Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak buat aqiqah untuk anak lelaki, boleh atau tidak buat makanan bungkus hantar dekat jemaah masjid. Apa hukum dan bagaimana pengurusan terhadap daging aqiqah tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Akikah dari segi bahasa bermaksud nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong. Dari sudut istilah syarak pula bermaksud binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/55 dan al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami, hlm. 482)

Dalam erti kata lain, aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426)

Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2839)

Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Berdasarkan hadith di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafi’iyyah. (Lihat al-Majmu’, 8/431)

Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut di dalam kitabnya, bahawa waktu untuk melakukan aqiqah adalah bermula daripada kelahiran bayi tersebut sehinggalah waktu mencapai usia baligh. (Lihat al-Ghurur al-Bahiyyah, 5/171)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asalnya aqiqah sunat dilakukan sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan nikmat kelahiran anak. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara sama ada memberikan sedekah daging tersebut kepada fakir miskin ataupun dengan melakukan majlis jamuan makan. Antara pandangan ulama tentang pengurusan daging  aqiqah kami nyatakan sebagaimana berikut:

  • Imam al-Kharashi al-Maliki menyebutkan: Ia boleh dimasak dan dimakan oleh ahli keluarga dan jiran-jiran serta orang kaya dan miskin. Tidak mengapa memberikan dagingnya yang mentah, serta memberi makan kepada orang di tempat mereka. (Lihat Mukhtasar Khalil, 3/48)
  • Imam al-Mawardi al-Syafi’i menyatakan bahawa: Diperlakukan terhadap akikah setelah disembelih seperti mana yang dilakukan terhadap korban dalam hal makan, menyimpan, bersedekah, dan memberi hadiah. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/129 )
  • Imam al-Nawawi menukilkan bahawa: Para sahabat kami berkata: Bersedekah dengan daging dan kuahnya kepada orang miskin dengan menghantar kepada mereka adalah lebih baik daripada menjemput mereka, tetapi jika dia menjemput orang untuk makan, itu juga dibolehkan. Jika dia mengagihkan sebahagian daging dan menjemput orang untuk makan sebahagian yang lain, itu juga dibolehkan. (Lihat al-Majmu’, 8/430 )
  • Imam al-Mardawi al-Hanbali menyatakan bahawa: sunnahnya adalah memakan sepertiganya, menghadiahkan sepertiganya, dan bersedekah dengan sepertiganya. Jika dia memakan lebih dari itu, ia dibolehkan. (Lihat al-Insaf, 4/105)
  • Ibn Qayyim juga menyebutkan bahawa: Disunatkan dalam aqiqah perkara-perkara yang disunatkan dalam korban, seperti bersedekah dan mengagihkan daging. Penyembelihan untuk anak ini mengandungi makna mendekatkan diri kepada Allah, kesyukuran, penebusan, dan sedekah. Selain itu, memberi makan sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat besar yang dikurniakan, yang merupakan tujuan utama daripada perkahwinan. Oleh itu, jika memberi makan disyariatkan untuk perkahwinan yang menjadi jalan bagi lahirnya anak ini, maka lebih utama dan lebih patut lagi ia disyariatkan ketikamana mencapai tujuan yang dikehendaki. (Lihat Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, hlm. 100)

Justeru dalam isu ini, kami katakan cara pengurusan daging aqiqah selepas disembelih adalah lebih luas daripada pengurusan daging korban. Jika dimasak semuanya adalah sah, jika disedekahkan semuanya juga sah dan jika dilakukan kedua-duanya, iaitu makan sebahagiannya, memberi hadiah, dan bersedekah,  maka itu adalah baik. Oleh yang demikian, tidak menjadi satu kesalahan bagi saudara untuk menguruskan daging aqiqah tersebut dengan mengagihkan secara bungkusan setelah dimasak kepada jemaah masjid atau mana-mana individu lain kerana ia juga adalah antara cara yang mudah untuk memberi makan kepada orang ramai.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply