Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana Rasulullah SAW apabila selesai satu majlis, atau bacaan Quran mahupun solat, adakah di sana zikir atau bacaan tertentu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”
(Surah al-Ahzab: 21)
Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:
مَا جَلَسَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجْلِسًا قَطُّ، وَلَا تَلَا قُرْآنًا، وَلَا صَلَّى صَلَاةً إِلَّا خَتَمَ ذَلِكَ بِكَلِمَاتٍ قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَرَاكَ مَا تَجْلِسُ مَجْلِسًا، وَلَا تَتْلُو قُرْآنًا، وَلَا تُصَلِّي صَلَاةً إِلَّا خَتَمْتَ بِهَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ؟ قَالَ: ” نَعَمْ، مَنْ قَالَ خَيْرًا خُتِمَ لَهُ طَابَعٌ عَلَى ذَلِكَ الْخَيْرِ، وَمَنْ قَالَ شَرًّا كُنَّ لَهُ كَفَّارَةً: سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ “
Maksudnya: Tidaklah Rasulullah SAW duduk dalam satu majlis atau membaca ayat al-Quran, atau solat kecuali disudahi dengan beberapa kalimat. Kata Aisyah: Aku bertanya: Ya Rasulullah. Aku dapati kamu tidak duduk satu majlis, tidak baca ayat Quran dan tidak solat kecuali kamu akan sudahi dengan beberapa kalimat? Jawab Baginda SAW: Ya, siapa yang berkata baik dikhatam baginya dengan khatam yang baik. Dan siapa yang berkata buruk, kalimat tersebut baginya diharap menjadi kifarat iaitu lafaz:
سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
“Maha Suci-Mu dan kepujian hanya bagi-Mu. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali-Mu. Aku beristighfar kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.”
Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10067). Dinyatakan sebagai sahih mengikut syarat Muslim dalam al-Silsilah al-Sahihah (7/495)
Justeru, marilah kita lazimi kalimat ini setiap kali selesai majlis sebagaimana anjuran Rasulullah SAW ini. Dan inilah yang sebaik-baiknya, agar Allah SWT mengampunkan dosa kita serta memelihara kita.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”