Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semasa sukan berenang boleh kah kita pakai baju ketat Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aurat

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur :31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahawa salah satu aspek yang perlu diberi penekanan ketika melibatkan diri dalam aktiviti sukan, sama ada bagi lelaki atau perempuan, adalah menutup aurat dengan sempurna yang mematuhi syarat yang ditetapkan oleh syarak. Syarat pakaian yang menutup aurat dengan sempurna bukan sahaja merujuk kepada pemakaian pakaian pada tubuh, tetapi juga tidak menunjukkan bentuk badan. Aspek ini adalah penting dalam konteks pematuhan terhadap nilai-nilai agama semasa menjalankan aktiviti fizikal. Dengan memastikan aurat terjaga, ia mencerminkan nilai kesopanan  disamping menjaga maruah diri.

Syeikh al-Sa’di menafsirkan ayat ‘إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا’ adalah merujuk kepada pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 566)

Dalam hal ini juga dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatakan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :

صِنفانِ مِن أهلِ النَّارِ لم أرَهما: قَومٌ معهم سِياطٌ كأذنابِ البَقَرِ يَضرِبونَ بها النَّاسَ، ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Dua kategori penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti (pemukul) seperti ekor lembu –sebagai simbolik pemerintah yang zalim – dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan secara berlenggang lenggok mempunyai sanggul seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan tertentu.”

Riwayat Muslim (2128)

Syeikh ‘Ali al-Sobuni ketika menjelaskan teks hadith “ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ” beliau menyebutkan: Mereka yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya. Ini kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi tubuh, dan tidak menyembunyikan aurat. Tujuan berpakaian adalah untuk menutup auratnya, jadi jika pakaian itu tidak menutupi auratnya, maka pemakainya dianggap telanjang. (Lihat Rawai’ al-Bayan Tafsir Ayat al-Ahkam, 2/385)

Justeru, adalah sangat penting bagi individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti sukan untuk memastikan pakaian yang dipilih adalah selaras dengan tuntutan syarak, iaitu pakaian tersebut harus menutup aurat dengan lengkap dan sempurna.

Di sini kami sertakan garis panduan menurut perspektif islam sebagaimana yang ditetapkan oleh Jakim sepertimana berikut:

Pakaian sukan yang dipakai hendaklah memenuhi etika berpakaian yang ditetapkan oleh syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi. Contohnya seperti yang berikut:

  • Lelaki: T-shirt dan berseluar panjang atau seluar yang melepasi paras Lutut.
  • Perempuan: T-shirt lengan panjang, berseluar panjang dan menutup rambut serta leher. Pakaiannya juga mestilah longgar dan tidak menampakkan susuk badan.[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_atlet.pdf Diakses pada 1 Julai 2024

Leave a Reply