Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami makna fitnah al-Mahya wa al-Mamat sebagaimana terdapat dalam hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Muktazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut:  “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-’Arab, 13/317)

Para ulama’ berkata, fitnah yang disebut dalam hadith ini:

Pertama: Fitnah al-Mahya (الْمَحْيَا), iaitu fitnah kehidupan. Ia termasuklah dalam dua jenis:

  • Fitnah al-Syubhat yang membawa kepada sifat ghuluw atau melampau. Begitu juga syak pada agama dan boleh membawa kepada murtad.
  • Fitnah Syahwat. Ini sama ada dengan godaan harta benda serta kemewahan atau wanita sehingga lupa halal dan haramnya, atau pangkat dan kekuasaan sehingga sanggup menggadai prinsip bagi memperolehinya.

Kedua: Fitnah al-Mamat (الْمَمَات), iaitu fitnah kematian. Ini berlaku pada dua keadaan:

  • Fitnah ketika hampir meninggal dunia. Diuji oleh Allah dengan syaitan yang cuba menggoda kecuali golongan yang Allah rahmatinya.
  • Fitnah kubur, di mana adanya soal jawab munkar nakir dan juga azab kubur. Dengan sebab itu dikatakan sebagaimana dalam hadith riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.

Riwayat al-Tirmizi (2460). Kata Imam al-Tirmizi, hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Tahzib (7/200-202) menyatakan Sanad ini amat dha’if. Ini kerana Athiyyah ibn Sa’d al-‘Aufi al-Qisi dha’if dan didha’ifkannya oleh al-Nasa’ie, Abu Zur’ah, al-Saji dan lain-lain.

Syeikh Sulaiman bin Nasir berkata: hadith ini menjadi dalil bahawa kubur terkadang menjadi cahaya bagi pemiliknya, dan terkadang menjadi satu kegelapan. (Lihat Syarh Kitab al-Jana’iz min al-Bulugh, hlm. 11)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply