Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon bertanya ustaz, adakah daging aqiqah yang masih mentah atau telah dimasak haram diberikan kepada orang kafir? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Akikah dari segi bahasa bermaksud nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong. Dari sudut istilah syarak pula bermaksud binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/55 dan al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami, hlm. 482)

Dalam erti kata lain, aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426)

Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2839)

Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Berdasarkan hadith di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafi’iyyah. (Lihat al-Majmu’, 8/431)

Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut di dalam kitabnya, bahawa waktu untuk melakukan aqiqah adalah bermula daripada kelahiran bayi tersebut sehinggalah waktu mencapai usia baligh. (Lihat al-Ghurur al-Bahiyyah, 5/171)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tidak menjadi satu kesalahan untuk memberikan daging sembelihan akikah kepada bukan islam baik daging tersebut sudah dimasak ataupun tidak. Ini kerana kita sebagai umar islam turut diperintah untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja walaupun kepada bukan islam selagi mana dia tidak memusuhi islam. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahanah:8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Begitu juga Allah SWT turut berfirman:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maksudnya:  “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.“

(Surah al-Insan: 8)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Mereka memberi makanan kepada orang yang berhajat seperti orang miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang dalam masa yang sama mereka juga menyukai harta dan makanan tersebut. Akan tetapi, mereka lebih mencintai Allah daripada diri mereka sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.90)

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa Islam amat menganjurkan kita membantu orang yang berada dalam kesusahan seperti orang-orang miskin,anak-anak yatim bahkan juga kepada orang bukan Islam seperti tawanan perang dan sebagainya.

Dalam isu ini Dar al-Ifta’ al- Misriyyah dalam fatwanya menyebutkan : Memberi makan daging korban kepada bukan Muslim adalah satu perkara yang digalakkan kerana ia termasuk dalam kebaikan yang dianjurkan oleh syarak. Ini juga merupakan salah satu hak jiran ke atas jirannya. Amalan ini, jika dilakukan secara konsisten, boleh menumbuhkan rasa kasih sayang, mengukuhkan hubungan persaudaraan dan kerjasama, serta menyemai semangat kebangsaan dan solidariti. Selain itu juga, ia dapat   memperbaiki hubungan kejiranan, dan menguatkan ikatan kemanusiaan serta meningkatkan rasa kasih sayang.

Syarak menggalakkan setiap perbuatan moral yang mengukuhkan hubungan antara manusia, menanamkan semangat hidup bersama dan kerjasama, serta kasih sayang dan sokongan dalam pelbagai aspek kebaikan. Ini termasuk anjuran untuk saling menziarahi, menyayangi, dan bertukar hadiah, tanpa memandang agama, bangsa, atau warna kulit. Oleh yang demikian, memberi hadiah, berbuat baik, dan memberi makan kepada bukan Muslim adalah perkara yang disyariatkan dan dianjurkan oleh nas-nas umum dari al-Quran dan al-Sunnah. Perbuatan ini juga diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW dan disepakati oleh para ulama.[1]

Melalui perspektif ini, dapat difahami bahawa syarak mengizinkan daging korban diberikan kepada non-Muslim sebagai bentuk amal kebaikan dan memenuhi hak kejiranan. Dengan demikian, tindakan serupa juga boleh dilakukan terhadap daging aqiqah.

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa kita digalakkan untuk berbuat baik kepada semua individu, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Dengan ini, kami katakan bahawa, memberikan daging aqiqah, sama ada yang telah dimasak atau masih dalam keadaan mentah, kepada mereka yang bukan beragama Islam adalah sesuatu yang dibenarkan. Malah, tindakan tersebut adalah amalan yang digalakkan disamping menunjukkan akhlak mulia yang ditekankan dalam ajaran Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

(Surah al-Naml :19)

Wallahu‘alam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18973/%D8%AD%D9%83 Diakses pada 2 Julai 2024

Leave a Reply