Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana hukum seorang suami menceraikan isterinya dengan tiga talak dan kemudian meninggal dunia. Adakah isteri tersebut berhak mendapat pusaka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam hukum Feqah, ia dinamakan Talaq al-Far (طلاق الفارّ) iaitu melarikan diri daripada bekas isteri mendapat pusaka. Kami nukilkan di sini pendapat dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

Antara lain katanya: Sepakat ulama fuqaha’, siapa yang mentalaqkan isterinya ketika sakit yang membawa kematian supaya isterinya tidak dapat mewarisi hartanya, maka talaknya sah sebagaimana semasa dia sihat dan mempunyai keahlian. Begitu juga para ulama’ sepakat, isteri tersebut berhak mewarisinya jika bekas suaminya meninggal dunia dan dia masih dalam iddah, sama ada dengan tuntutan daripadanya atau tidak. Dengan syarat, talak tersebut talak raj’i. Adapun talak Ba’in (talak tiga), maka para ulama’ telah khilaf:

  • Mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali mengikut pendapat yang asah di sisi mereka dan mazhab Syafi’i pada qaul qadim, bahawa perempuan tersebut berhak menerima pusaka berdasarkan kaedah: bertentangan dengan kehendak suaminya. Mereka yang berkata dapat mewarisi terbahagi kepada tiga kumpulan:
    • Perempuan tersebut mendapat pusaka selama mana dalam iddah.
    • Ahmad dan Ibn Abi Laila berpendapat, perempuan tersebut mendapat pusaka selama mana dia tidak berkahwin.
    • Malik dan al-Laith berpendapat, dia berhak mewarisi sama ada dalam ‘iddah ataupun selepas itu, bahkan sama ada dia berkahwin atau tidak. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/75)

Kami berpendapat, perempuan tersebut mendapat pusaka selama mana dalam ‘iddah. Pernah berlaku, Abd al-Rahman bin Auf menceraikan isterinya ketika sakit, kemudian Saidina Uthman bin Affan mewariskan sebahagian hartanya kepada bekas isterinya selepas ‘iddah.

Diriwayatkan bahawa Syuraih menulis surat bertanyakan hukum kepada Umar bin al-Khattab tentang lelaki menceraikan isterinya dengan talak tiga, sedangkan dia sakit. Lantas Saidina Umar menjawab: Hendaklah diberi pusaka kepada wanita tersebut selama mana dalam ‘iddah. Adapun selepas selesai ‘iddah, maka perempuan tersebut tidak berhak menerima pusaka. (Lihat Tarikh al-Tasyri’ al-Islami oleh Syeikh Muhammad al-Khidri Bik, hlm. 199)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply