Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Pada musim haji lepas, saya terpaksa pulang awal. Justeru, saya hanya dapat melakukan tawaf Ifadhah bersekali dengan tawaf wada’, tetapi selepas itu, saya melakukan sa’ie haji. Adakah sah tawaf wada’ saya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘).’”
Riwayat Muslim (1327)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79)
Dalam hadith yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Makkah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”
Riwayat Muslim (3283), Ibn Majah (3070)
Imam al-Nawawi berkata, “hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79)
Dalam menjawab persoalan di atas, hukumnya adalah sah. Terdapat satu kaedah fiqh yang menyebut:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).
Oleh itu, berdasarkan kaedah di atas, dapat difahami bahawa perkara yang mengikut mengambil hukum asalnya yakni yang diikut. (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah Baina Asliyyah wa Taujih, 15/1)