Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, betapa hebatnya surah al-Kauthar dan sebahagian daripada mukjizatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah al-Baqarah: 23)

Menurut Syeikh al-Maraghi, kaum musyrikin Quraish tidak mampu untuk membuat al-Quran lain yang seumpama dengan al-Quran, meskipun mereka seorang yang terlatih. Namun,  mereka tidak mampu untuk mendatangkan sesurah seumpama al-Quran. Ini kerana, orang yang berakal cerdas sudah tahu bahawa sesuatu yang dapat mereka lakukan, sudah tentu orang lain juga dapat melakukannya, dan terdapat keberangkalian akan ada orang yang lebih mampu berbanding dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3039)

Firman Allah SWT:

إِنَّاۤ أَعۡطَیۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ ۝١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ ۝٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

(Surah al-Kauthar: 1-3)

Surah al-Kauthar adalah surah yang terpendek di dalam al-Quran, walaupun kandungannya tiga ayat sama dengan Surah al-Nasr dan Surah al-‘Asr tetapi jika dihitung kalimah ia adalah yang terpendek. Dalam tiga ayat tersebut hanya terdapat sepuluh kalimah sahaja. Namun kandungannya amat besar dan ia dianggap sebagai kesempurnaan dan melengkap makna surah-surah sebelumnya.

Dalam Surah al-Dhuha, terdapat tiga pujian berkaitan kenabian Muhammad SAW: (1) Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak benci kepadamu. (2) Kesudahanmu lebih baik daripada permulaannya. (3) Tuhanmu akan memberikanmu kejayaan dan kebahagiaan sehingga kamu redha. Kemudian, di akhir surah terdapat tiga keadaan Nabi SAW di dunia ini: (1) Bukankah ia mendapati kamu yatim lalu Dia memberikan perlindungan. (2) Didapati kamu mencari jalan yang benar lalu Dia memberikan hidayah. (3) Dia dapati engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan.

Dalam Surah al-Syarh, tiga kemuliaan Nabi SAW dijelaskan: (1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu dadamu wahai Muhammad. (2) Kami telah ringankan bebanmu yang memberati tanggunganmu. (3) Kami telah tinggikan bagimu sebutan namamu. Dalam surah al-Tin, tiga kemuliaan Nabi SAW: (1) Bersumpah dengan Makkah tempat kelahiran Nabi SAW. (2) Menyelamatkan umat Nabi SAW yang beriman daripada neraka. (3) Mendapat pahala yang tidak putus.

Dalam Surah al-‘Alaq, tiga kemuliaan disebutkan: (1) Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu. (2) Mengalahkan musuh Nabi SAW dengan memanggil malaikat Zabaniyah. (3) Mengkhususkan Nabi SAW dengan etika kepada-Nya secara bersujud dan lakukan taat serta amal soleh.

Dalam Surah al-Qadr, tiga kelebihan dinyatakan: (1) Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (2) Turun malaikat dan Jibril A.S dengan izin Tuhan mereka. (3) Sejahtera malam yang berkat itu hingga terbit fajar.

Kemuliaan umat Nabi SAW dalam Surah al-Bayyinah: (1) Sebaik-baik makhluk. (2) Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga ‘Adn. (3) Allah redha kepada mereka. Kemuliaan dalam Surah al-Zalzalah: (1) Bumi menceritakan khabar berita umat Nabi SAW dan menjadi saksi terhadap ketaatan dan ibadat. (2) Melihat amalan ketaatan yang menjadikan mereka gembira. (3) Melihat amal kebaikan walaupun seberat zarrah.

Kemuliaan dalam Surah ‘Adiyat, huraian berkaitan tiga sifat kuda perang di jalan Allah: (1) Kuda perang yang tangkas berlari. (2) Mencetuskan api dari telapak kakinya. (3) Meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. Dalam Surah al-Qari‘ah dijelaskan tiga kemuliaan umat Nabi SAW: (1) Orang yang berat timbangan amal baiknya. (2) Mereka berada dalam kehidupan yang senang lenang. (3) Mereka melihat musuh dalam neraka Hamiyah.

Dalam Surah al-Takathur dijelaskan tiga kemuliaan Nabi SAW di mana musuhnya yang ingkar kepada ajaranya akan ditimpa dengan: (1) Melihat neraka yang apinya marak menjulang. (2) Melihat neraka dengan penglihatan yang yakin. (3) Mereka ditanya dengan seluruh nikmat di dunia ini.

Dalam Surah al-‘Asr, tiga kemuliaan yang dijelaskan terlepas dari kerugian ialah: (1) Keimanan. (2) Beramal soleh. (3) Menunjuk manusia kepada kebenaran dan memberi nasihat kesabaran. Dalam Surah al-Humazah, terdapat tiga jenis azab kepada pencaci dan pengeji: (1) Dunia mereka tidak memberi sedikitpun manfaat. (2) Dihumban ke dalam neraka Hutamah. (3) Pintu neraka ditutup rapat sehingga mereka putus atas untuk keluar.

Dalam Surah al-Fil, tiga bentuk balasan tipu daya kepada tentera bergajah: (1) Rancangan jahat mereka merugikan dan memusnahkan mereka. (2) Ia telah menghantar kepada mereka sekumpulan burung yang melontar mereka dengan batu. (3) Mereka hancur berkecai seperti daun kayu yang dimakan ulat.

Dalam Surah Quraisy, disebutkan tiga kemuliaan bangsa Quraisy: (1) Mereka bersatu dan dianugerahkan aman tenteram. (2) Memberi makan kepada mereka yang diselamatkan daripada kelaparan. (3) Memberi keamanan yang menyelamatkan mereka dari ketakutan. Dalam Surah al-Ma‘un disebut tiga sifat terkeji golongan pendusta: (1) Kehinaan kerana menindas dan berlaku zalim kepada anak yatim. (2) Tidak membesarkan Allah dengan meninggalkan solat. (3) Tidak memberi pertolongan kepada yang berhak mendapatkanya.

Pernyataan yang Allah SWT jelaskan dalam 15 surah bermula dengan Surah al-Dhuha sehingga Surah al-Ma‘un berkaitan kemuliaan Nabi Muhammad SAW, kemulian umat Nabi SAW, azab seksa Neraka Jahannam, neraka Hutamah kepada yang ingkar ajaran nabi sehinggalah kenyataan tentang sifat pendusta kepada agama, maka dalam surah al-Kauthar Allah SWT nyatakan kelebihan yang banyak dijelaskan dalam surah-surah terdahulu di mana setiap satunya lebih baik daripada dunia dan seisinya. Maka sewajibnyalah kamu lakukan ibadat kepada Tuhanmu, kamu berilah panduan kepada hamba-hamba apa yang terbaik untuk mereka. Beribadahlah kepada Tuhanmu dengan jiwa raga kamu , dengan harta kamu berkorbanlah dan berilah kepada mereka panduan yang terbaik untuk dunia dan agama. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/119)

Bersolatlah kamu kepada Tuhan kamu dengan ikhlas di mana Dia telah mengurniakan kepada kamu kebaikan yang amat banyak. Menyembelih unta yang merupakan binatang terbaik bangsa Arab ketika itu adalah bukti kesyukuran kepada Allah SWT yang telah kurniakan banyak kebaikan dan kemudahan kepada mereka. Ada yang menyatakan bahawa golongan musyrikin Quraisy bersembahyang dalam keadaan bersiul dan bertepuk tangan. Mereka juga menyembelih binatang kerana patung berhala. Lantas Allah SWT berkata kepada Nabi-Nya solatlah kamu untuk Tuhanmu Yang Esa dan sembelihlah binatang hanya untuk-Nya bukan untuk yang lain. Sesungguhnya disitulah arahan bertauhid dan ikhlas kepada Allah SWT. (Lihat Safwat al-Tafasir, 3/611)

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A berkata:

خَطَبَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الأَضْحَى بَعْدَ الصَّلاَةِ، فَقَالَ: مَنْ صَلَّى صَلاَتَنَا، وَنَسَكَ نُسُكَنَا، فَقَدْ أَصَابَ النُّسُكَ، وَمَنْ نَسَكَ قَبْلَ الصَّلاَةِ، فَإِنَّهُ قَبْلَ الصَّلاَةِ وَلاَ نُسُكَ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami selepas solat raya Aidiladha, lalu bersabda: “Sesiapa yang bersolat dengan syariat solat kami dan berkorban mengikut syariat korban kami maka ibadatnya menepati syarak, dan sesiapa yang berkorban sebelum solat maka ibadat korbannya tidak diterima.”

Riwayat al-Bukhari (955)

Sesungguhnya yang membenci kamu wahai Muhammad dan membenci syariat yang kamu datangkan berupa hidayah, kebenaran, hujah yang jelas, cahaya yang terang, mereka itulah sebenarnya orang yang terputus atau tidak mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Mereka tidak akan diingat lagi selepas kematian mereka. Kenyataan ini adalah untuk menolak ungkapan sebahagian orang musyrikin, antara mereka ialah al-‘As bin Wa’il yang berkata kepada Nabi SAW semasa anakanda Baginda, Abdullah meninggal dunia: (إِنَّهُ أَبتَر) yang bermaksud: “Sesungguhnya Muhammad tidak ada kebaikan.” Makna (أَبتَر)j jika untuk suami ialah yang tidak mempunyai anak lelaki. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/833)

Menariknya, surah ini mempunyai sepuluh kalimat, dan kalimat Alif adalah paling banyak iaitu sepuluh kali. Surah ini berakhir dengan huruf Ra’ dan surah yang berakhir dengan huruf Ra’ sebanyak sepuluh surah. Ayat yang kedua, adalah perintah solat dan korban, manakala pelaksanaan korban adalah pada 10 Zulhijjah. Terlalu banyak rahsia daripada surah ini. Inilah sependek-pendek surah. Bayangkan surah-surah yang lain. Maha Suci Allah.

سُبۡحَـٰنَ رَبِّكَ رَبِّ ٱلۡعِزَّةِ عَمَّا یَصِفُونَ ۝١٨٠ وَسَلَـٰمٌ عَلَى ٱلۡمُرۡسَلِینَ ۝١٨١ وَٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

Maksudnya: Akuilah kesucian Tuhanmu, – Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, – dari apa yang mereka katakan! (180) Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul. (181) Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.”

(Surah al-Saffat: 182)

Leave a Reply