Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terlalu berkira-kira dalam soal perbelanjaan(makan, minum dll) sebelum melangkah ke alam perkahwinan sehingga saya risau wang tidak mencukupi selepas berkahwin nanti. Adakah hal ini boleh sempitkan rezeki saya seolah-olah tidak percaya pada rezeki Allah s.w.t?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah: 274)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam berbelanja ini, kita tidak boleh terlalu boros atau terlalu berkira-kira. Adakalanya, apabila kita mempunyai rezeki lebih, kita boleh sedekah lebih sedikit dari kebiasaan seperti sedekah di masjid rm10/ rm20. Begitu juga, dari sudut berjimat, sememangnya berjimat itu salah satu sifat yang bagus bagi mengelakkan pemborosan. Namun, sifat jimat yang melampau juga akhirnya membawa kepada sifat kedekut. Maka, berjimat itu perlu sesuai mengikut keperluan dan keadaan.

Bahkan, dalam alam perkahwinan juga, hakikatnya apabila kita mula melangkah ke alam perkahwinan, sudah pasti banyak keperluan yang perlu disediakan seperti alatan rumah, barang dapur, barang mandian, nafkah isteri dan anak, simpanan kecemasan dan perubatan dan seumpamanya. Maka, persediaan kewangan yang cukup perlu ada bagi memulakan kehidupan yang baru.

Justeru, ingatlah tidak salah untuk berjimat, namun janganlah sehingga menyempitkan keselesaan sehingga hidup berkeluarga dalam keadaan yang susah dan tidak selesa. Rasulullah SAW juga ada bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: Tidak satu hari pun para hamba memasuki waktu paginya kecuali dua malaikat akan turun, lalu salah satu Malaikat tersebut berdoa: “Ya Allah, berikanlah untuk orang yang bersedekah gantian (daripada hartanya),” dan salah satu lagi pula berdoa: “Ya Allah, berikanlah untuk orang yang menahan hartanya (daripada bersedekah) kebinasaan (pada hartanya).

Riwayat Muslim (1010)

Semua harta yang kita miliki adalah rezeki kurniaan Allah SWT dan bukan hak milik kita. Dia akan melapangkan atau menyempitkan rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Oleh itu, janganlah tertipu dengan banyaknya harta benda yang dimiliki. Sebaliknya, berinfaklah sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT kerana ia pasti akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik. Malah, jika tidak dibelanjakan ke jalan yang baik, maka ia pasti memberi impak buruk pada kehidupan kita, sama ada di dunia mahupun hari akhirat.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Leave a Reply