Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum membaca al-Quran dengan suara yang agak kuat ketika khatib sedang menyampaikan khutbah Jumaat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Semasa khatib sedang menyampaikan khutbah, kita dituntut untuk menekuni intipati yang disampaikan dan tidak bercakap-cakap. Bahkan, Rasulullah SAW menegah kita dari berkata: “Diamlah!” kepada orang lain yang bercakap-cakap semasa khutbah sedang disampaikan; kerana ucapan seringkas itu boleh mensia-siakan pahala Jumaat seseorang.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila engkau berkata kepada sahabat kamu pada hari Jumaat, ‘Diamlah,’ ketika imam berkhutbah, maka engkau telah melakukan perkara yang sia-sia.”

Riwayat al-Bukhari (934) dan Muslim (851)

Imam al-Nawawi mengatakan, ulama’ berselisih pendapat tentang hukum bercakap-cakap ini, sama ada haram atau makruh sahaja. Imam al-Syafi‘i mempunyai 2 pendapat dalam isu ini.

  • Wajib diam semasa khutbah: Ini adalah pendapat Al-Qadhi ‘Iyadh, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, umum ulama’, dan ia salah satu pendapat Imam al-Syafi‘i (qaul qadim).
  • Tidak wajib diam semasa khutbah, kecuali ketika dibacakan ayat al-Quran: Ini adalah pendapat yang dinukilkan pula daripada al-Nakha‘i, al-Sya‘bi, sebahagian Salaf, dan pendapat lain bagi Imam al-Syafi‘i (qaul jadid).

Kemudian, ulama’ berselisih lagi pendapat sekiranya makmum tidak mendengar suara imam yang menyampaikan khutbah, sama ada masih dituntut untuk diam atau tidak.

  • Wajib diam semasa khutbah: Ini adalah pendapat jumhur ulama’.
  • Tidak wajib diam: Ini adalah pendapat al-Nakha‘i, Imam Ahmad, dan salah satu pendapat Imam al-Syafi‘i.

Bilakah kita dituntut untuk diam? Menurut fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i, Mazhab Maliki dan jumhur ulama’, makmum dituntut untuk diam semasa imam mula menyampaikan khutbah. Adapun Mazhab al-Hanafi, mereka mewajibkan untuk diam bermula dari imam keluar untuk menyampaikan khutbah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/138-139; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/523; al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 2/598)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, kami katakan bahawa al-Quran tidak boleh dibaca dengan kuat semasa khutbah sedang disampaikan, baik ketika makmum itu dapat mendengar khutbah tersebut atau tidak; kerana bacaan yang kuat itu akan mengganggu orang lain yang sedang mendengar khutbah.

Adapun membaca al-Quran secara perlahan bagi mereka yang tidak mendengar khutbah, ulama’ berbeza pendapat tentang hukumnya, berdasarkan kepada perbahasan di atas:

  • Tidak dibenarkan: Ini adalah pendapat jumhur ulama’ yang tetap mewajibkan untuk diam semasa khutbah sedang disampaikan, meskipun ia tidak dapat didengari.

Imam Abu ‘Abdillah Muhammad al-Khurasyi berkata, yang masyhur adalah diwajibkan untuk diam bagi mereka yang tidak dapat mendengar khutbah. Al-Faqih ‘Uthman al-Zaila‘i juga menyebutkan, wajib ke atas orang tersebut untuk diam; kerana yang dituntut adalah diam dan dengar. Meskipun dia tidak dapat mendengar khutbah tersebut, dia bukanlah tidak dapat untuk kekal berdiam. Dan suaranya ketika membaca (zikir atau al-Quran) itu akan mungkin akan didengari oleh orang yang mendengar khutbah, maka ia mengganggu mereka dari mendengar khutbah tersebut. (Lihat Syarh al-Khurasyi ‘ala Mukhtasar Khalil, 1/280; Tabyin al-Haqa’iq, 1/132)

  • Dibenarkan: Ini adalah pendapat mereka yang tidak mewajibkan diam sekiranya makmum tidak mendengar suara imam yang menyampaikan khutbah. Imam al-Syafi‘i berkata: “Sekiranya seseorang itu tidak dapat mendengar apa-apa intipati khutbah, maka aku tidak melihat sebarang tegahan untuk dia membaca secara perlahan, berzikir kepada Allah, dan dia tidak boleh bercakap-cakap dengan orang lain.”

Abu Bakr Ibn al-Munzir menyatakan, al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq tidak melihat sebarang masalah untuk membaca al-Quran dan berzikir sekiranya seseorang itu tidak mendengar khutbah. (Lihat al-Umm, 1/234; al-Ausat fi al-Sunan wa al-Ijma‘ wa al-Ikhtilaf, 4/71)

Kami melihat, langkah yang lebih baik dan berhati-hati adalah untuk kekal diam ketika khatib menyampaikan khutbah, lebih-lebih lagi jika khutbah tersebut sayup-sayup kedengaran. Sekiranya diyakini zikir atau bacaan al-Quran itu dapat mengganggu orang lain yang dapat mendengar khutbah, maka hukumnya adalah haram.

Seharusnya seseorang itu berusaha untuk hadir awal ke masjid agar dia dapat mencari mana-mana tempat yang sesuai dan sampai padanya suara khatib yang sedang berkhutbah; kerana fadhilat Jumaat itu amatlah besar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah).”

Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam mengamalkan titah perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply