Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Bagaimana cara saya nak pulangk balik barang atau wang yang saya ambil dari si  fulan yang telah balik ke negara asal. Ada mungkin si fulan tersebut telah mati dan dia  bukan islam. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

 (Surah Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Al-Sa’di menyatakan : Allah melarang hamba-hamba yang  beriman memakan harta sesama mereka secara zalim.Memakan harta secara batil iaitu memakan harta itu dengan cara penindasan dan pencurian, serta mengambilnya melalui perjudian dan keuntungan yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan,hlm. 175)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit. Aisyah R.Anha meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya: “Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, Allah akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat”.

Riwayat Muslim (1610)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi kewajipan ke atas mana-mana individu untuk memulangkan kembali harta yang diambil atau dipinjam kepada pemiliknya melainkan ia telah dihalalkan. Ini kerana seorang muslim itu adalah dilarang sama sekali mengambil harta yang bukan miliknya.  Hal ini jelas diterangkan dalam sebuah hadith yang telah diriwayatakan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.( Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Begitu juga Rasulullah SAW turut bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.”

Riwayat Muslim (3179)

Dapat difahami juga melalui hadith ini bahawa  melindungi harta seseorang adalah suatu kewajipan. Ini mengajarkan kepada umat Islam untuk menghormati hak milik individu walaupun bukan islam, dengan tidak mencuri, menipu, atau merampas harta seseorang dengan cara yang batil.

Disebutkan dalam Tafsir al-Uthaimin (2/466) bahawa: jika seseorang mengambil harta seorang zimmi, mu’ahid, atau musta’min tanpa hak, maka dia telah memakan harta orang secara batil; kerana ketiga-tiga mereka ini adalah dilindungi. Oleh itu, harta mereka hendaklah dihormati, begitu juga jiwa mereka.

Justeru dalam isu ini kami katakan, saudara perlu mencari pemilik harta tersebut untuk mengembalikan harta itu kepadanya, walaupun dia bukan dari kalangan Islam. Dengan adanya teknologi moden, kami mencadangkan saudara menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya untuk mencari pemilik harta tersebut. Jika didapati pemiliknya telah meninggal dunia, maka harta tersebut harus diserahkan kepada warisnya  yang masih hidup.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply