang wajib diberi nafkah oleh anak. Oleh itu, adalah dibenarkan dalam Islam untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak mereka. Ini dianggap sebagai satu bentuk kebaikan dan ihsan kepada mereka.

Justeru dalam isu ini, tidak menjadi satu kesalahan bagi saudara sebagai menantu untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut untuk mengeluarkan zakat bagi pihak ibu mentua. Walau bagaimanapun, saudara dikehendaki meminta izin terlebih dahulu daripadanya sebelum melaksanakan kewajipan  zakat bagi pihaknya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply